Jawapan Soalan Lisan Hasil Kajian Untuk Menyelesaikan Kebajikan Veteran Angkatan Tentera

Soalan:

Nik Nazmi Nik Ahmad [Setiawangsa] minta MENTERI PERTAHANAN menyatakan apakah hasil kajian yang baru dibentang ke Majlis Veteran Kebangsaan dalam usaha Kerajaan mencari penyelesaian jangka panjang bagi kebajikan veteran angkatan tentera.

Jawapan:

Tuan Yang di-Pertua,

Mesyuarat Majlis Veteran Kebangsaan (MVK) yang ke-2 pada 28 Februari 2019 telah membincangkan beberapa kertas yang telah disediakan oleh Jawatankuasa Kecil dan Jawatankuasa Kerja MVK.

Antara lain, kertas kerja yang telah dibincangkan adalah cadangan berkaitan inisiatif bantuan kewangan kepada veteran ATM dan juga inisiatif usaha kerajaan dalam memastikan kesejahteraan kehidupan warga ATM setelah menamatkan perkhidmatan.

Selain itu, juga terdapat cadangan mengenai inisiatif perumahan kepada veteran ATM serta pemantapan pelaksanaan dan pengurusan Tabung Pahlawan.

Semua cadangan bagi inisiatif-inisiatif yang telah dibincangkan dalam kertas kerja ini akan diperhalusi dan dipertimbangkan melalui perbincangan bersama semua pihak yang berkepentingan sebelum keputusan diumumkan oleh pihak kerajaan.

Perasmian Program MySetiawangsa

Bingkisan video program perasmian program MySetiawangsa.

Di Pejabat Parlimen Setiawangsa, kami akan berusaha untuk membantu penduduk Setiawangsa semampu yang boleh.

Pejabat kami sentiasa terbuka luas untuk para penduduk datang mengadukan masalah atau hal-hal berkaitan.

Jemput tonton video ringkas yang dimulakan dengan Majlis Ramah Mesra bersama wakil rakyat, disusuli dengan klinik bola sepak.

Selepas ini akan ada banyak lagi program kemasyarakatan di Setiawangsa, kita jumpa di sana!

Bermuhasabah Dari PRK Rantau

Pengundi di Rantau telah telah membuat keputusan untuk memilih semula Pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri mereka.

Saya mengucapkan tahniah kepadanya dan pasukan atas kemenangannya. Saya juga mengucapkan tahniah kepada calon KEADILAN dan calon Pakatan Harapan, Dr S. Streram dan pasukan kami atas kerja keras mereka semasa pilihan raya kecil itu. Hasilnya mungkin bukan apa yang kita mahu – tetapi saya tahu mereka memberikan yang terbaik.

Rantau kini menjadi kekalahan pilihan raya kecil ketiga bagi Pakatan Harapan. Seperti dua kekalahan terdahulu, ia mesti menjadi sebab bagi kita untuk bermuhasabah.

KEADILAN meletakkan calon yang betul. Ia adalah keputsan yang tepat – sebagai parti yang berbilang kaum, progresif dan reformis.

Masalahnya adalah dengan mesej kita dan hakikat bahawa kita masih belum menunaikan banyak perkara yang dijanjikan kepada rakyat.

Pengundi tidak berhutang apa-apa dengan kita, kita perlu menunjukkan prestasi untuk meraih kepercayaan mereka.

Kegagalan ini bersifat kolektif dan merupakan tanggungjawab kita sebagai gabungan pemerintah.
Kita sebagai gabungan masih belum dapat memberi naratif yang dapat memenangi sokongan pengundi pelbagai kaum di Malaysia – terutamanya pengundi Melayu dan masyarakat lain.

Kita tidak menunjukkan pengundi Malaysia – apa jua kaum atau agama mereka – kita boleh dipercayai untuk mentadbir dengan adil, serta mewujudkan masa depan yang lebih baik untuk semua rakyat.

Lebih-lebih lagi, banyak pusingan-u yang berlaku apabila melibatkan dasar kerajaan – dan sikap beberapa pemimpin kita untuk mengabaikan manifesto Buku Harapan, ia amat tidak membantu kita.

Ini adalah kelemahan yang harus kita hadapi jika kita ingin mendapatkan semula kredibiliti yang dirindukan pengundi.

