KeADILan Dan PH Perlu Belajar Dari PRK Slim

Pilihan Raya Kecil Slim telah berlangsung. Saya mengucapkan tahniah kepada pemenang, mereka yang bertanding dan pengundi kawasan kerana berjaya meraihkan pesta demokrasi.

Cuma, hasilnya bukanlah seperti yang kami mahukan, selaku pasukan pembangkang Malaysia.

Kesalahan tidak boleh diletakkan semata-mata pada calon yang bertanding — beliau berusaha sebaik mungkin untuk menghadapi perperangan dengan kebarangkalian menang yang rendah.

Namun, PRK Slim adalah mesej bagi semua parti pembangkang Malaysia – terutama KEADILAN dan Pakatan Harapan (PH) – untuk secara serius bermuhasabah dan bersama, terutama dari segi strategi dan pendekatan.

Kita tidak dapat dinafikan bahawa calon bebas yang kali ini disokong oleh pembangkang mampu dikalahkan oleh parti yang pemimpinnya menghadapi tuduhan jenayah di mahkamah dan merupakan sebahagian dari pemerintahan “pintu belakang” yang semakin rapuh dan tidak stabil.

Calon yang dipilih oleh parti PEJUANG, pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad bukan setakat dikalahkan di Slim, tetapi dengan majoriti 5 kali lebih tinggi daripada tahun 2018 (iaitu 10,945 undi berbanding 2,183) di kerusi yang hampir 75% orang Melayu.

Keadaan ini berlaku dalam keadaan terdapat dakwaan oleh beberapa ahli politik PH dan penganalisis politik tentang kehadiran Tun Dr Mahathir sangat diperlukan untuk memujuk orang Melayu dan pengundi lain. Kumpulan ini percaya hanya Tun Mahathir yang boleh meyakinkan orang Melayu.

Yang lebih membimbangkan bagi Pembangkang ialah calon BN memperoleh 13,060 undi, iaitu lebih banyak daripada gabungan jumlah undi UMNO dan PAS pada tahun 2018 (12,430).

Lebih-lebih lagi, BN dilaporkan menang di semua tempat mengundi di Slim – termasuk yang kebanyakannya bukan Melayu.

Calon PEJUANG kali ini mendapat 2,115 undi berbanding 6,144 BERSATU pada tahun 2018 (ketika masih bersama PH).

Ini menunjukkan bahawa sejumlah besar penyokong yang berpihak kepada pembangkang tidak mengundi atau beralih sokongan kepada BN.

Memang benar bahawa Slim adalah kubu kuat BN / UMNO. Lebih-lebih lagi, bekas ADUN di sana popular dan calon UMNO yang menggantikannya telah bekerja rapat dengannya pada masa lalu.

Pengundi mungkin terpengaruh oleh faktor tempatan yang lain.

Namun hakikatnya PEJUANG menjalankan kempen yang sebahagian besarnya tak mempunyai isu atau mesej, dan mengharapkan pengundi menyokong mereka hanya kerana siapa mereka dan siapa ketua mereka. Ini adalah resipi untuk mengundang bencana.

Apabila PRU15 tiba, PH tentunya tidak boleh pergi berkempen dengan kempen yang sama seperti skandal 1MDB, isu-isu yang dihadapi oleh kerajaan PH 2018-2020 ataupun Langkah Sheraton.

Bukanlah perkara-perkara sudah tidak relevan, tetapi ia tidak boleh menjadi kempen tunggal yang kita jalankan. PH tidak boleh bekerjasama dengan pihak lain yang tidak dapat melihat atau memahami perkara-perkara ini.

“Kleptokrat”, “Kerajaan pintu belakang” dan “pengkhianat” tidak akan menjadi slogan untuk memenangkan kita Pilihan Raya Umum ke-15.

Hakikatnya PEJUANG tidak memberikan mesej ekonomi yang menarik pengundi Slim. Parti itu tidak dapat meyakinkan mereka bahawa taraf hidup dan ekonomi mereka akan bertambah baik jika calon mereka dipilih.

Tidak ada visi, tidak ada harapan atau janji untuk masa hadapan. Sebab itulah calon PEJUANG kalah.

Inilah kesalahan yang mesti dielakkan oleh PH dalam pilihan raya akan datang.

Tentu saja, kita tidak perlu mengelakkan dari memberi peringatan kepada rakyat tentang penyalahgunaan dan kekurangan legitimasi kerajaan hari ini.

Namun ia tidak boleh hanya diungkapkan tanpa adanya rancangan untuk memperbaiki prospek ekonomi rakyat Malaysia, terutamanya memandangkan wabak Covid-19 yang dahsyat.

