DPP Hentikan Rayuan Kes Black505

Saya telah dimaklumkan oleh peguam saya bahawa Timbalan Pendakwa Raya (DPP) telah memutuskan untuk menghentikan rayuan di Mahkamah Persekutuan untuk meningkatkan denda RM1,500 yang dikenakan terhadap saya di bawah Akta Perhimpunan Aman (PAA) 2012 kerana perhimpunan ‘Black 505’ pada tahun 2013.

Mahkamah Rayuan sebelum ini telah menolak rayuan kerajaan pada bulan Januari 2018 seterusnya membolehkan saya bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14.

Saya bersyukur kerana DPP bersetuju untuk berbuat demikian kerana saya percaya bahawa masa yang dihabiskan untuk mendakwa saya kerana perhimpunan aman dapat digunakan dengan lebih baik di tempat lain.

Lebih-lebih lagi Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur juga memberi saya RM230,000 sebagai ganti rugi terhadap Peguam Negara dan kerajaan pada masa itu. Saya telah didakwa berkali-kali selepas dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan yang dianggotai oleh Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof (kini Speaker Dewan Rakyat), Datuk Mah Weng Kwai dan Datuk Dr. Hamid Sultan Abu Backer yang mengisytiharkan Seksyen 9(5) PAA tidak selaras dengan Perlembagaan.

Saya menganggap perkara ini ditutup dan saya berharap kerajaan akan bekerjasama dengan Parlimen, dan juga masyarakat sivil untuk memikirkan bagaimana kebebasan perhimpunan boleh terus dilaksanakan dengan aman dan sah oleh semua rakyat Malaysia.

NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA PEMUDA HARAPAN
AHLI MAJLIS PIMPINAN PUSAT KEADILAN
AHLI PARLIMEN SETIAWANGSA

Video & Promosi Peluncuran Buku ‘9 MAY 2018: Notes from the Frontline’

Isu Berbangkit Perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11

Kementerian Industri Utama

Daripada Nik Nazmi Nik Ahmad [Setiawangsa]

Soalan:

Dalam usaha untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing, kerajaan seharusnya menggalakan para majikan untuk melakukan pelaburan di dalam teknologo untuk menggantikan penggunaan pekerja asing tanpa kemahiran dalam industri seperti perusahaan kelapa sawit. Ini akan meningkatkan produktiviti ekonomi.

Pada hari ini, para majikan tidak berbuat demikian kerana ia adalah lebih murah dan mudah untuk mengambil dan menggajikan buruh kasar asing. Maka langkah yang dicadangkan untuk mengenakan sistem levi berperingkat yang progresif berdasarkan jumlah pekerja asing yang digaji adalah langkah yang tepat.

Tuan Yang di-Pertua, Sidang Dewan Sekalian, meskipun usaha kerajaan meletakkan fokus dan tumpuan kepada peningkatan kepada bidang kejuruteraan, sains dan matematik (STEM) adalah baik, tetapi kerajaan juga perlu mencari mekanisme dan instrumen yang bersesuaian bagi memastikan peluang pekerjaan dalam sektor berkaitan wujud bagi para lepasan universiti dalam bidang ini.

Bagi mencapai hasrat tersebut, kerajaan dan IPT seharusnya mengorak kerjasama yang mampan dengan mengadakan jalinan industri dengan syarikat tempatan mahupun antarabangsa bagi mewujudkan peluang pekerjaan dan juga bagi melahirkan graduan yang sesuai dengan pasaran pekerjaan semasa.

Jawapan:

Pelbagai usaha telah dan akan terus dilaksanakan oleh kerajaan bagi mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing dalam sektor perladangan kelapa sawit. Ini termasuklah melalui penggalakan penggunaan mesin atau jentera di sektor perladangan terutamanya bagi aktiviti penuaian dan pemungutan buah tandan segar kerana aktiviti tersebut memerlukan pekerja yang paling ramai.

