Sepertimana yang telah ramai maklum, sebelum ini saya telah mengumumkan kesediaan untuk bertanding selaku Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA).

Namun, setelah mengambil kira pandangan serta pertemuan pelbagai pihak, khususnya perjumpaan dengan penyandang Datuk Seri Adnan Md Ikshan sendiri, saya mengambil keputusan untuk bertanding sebagai salah seorang Timbalan Presiden.

Sudah tentu, antara faktor utama keputusan ini dibuat pastilah bagi membolehkan saya menimba pengalaman dalam menguruskan persatuan.

Meskipun bertanding selaku orang nombor dua KLFA, saya dengan teguh hati, percaya bahawa idea-idea yang telah saya utarakan dalam kenyataan sebelum ini, dapat diteruskan dan direalisasikan, demi kemaslahatan, kelangsungan serta kemajuan KLFA.

Saya juga menghargai peranan yang dimainkan oleh Datuk Seri Adnan dalam membawa skuad Kuala Lumpur ke saingan Liga Super, selepas kali terakhir layak pada tahun 2012, dan sebelum itu terpaksa bersaing dalam kancah Liga Perdana serta Liga FAM.

Justeru, saya mengambil kesempatan ini untuk menyeru semua badan gabungan KLFA untuk memilih Datuk Seri Adnan sebagai Presiden KLFA dan saya untuk jawatan Timbalan Presiden KLFA, di mana saya akan berusaha sedaya upaya saya untuk menjalinkan kerjasama erat dan strategik dengan semua pihak, bagi merealisasikan impian untuk mengangkat martabat skuad Kuala Lumpur.

NIK NAZMI NIK AHMAD
AHLI PARLIMEN SETIAWANGSA

Share This