Jawapan Pertanyaan Bukan Lisan Arahan Kementerian Kesihatan Kepada Universiti Untuk Tarik Balik Surat Tawaran Kepada Doktor

Soalan:
Nik Nazmi Nik Ahmad [ Setiawangsa ] minta Menteri Kesihatan menyatakan mengapa wujud amalan dari Kementerian meminta universiti menarik balik surat tawaran terhadap doktor-doktor pakar dari Kementerian Kesihatan sedangkan kontrak doktor-doktor tersebut boleh berkhidmat dengan Kerajaan atau mana-mana agensi Kerajaan.
Jawapan:
Yang di-Pertua,
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak menghalang mana-mana pegawai untuk meneruskan kerjaya sama ada di KKM atau di universiti. Walau bagaimanapun, memandangkan bilangan doktor pakar di KKM masih tidak mencukupi, maka KKM sentiasa berusaha untuk meningkatkan bilangan doktor pakar dan membuat perancangan dalam menempatkan doktor pakar di hospital KKM bagi memastikan perkhidmatan kepakaran dapat diberikan kepada Rakyat. Sehubungan itu, adalah wajar bagi mana-mana universiti membuat perbincangan terlebih dahulu dengan KKM supaya perkhidmatan kepakaran KKM tidak terjejas.

Isu Bahasa Penghantaran Dalam Penyediaan Kenyataan Media

Sebagaimana saya tulis beberapa hari lepas, isu bahasa penghantaran dalam penyediaan kenyataan media adalah penting.

Ini berikutan isu kenyataan media Menteri Kewangan Lim Guan Eng di dalam tiga bahasa (Melayu, Inggeris dan Mandarin) dan apabila dikritik beliau memilih respon dalam kenyataan Mandarin.

Saya tidak ada masalah kenyataan tiga bahasa. Atau empat bahasa. Atau lebih. Ada media Mandarin misalnya meminta saya sediakan versi Mandarin untuk elak kesilapan terjemahan.

Saya faham tujuan mereka. Cuma biasanya pejabat saya tiada kemampuan menyediakan terjemahan tersebut.

Tetapi seharusnya setiap kenyataan ada versi Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan yang juga paling luas difahami rakyat Malaysia tanpa mengira kaum atau latar belakang pendidikan.

Dalam autobiografi Lee Kuan Yew, beliau mengatakan di Singapura pada tahun 1950an, ketika ada jurang antara elit berpendidikan Inggeris, dan kelas pekerja yang berbahasa Mandarin, Melayu dan Tamil – bahasa Melayu pasar merupakan bahasa paling mudah digunakan untuk berkomunikasi dalam kempen pilihan raya kerana difahami hampir kesemua rakyat Singapura ketika itu.

Apabila ada kenyataan hanya dalam Bahasa Mandarin, bagaimana dengan orang yang hanya tahu berbahasa Melayu, Inggeris atau Tamil?

Saya sendiri memastikan kenyataan saya jika ditulis dalam Inggeris pun diterjemahkan kepada bahasa Melayu supaya difahami majoriti besar rakyat Malaysia.

Nik Nazmi Nik Ahmad,

Ahli Parlimen Setiawangsa

0% GST Bermula 1 Jun

Selepas 3 tahun rakyat menanggung beban dengan perlaksanaan cukai Barangan dan Perkhidmatan(GST), akhirnya hari ini rakyat boleh menarik nafas lega.

Selepas kerajaan Pakatan Harapan menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu, Kementerian Kewangan telah mengumumkan GST akan ditetapkan dengan kadar 0% bermula hari ini.

Ia selari dengan janji 100 hari Pakatan Harapan untuk menghapuskan GST.

Ini merupakan satu kejayaan untuk rakyat Malaysia.

 

NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA PEMUDA HARAPAN
KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN
AHLI PARLIMEN SETIAWANGSA

Pemuda Harapan Mengecam Keganasan Israel