Masih ada masa untuk kita melakukannya – tetapi ia memerlukan keberanian, kejujuran diri dan kerja keras. Selain itu, Pakatan Harapan mesti bersatu padu dan mempunyai haluan yang sama.

Perpecahan bermakna kekalahan dan kekalahan akan membawa kematian pakatan kita.

Rantau seharusnya menyedarkan kita untuk mendedikasikan semula diri kita untuk membawa matlamat-matlamat ini – serta melakukan kerja kita, membawa pembaharuan dan pembangunan untuk semua rakyat Malaysia.

Mereka layak – dan kita mesti menyediakan mereka-dengan penjagaan kesihatan, pendidikan dan perumahan yang lebih baik, daripada janji-janji kosong, retorik yang berkobar-kobar dan projek-projek mega.
Kepada rakyat Rantau dan Malaysia, kami berjanji akan menjadi lebih baik dan lebih baik. Kami tahu anda berhak lebih baik daripada apa yang telah kami berikan dan akan berusaha untuk membina Malaysia yang layak untuk semua warganegara.

Sila terus menyokong kami, dan memberi kami kritikan yang jujur dan konstruktif.
Mewujudkan Malaysia Baru yang sebenar adalah tanggungjawab bersama kami. Kami akan mendengar anda. Kami akan bertindak atas keperluan dan kerja anda untuk memenuhi impian anda untuk masa depan.
Kami yang membuat keputusan ini, dan kami yang harus bertanggungjawab terhadapnya.

NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA SETIAUSAHA PENGELOLA KEADILAN
AHLI MAJLIS PIMPINAN PUSAT KEADILAN
AHLI PARLIMEN SETIAWANGSA

Jawapan Pertanyaan Lisan Isu Sekolah Sukan Negeri Wilayah Persekutuan (SMK Seri Titiwangsa)

Soalan:

Nik Nazmi Nik Ahmad [ Setiawangsa ] minta Menteri Pendidikan menyatakan apakah penyelesaian terhadap isu Sekolah Sukan Negeri:-

a) sekolah Sukan Negeri Negeri kini dikategorikan sebagai sekolah biasa dan menerima peruntukan makanan dan kelengkapan hanya seperti sekolah kerajaan biasa dan bukan seperti Sekolah Sukan Malaysia; dan

b) keadaan Sekolah Sukan Negeri Wilayah Persekutuan di SMK Seri Titiwangsa yang digelar daif oleh media dan tidak ditempatkan di tapak Bandar Seri Permaisuri yang mempunyai kemudahan sukan yang lengkap.

Jawapan:

Tuan Yang di-Pertua,

a) Sekolah Sukan Negeri (SSN) telah beroperasi sepenuhnya sebagai sebuah sekolah sukan dengan pelaksanaan latihan sukan secara sepenuh masa, terancang dan bersistematik bermula pada tahun 2009. Penubuhan SSN adalah sebagai pelengkap kepada proses pembangunan sukan serta kesinambungan kepada program sukan di peringkat akar umbi hingga ke peringkat negeri dan kebangsaan. Selain itu, SSN berperanan sebagai penyalur (feeder) kepada atlet murid yang cemerlang dan berbakat bagi kemasukan ke Sekolah Sukan Malaysia (SSM).

Status pengoperasian SSN masih sebagai sekolah harian biasa di bawah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN). Pengurusan sekolah-sekolah ini adalah melalui mekanisme sistem pengurusan sekolah harian biasa yang tidak tertakluk kepada kadar peruntukan makanan seperti Sekolah Sukan Malaysia yang berada di bawah Bahagian Sukan, Kementerian Pendidikan Malaysia. Sehubungan dengan itu, KPM melalui Bahagian Pendidikan Sukan dan Seni sedang dalam usaha menyemak semula kadar peruntukan makanan atlet murid di SSN dan kelengkap di semua sekolah tersebut. Kertas cadangan sedang disediakan sebelum dibentangkan di peringkat pengurusan tertinggi KPM.

b) Pemilihan Sekolah Sukan Negeri (SSN) adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dengan memberi pertimbangan terhadap kemudahan asrama, bilik darjah dan juga kemudahan sukan. Sebelum tahun 2010, Kemeterian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mencadangkan supaya SMK Tinggi Setapak dijadikan sebagai Sekolah Sukan Negeri WP Kuala Lumpur. Namun, JPN WP Kuala Lumpur telah memutuskan untuk memilih SMK Seri Titiwangsa sebagai Sekolah Sukan Negeri.