Untuk itu, Kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM4.5 juta di bawah RMK 11 bagi melaksanakan Skim Galakan Mekanisasi Industri Sawit (OPIMIS). Di bawah skim tersebut, pengusaha ladang akan mendapat diskaun sehingga 20 peratus bagi setiap jentera yang dibeli untuk kegunaan di ladang sawit.

Di samping itu, usaha untuk melatih belia-belia tempatan juga dilaksanakan secara berterusan di bawah Pusat Latihan Sawit Malaysia (PLASMA) untuk melatih mereka sebagai persediaan untuk menceburi industri sawit. Sehingga Jun 2018, seramai 16,744 orang telah menerima latihan dan daripada jumlah tersebut, 76% telah bekerja dalam industri sawit. Di bawah Kursus Operator Mekanisasi Ladang (KOML), belia-belia tempatan ini dilatih untuk bekerja sebagai operator atau pengendali jentera perladangan.

Sekian Terima Kasih.

Jawapan Pertanyaan Lisan Isu Dasar Umur Pengambilan Inspektor Polis

Soalan:

Nik Nazmi Nik Ahmad [Setiawangsa] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan:-

(a) adakah Kementerian akan untuk mengkaji semula dasar pengambilan inspektor polis mengikut umur dari 18 ke 28 tahun kepada 23 ke 32 tahun selaras dengan umur lazim memperoleh ijazah ; dan

(b) Sama ada Kementerian akan mempertimbangkan sama ada Suruhanjaya Pasukan Polis diberikuasa dalam proses pemilihan inspektor, bukannya Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.

Jawapan:

Yang Di Pertua,

Bagi menjawab soalan (a), Kementerian tidak bercadang dalam tempoh yang terdekat ini untuk menaikkan umur permohonan pengambilan bagi jawatan Inspektor Polis mengikut ketetapan seperti dalam Skim Perkhidmatan Bilangan 2 Tahun 2016 iaitu seperti yang dicadangkan. Skim Perkhidmatan tersebut telah menetapkan bahawa had umur yang diberikan kepada pemegang Ijazah Doktor Falsafah (PhD) sehingga 35 tahun. Pada masa ini, pihak Polis Diraja (PDRM) tidak menghadapi masalah bagi mendapatkan calon-calon untuk menyertai pasukan polis memandangkan dalam semua eksesais pengambilan bagi pegawai rendah polis atau pegawai kanan polis, sambutan amat menggalakkan diterima daripada masyarakat. Kementerian bersedia untuk membuat kajian jika terdapat keperluan berbuat pada masa hadapan.

Bagi menjawab soalan (b), dalam eksesais pengambilan dan pelantikan baru Inspektor Percubaan Polis ia terletak di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) sebagaimana yang termaktub di bawah Perkara 140 (1) Perlembagaan Persekutuan bukannya di bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA). Hanya proses untuk memohon jawatan sahaja diintegrasikan dengan portal SPA bagi memudahkan pemohon membuat semakan status permohonan mereka dalam satu saluran sahaja. Proses selanjutnya untuk ujian fizikal, SPiER-PDRM (Sistem Pemprofilan Rekrutmen Polis DiRaja Malaysia), temuduga akan diuruskan oleh Bahagian Pengambilan PDRM.

Jawapan Pertanyaan Jawab Lisan Isu 11 Pusat Membeli Belah Baru Di Lembah Klang

Soalan:
Nik Nazmi Nik Ahmad [Setiawangsa] minta Menteri Wilayah menyatakan: –

(a) Bilangan kelulusan pusat membeli belah di Kuala Lumpur yang termasuk di dalam 11 pusat memebeli belah baharu di Lembah Klang;
dan;

(b) apakah langkah yang akan diambil dalam pewartaan Rancangan Kuala Lumpur bagi memastikan pembangunan yang lebih seimbang dan lestari termasuk kawasan rekreasi dan perumahan rakyat.

Jawapan:

Tuan Yang di-Pertua,

a) Untuk makluman Yang Berhormat, daripada 11 buah pusat membeli-belah yang akan dibina di Lembah Klang, hanya 5 pusat membeli-belah tersebut terletak di Kuala Lumpur. Pusat membeli-belah di Kuala Lumpur ini telah dikeluarkan kelulusan Perintah Pembangunan (Development Order) di mana 2 pusat membeli-belah tersebut telah siap dibina, 2 pusat membeli-belah dalam pembinaan dan 1 lagi belum dibina.

