Kemeriahan ‘Santai Final Piala Dunia’ Di Setiawangsa

Program ‘Santai Final Piala Dunia’ di Setiawangsa berlangsung dengan penuh meriah dan lancar sekali. Sebelum bermulanya perlawanan akhir Piala Dunia, program-program permainan bersama penonton dan cabutan bertuah turut diadakan. Saya juga  turut berlintas langsung di program Bernama Radio Live bersama Ahmad Muzammil dan Luqman Hafidz serta pengacara Qis Elias sebelum sepak mula perlawanan akhir antara Perancis dan Croatia.

Panelis Program ‘Russia To Malaysia’ Di TV1

Saya menjadi salah seorang panelis untuk program Live ‘Russia To Malaysia’ di TV1 bersama Dato’ Malek Noor dan rakan-rakan yang lain sempena perlawanan Akhir Piala Dunia 2018 di antara Perancis dan Croatia. Walaubagaimana pun, saya tetap setia bersama pasukan Italy walaupun tidak melibatkan diri dalam kempen Piala Dunia kali ini.

Kesediaan DSAI Bertanding Presiden KEADILAN

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat Anwar Ibrahim telah mengumumkan kesediaan beliau untuk bertanding sebagai Presiden KEADILAN dalam pemilihan parti akan datang. Dengan ini, saya mengalu-alukan penawaran diri beliau tersebut.

Saya percaya bahawa ini mampu memastikan kelangsungan KEADILAN dan meneruskan kejayaan parti sebagai parti pelbagai kaum paling berjaya dalam sejarah negara.

Saya juga melihat ini sebagai peluang terbaik untuk menyemarakkan idealisme Reformasi.

NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN
AHLI PARLIMEN SETIAWANGSA

Parlimen Setiawangsa Lancar Klinik Guaman

Parlimen Setiawangsa telah melancarkan program Klinik Guaman yang berpusat di Bilik Gerakan Utama Parlimen Setiawangsa.

Klinik Guaman ini menyediakan nasihat guaman secara percuma kepada orang ramai, khususnya penduduk Setiawangsa dalam bidang sivil, jenayah dan syariah.

Program ini merupakan inisiatif antara diri saya dan sekumpulan peguam untuk menghapuskan stigma bahawa mendapatkan nasihat guaman mempunyai implikasi kos yang besar.

Tujuan saya melancarkan program ini adalah untuk menghubungkan rakyat Setiawangsa yang mempunyai masalah dari segi undang-undang dengan peguam secara mudah.

Borang permohonan nasihat guaman boleh diperolehi di pejabat Parlimen Setiawangsa ataupun secara atas talian di
https://niknazmi.com/amk/borang-klinik-guaman-setiawangsa/

Setelah permohonan diterima, pasukan guaman akan ambil tindakan lanjut, sama ada dengan menetapkan temujanji ataupun melalui surat.

Antara kes di Setiawangsa yang saya harap dapat ditangani melalui pelancaran Klinik Guaman ini termasuk kes kewarganegaraan, hakmilik tanah dan hal-hal kekeluargaan.

Saya benar-benar berharap penduduk Setiawangsa mengambil kesempatan untuk menggunakan kemudahan ini.

NIK NAZMI NIK AHMAD
AHLI PARLIMEN SETIAWANGSA

PBSI Dan AFC Harus Bertindak Terhadap Penyokong Indonesia Yang Membaling Botol Kepada Pemain Malaysia

Saya sangat kecewa dengan apa yang berlaku selepas perlawanan bolasepak B19 antara Malaysia dan Indonesia semalam di Stadium Gelora Delta Sidoarjo.

Kelakuan segelintir peminat pasukan Indonesia telah membahayakan pemain Malaysia, di mana botol telah dibaling ke atas padang ke arah para pemain negara.

Sebagai tuan rumah, pihak PBSI bertanggungjawab ke atas keselamatan pemain Malaysia ketika berada di dalam stadium.

Saya berharap pihak PBSI mengambil tindakan keras ke atas penyokong mereka yang bertindak sedemikian, dan perkara ini tidak akan berulang lagi. Saya menyeru pihak FAM melaporkan kes ini kepada AFC supaya tindakan boleh diambil.

Menang atau kalah adat bertanding, tetapi semangat kesukanan perlu mengatasi mainan perasaan.

Kita sebagai saudara serumpun perlu berusaha untuk menjadikan bolasepak sukan yang membawa keharmonian di rantau ASEAN, dengan semangat kompetitif yang sihat dan membina.

NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA PEMUDA HARAPAN
KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN
AHLI PARLIMEN SETIAWANGSA