Walau bagaimanapun, pada masa ini, kemudahan sukan di sekolah berkenaan berada dalam keadaan yang kurang baik dan memerlukan kerja pembaikan atau penyelenggaraan supaya dapat digunakan untuk tujuan latihan atau pertandingan oleh atlet murid. Pada tahun ini, pihak KPM telah memberi kelulusan sebanyak RM500,000.00 untuk tujuan penyelenggaraan kemudahan sukan yang telah mengalami kerosakan. Di samping itu, KPM juga telah mengangkat permohonan peruntukan RMKe-11 bagi tahun 2020 dengan anggaran kos keseluruhan sebanyak RM2.6 juta.

Untuk makluman, cadangan untuk memindahkan Sekolah Sukan Negeri WP Kuala Lumpur ke SMK Seri Permaisuri, Cheras memerlukan penelitian lebih lanjut kerana sekolah berkenaan tidak mempunyai kemudahan asrama dan dewan makan. Selain itu, beberapa kemudahan sukan sedia ada di sekolah berkenaan juga memerlukan kerja pembaikan supaya berada dalam keadaan yang lebih kondusif, selamat digunakan di samping mencapai piawai untuk tujuan latihan dan pertandingan.

Sekian, terima kasih.

Jawapan Pertanyaan Lisan Usaha Memerangi Judi Atas Talian

Soalan:
Nik Nazmi Nik Ahmad [ Setiawangsa ] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan apakah tindakan yang diambil bagi mengatasi masalah judi atas talian yang begitu meluas pada hari ini.

Jawapan:
Tuan Yang di-Pertua,

Kementerian Dalam Negeri melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) amat komited dalam menangani judi haram di dalam negara sehingga ke akar umbi. PDRM mengambil maklum segala pandangan yang disuarakan oleh pelbagai pihak dan akan melipatgandakan lagi usaha untuk memastikan kemelut perjudian haram ini dapat dibendung dengan lebih berkesan.

Pelbagai usaha telah dilaksanakan untuk memerangi aktiviti perjudian sepertimana pengumuman oleh Ketua Polis Negara (KPN) pada 20 Julai 2018 telah mengarahkan semua Ketua Polis Negeri untuk membuka bilik gerakan khas bertujuan menerima aduan daripada masyarakat berhubung kegiatan judi di kawasan mereka. Masyarakat boleh membuat aduan secara terus kepada bilik gerakan yang beroperasi 24 jam sehari melalui talian yang telah disediakan. Selain itu Ketua Polis Daerah akan dipertanggungjawab sepenuhnya jika didapati masih terdapat aktiviti perjudian masih berlaku dalam daerahnya, tindakan drastik akan diambil dengan menukarkannya secara serta merta dan tindakan tatatertib juga akan diambil jika siasatan yang dijalankan mendapati beliau terlibat dalam melindungi dalang perjudian haram ini.

Antara langkah lain yang diambil untuk membendung aktiviti perjudian atas talian seperti berikut:-
1) Mengambil tindakan alternatif terhadap penganjur kegiatan perjudian haram di bawah dan Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) jika tiada keterangan yang kukuh untuk didakwa di mahkamah;
2) Bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menutup atau menyekat semua laman sesawang yang berunsurkan perjudian dari luar negara;
3) Bekerjasama dengan pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Pihak Berkuasa Air (PBA) negeri untuk tindakan permotongan bekalan air dan elektrik terhadap premis yang mengulangi kesalahan yang sama di bawah Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953; dan
4) Mencadangkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk membatalkan lesen Pusat Hiburan Keluarga (PHK) yang disalahgunakan menjadi tempat perjudian serta menggurangkan kelulusan lesen PHK untuk masa hadapan.

Perbahasan Pindaan Perlembagaan Persekutuan Untuk Mengembalikan Status Sabah Dan Sarawak

Saya turut serta dalam perbahasan pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk mengembalikan status Sabah dan Sarawak setara dengan Semenanjung Malaysia sebagaimana di dalam Perjanjian Malaysia 1963.

Status ini hilang pada 1976.

Walaubagaimanapun usaha ini tidak berjaya mendapat majoriti dua pertiga yang diperlukan meskipun Pakatan Harapan, WARISAN dan beberapa ahli Parlimen bebas menyokongnya kerana Barisan Nasional, PAS malah Gabungan Parti Sarawak mengambil keputusan tidak mengundi.