Berdasarkan senarai di atas, semua pembangunan yang diluluskan terletak di atas tanah milik persendirian serta selaras dengan zon guna tanah yang ditetapkan di dalam Pelan Bandaraya Kuala Lumpur iaitu sebagai zon perdagangan Pusat Bandar/ (City Centre Commercial) dan perdagangan bercampur (Mixed use). Pusat membeli-belah ini juga terletak di lokasi yang strategik seperti kemudahsampaian (accesibility) kepada kemudahan pengangkutan awam seperti LRT dan MRT. Kedudukan yang strategik ini juga mengurangkan mobiliti penduduk keluar ke Pusat Bandar Kuala Lumpur. Sebagai contoh, Pusat Membeli Belah Kiara 163 di mana elemen residence berada di atas pusat membeli-belah yang akan dibangunkan.

(b) Untuk makluman Yang Berhormat, Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur 2020 (PBRKL2020) merupakan sebuah pelan pembangunan yang mengurus pertumbuhan Bandar Raya di mana ia menggalakkan perancangan dan pembangunan mampan dengan membeti keutamaan kepda kualiti alam sekitar, kesaksamaan sosial dan kemakmuran ekonomi. Sebagai sebuah Bandar Raya Bertaraf Dunia, PBRKL2020 memastikan perancangan dan pembangunan Kuala Lumpur dapat mewujudkan persekitaran hidup yang berkualiti, memastikan masayarakat mempunysi akses kepada infrastruktur, alam sekitar yang bersih, perumahan mampu milik, kawasan hijau dan taman termasuk peluang memperolehi kehidupan yang makmur.

PBRKL2020 turut menggariskan halatuju utama berkenaan rumah mampu milik dengan menyediakan rumah mampumilik untuk golongan berpendapatan sederhana dan golongan muda di lokasi yang strategik seperti di kawasan stesen transit dan pusat tumpuan pekerjaan. Kepesatan perbandaran dan pertambahan jumlah penduduk menjadikan langkah melindungi dan meningkatkan lagi suasana hijau sedia ada di Bandar Raya sangat penting. Oleh itu, PBRKL2020 menggariskan beberapa inisiatif antaranya ialah mengenal pasti dan mendapatkan kawasan untuk menambah kawasan hijau Bandar Raya melalui pelaksanaan strategi pembangunan dan mengalakkan penyelesaian rekabentuk inovatif di samping mengekalkan kawasan hijau sedia ada.

Pengisytiharan Aset Setakat 30 September 2018

Saya telah menghantar pengisytiharan aset saya kepada Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Nasional dan Pejabat Perdana Menteri sebagaimana diminta pihak kerajaan untuk semua menteri dan Ahli Parlimen Pakatan Harapan.

Ringkasan pendapatan dan nilai aset saya dipaparkan berserta menteri dan Ahli Parlimen Pakatan Harapan di portal MyDeclaration.

Ini adalah pengisytiharan aset ketiga yang telah saya lakukan, pertama sebagai EXCO Kerajaan Negeri Selangor, kedua sebagai calon yang bekerjasama dengan INVOKE dan kini sebagai Ahli Parlimen Pakatan Harapan.

Saya telah berjanji melakukan pengisytiharan tahunan sebagai Ahli Parlimen Setiawangsa ketika kempen PRU 2018.

Justeru, sebagaimana dijanjikan, pengisytiharan aset penuh setakat 30 September 2017 dan 2018 kini dipaparkan di https://niknazmi.com/pengisytiharan-harta/

Kedua-dua pengisytiharan tersebut dibuat menggunakan format berbeza mengikut keperluan berbeza INVOKE dan kerajaan.

NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA PEMUDA HARAPAN
AHLI MAJLIS PIMPINAN PUSAT KEADILAN
AHLI PARLIMEN SETIAWANGSA