Kekalahan berat di Slim boleh menjadi titik tolak bagi PH — tetapi hanya jika kita mendapat pelajaran yang tepat dari kekalahan ini.

KeADILan Melepasi 1 Juta Anggota Dan 1 Ribu Ranting

Setakat hari ini keanggotaan Parti telah pun mencecah 1,004,629 orang manakala kekuatan Ranting Parti telah mencecah 1,108 di 222 Cabang di seluruh negara. Ini adalah pencapaian terbaik Parti sejak penubuhannya pada 21 tahun yang lalu. Ini membuktikkan Parti ini tetap utuh dan kuat dengan sokongan dan dokongan dari rakyat.

Maklumat ini membuktikan kekuatan KEADILAN sebagai parti massa, nasional dan pelbagai kaum yang paling berjaya dalam sejarah negara.

Namun pencapaian ini masih dianggap terlalu awal untuk diraikan. Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN melalui mesyuarat bulanannya pada 26 Julai 2020 yang lalu telah mengambil ketetapan untuk menggesa setiap lapisan kepimpinan Parti untuk mempergiatkan usaha kaderisasi (recruitment) anggota baharu menyertai Parti selain turut memperbanyakkan penubuhan Ranting sebagai persediaan Parti berhadapan Pilihan Raya Umum yang dijangka diadakan pada bila-bila masa.

Permohonan keanggotaan boleh dibuat menerusi https://keanggotaan.keadilanrakyat.org/ manakalah permohonan pembentukan ranting boleh dibuat di https://keadilanrakyat.org/index.php/ranting/.

NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA SETIAUSAHA PENGELOLA KEADILAN AHLI MAJLIS PIMPINAN PUSAT KEADILAN

Semua Parti Telah Nyatakan Pendirian, Fokus Mesti Kepada Rakyat

Pembangkang tidak harus fokus pada jawatan tetapi mempertahankan kepentingan rakyat dalam masa-masa getir ini.

Kita tidak seharusnya terus mengungkit pertikaian lama tetapi fokus pada masa hadapan. Kita tidak boleh menafikan bahawa kemenangan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum 2018 bukanlah usaha mana-mana individu atau parti secara bersendirian.

Ia adalah usaha kolektif, dengan pengorbanan orang ramai, dan akhirnya membuahkan hasil kerana sokongan rakyat Malaysia.

Rakyat menyokong kita kerana manifesto Buku Harapan dan janji kita bahawa peralihan kuasa akan berlaku. Itulah yang mengalahkan Barisan Nasional. Itulah sebabnya KEADILAN memenangi 47 kerusi Parlimen, DAP 42 kerusi, BERSATU 13 kerusi, AMANAH 11 kerusi dan sekutu kita WARISAN 8 kerusi dalam pilihan raya itu.

Sekali lagi, kita tidak seharusnya sibuk dengan pertanyaan siapa calon Perdana Menteri kita yang seterusnya. Setiap pihak telah menyatakan pendirian masing-masing. Ketua Pembangkang di Parlimen juga telah dipilih. Hakikat ini harus dihormati.

Yang penting adalah parti-parti dalam Pembangkang menumpukan perhatian kepada usaha untuk memastikan kerajaan bertanggungjawab di atas tindakannya dan memastikan ada dasar-dasar yang baik untuk memudahkan pemulihan ekonomi.

Kita dihantar ke Parlimen untuk memastikan rakyat Malaysia mempunyai pekerjaan, pendidikan, bantuan dan peluang yang selayaknya.

NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA SETIAUSAHA PENGELOLA KEADILAN
AHLI PARLIMEN SETIAWANGSA

Jurucakap Parlimen KEADILAN

KEADILAN terus komited untuk memperjuangkan ekonomi peduli rakyat dan meneruskan agenda reformasi.

Usaha untuk memperkuatkan dan mengeratkan hubungan di antara parti politik yang ada di
Pakatan Harapan akan terus berjalan.

Pakatan Harapan merupakan pilihan terbaik untuk menggantikan Perikatan Nasional yang telah gagal menguruskan ekonomi dengan baik, terutamanya ketika rakyat berhadapan dengan pandemik Covid-19. Ramai rakyat yang telah kehilangan kerja dan terpaksa menutup perniagaan yang menyebabkan mereka kehilangan sumber pendapatan. Malangnya, Perikatan Nasional hanya fokus memberikan jawatan-jawatan Syarikat-Syarikat Berkaitan Kerajaan kepada Ahli Parlimen mereka,
dan merosakkan institusi negara.

