Saya merujuk kepada temubual Peguam Negara Mohamed Apandi Ali yang telah disiarkan di laman web The Malaysian Insider pada hari ini dengan tajuk ‘Pendakwaan terhadap Nik Nazmi bukan bersifat peribadi, kata peguam negara’

Tindakan Peguan Negara mendakwa saya untuk kali ketiga adalah menyalahi sistem kerana kes tersebut telah pun mencapai keputusan muktamad pada peringkat Mahkamah Rayuan.

Bagaimana Peguam Negara boleh mewajarkan tindakan mendakwa saya untuk kali ketiga sedangkan Perlembagaan Persekutuan telah mengharamkan perbicaraan berulang (double jeopardy), malah di dalam kes ini triple jeopardy.

Di dalam siri temubual yang sama dengan The Malaysian Insider, Peguam Negara menyatakan bahawa beliau hanya akan membuat dakwaan sekiranya tindakan itu mempunyai 99 peratus kemungkinan sabitan, untuk mengelak daripada membuang masa penguatkuasa dan mahkamah. Tetapi jelas beliau
cakap tak serupa bikin di dalam hal ini. Tindakan ini hanya membazirkan tenaga kerja yang sepatutnya boleh digunakan untuk menyelesaikan kes-kes jenayah berat dan korupsi.

Adakah ini juga akan menjadi satu kebiasaan untuk Peguam Negara? Adakah beliau akan mendakwa semula kesemua kes-kes duluan (precendet cases) yang berakhir di Mahkamah Rayuan? Jika tidak, kenapa beliau memilih kes di bawah Akta Perhimpunan Awam sahaja?

Mendakwa seseorang sewenang-wenangnya hanya untuk mendapatkan keputusan muktamad berkenaan sesuatu perundangan, walaupun ia menyalahi sistem yang sedia ada, adalah tidak wajar sama sekali.

Share This