Untuk memastikan dan mempertingkatkan keberkesanan Ahli-Ahli Parlimen KEADILAN, Pejabat Presiden dan Whip Parti melantik Jurucakap Parlimen (Parliamentary Spokespersons) KEADILAN untuk membayangi Menteri-Menteri Perikatan Nasional, mengikut portfolio-portfolio yang ada.

Barisan Jurucakap Parlimen yang telah dipilih menonjolkan kekuatan KEADILAN sebagai parti politik berbilang kaum yang inklusif dan berjaya dalam sejarah Malaysia. Barisan ini menawarkan tokoh muda, wanita, mereka yang berpengalaman di peringkat Kerajaan Persekutuan dan negeri, pernah bekerja di pihak korporat, berkhidmat di kesatuan sekerja dan juga aktivis-aktivis masyarakat.

Dengan kewujudan Jurucakap Parlimen KEADILAN ini, setiap keputusan Kabinet Perikatan Nasional akan disemak imbang dengan lebih efektif, dan ia akan memastikan kecekapan dan keberkesanan Ahli-Ahli Parlimen KEADILAN akan dipertingkatkan.

KEADILAN telahpun memaklumkan kepada rakan-rakan Pakatan Harapan mengenai penubuhan Jurucakap Parlimen KEADILAN ini, dan rakan-rakan Pakatan Harapan juga sedang giat membuat persiapan untuk Sidang Parlimen ini.

NIK NAZMI NIK AHMAD
Ketua Setiausaha Pengelola
Parti Keadilan Rakyat

Imej mungkin mengandungi: 21 orang

Imej mungkin mengandungi: 16 orang, teks

Isu Azmin: Respon Kepada Dr Mahathir

Tun Dr Mahathir Mohamad dalam wawancara Asia Times telah mengatakan krisis di antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Azmin Ali telah menyebabkan berlakunya Langkah Sheraton yang telah membawa kejatuhan Pakatan Harapan.

Jika kita mengimbau apa yang berlaku pada peringkat awal penubuhan kerajaan Pakatan Harapan, Dr Mahathir telah meletakkan Azmin dan pasukannya di kabinet.

Azmin dilantik menjadi menteri walaupun tidak dicalonkan oleh parti, kerana ketika itu dia telah pun menjadi Menteri Besar.

Azmin dan pasukannya diberi jawatan penting dengan tujuan menjadikan KEADILAN lebih porak-poranda. Padahal, Azmin, Zuraida dan sekutu mereka merupakan di antara individu yang paling tak bersetuju untuk menamakan Mahathir sebagai calon Perdana Menteri Pakatan Harapan dengan alasan Malaysia perlukan tokoh lebih muda seperti Azmin.

Anwar pernah bertemu dengan Mahathir untuk beri nasihat dan amaran tentang risiko menghadiahkan Azmin dengan pasukannya jawatan-jawatan penting, kerana beliau mempunyai cita-cita politik yang besar. Tindakan Mahathir memberikan jawatan-jawatan penting kepada pasukan Azmin seolah-olah ingin mengganggu KEADILAN, di atas sebab itu Anwar cuba berunding dengan Mahathir.

Mahathir adalah orang yang bertanggungjawab untuk mengukuhkan kedudukan Azmin sehingga dia menjadi watak penting dalam Langkah Sheraton. Ia tidak adil untuk Mahathir menyalahkan Anwar atau KEADILAN semata-mata, hanya untuk melepaskan diri dari mengakui dirinya menjadi penyumbang terbesar kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan.

NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA SETIAUSAHA PENGELOLA KEADILAN
AHLI MAJLIS PIMPINAN PUSAT
AHLI PARLIMEN SETIAWANGSA

Isu Calon Perdana Menteri

Setakat ini Pakatan Harapan belum mencapai kata sepakat isu Perdana Menteri ke-9.

Justeru tidak adil untuk memaksa Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menerima Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon PM ke-9 apatah lagi dengan apa yang beliau lalui sebelum ini.

Tambahan pula, rekod Tun Dr Mahathir dalam isu peralihan kuasa yang menimbulkan ketidaktentuan ketika PH memerintah sebelum ini.

Krisis politik yang kita lalui selepas Langkah Sheraton sebahagiannya berpunca dari tindakannya meletak jawatan tanpa berbincang dengan rakan-rakan PH dan keyakinan bahawa Ahli-Ahli Parlimen UMNO dan PAS bersamanya.

Malaysia perlukan permulaan baru, kerajaan bersih yang fokus untuk ekonomi yang lebih adil dan saksama untuk semua rakyat. Calon terbaik adalah Anwar Ibrahim.

NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA SETIAUSAHA PENGELOLA KEADILAN
AHLI MAJLIS PIMPINAN PUSAT KEADILAN
AHLI PARLIMEN SETIAWANGSA