Terima Kasih Setiawangsa

Alhamdulillah saya hendak mengucapkan terima kasih terutamanya kepada para pengundi Setiawangsa dan semua yang telah memberi sokongan dan kepercayaan penuh pada PRU ini.

Saya telah berjaya memenangi kerusi marginal yang UMNO Barisan Nasional berjaya pertahankan di setiap PRU sebelum ini dengan sokongan yang tidak terhingga daripada semua pihak.

Saya amat berterima kasih kepada jentera KEADILAN yang telah berkhidmat dengan penuh komited sejak mula berkempen. Saya juga hendak menyatakan penghargaan terhadap semua parti Pakatan Harapan yang telah bekerjasama sebagai satu pasukan.

Saya akan menjunjung mandat yang telah diberikan ini dan berkhidmat sebagai ahli Parlimen dengan sebaiknya. Saya akan membawa isu-isu penting untuk warga Setiawangsa dan pastikan kepentingan anda terjamin. Saya akan cuba sedaya upaya untuk mengotakan setiap janji yang telah diluahkan sepanjang kempen ini.

Sekali lagi, terima kasih dan ayuh bina semula negara. Sebagaimana saya sebut sewaktu kempen, kita menang Setiawangsa, kita menang Putrajaya.

NIK NAZMI NIK AHMAD
AHLI PARLIMEN P118 SETIAWANGSA

Memperjuangkan Nasib Penduduk Perumahan Kos Rendah

Masalah kemiskinan sebelum ini sering dikaitkan dengan penduduk luar bandar.
Tetapi majoriti rakyat Malaysia, termasuk orang Melayu, kini tinggal di bandar. Isu kemiskinan bandar adalah isu serius dan mesti ditangani segera.
Awal tahun ini, agensi PBB, UNICEF telah mengeluarkan laporan mengenai kemiskinan dan kadar kekurangan zat kanak-kanak di Kuala Lumpur menyatakan kadarnya lebih tinggi dari purata kebangsaan.
Satu usaha menyeluruh harus dilakukan untuk memperjuangkan nasib penduduk perumahan kos rendah.
Usaha meningkatkan pendapatan dan peluang pekerjaan serta memansuhkan GST dan mengembalikan subsidi petrol bersasar yang dijanjikan Pakatan Harapan akan membantu meningkatkan kuasa beli penduduk termasuk di kawasan perumahan kos rendah.
Satu lagi tawaran Pakatan Harapan – memperluaskan konsep sewa milik akan membantu penduduk perumahan kos rendah untuk memliki rumah-rumah yang mereka diami.
DBKL juga harus mengkaji inisiatif pengecualian cukai taksiran sebagaimana dilaksanakan Kerajaan Pakatan Harapan Selangor untuk perumahan kos rendah.
Sebelum menjadi wakil rakyat Seri Setia – kawasan lama saya yang terkenal dengan banyak kawasan perumahan kos rendah, saya juga telah mengusahakan projek tuisyen sukarelawan untuk membantu kawasan Desa Mentari.
Saya akan mengusahakan kerjasama dengan NGO-NGO pendidikan dan kesihatan untuk membuat projek-projek khusus untuk perumahan kos rendah di Setiawangsa.
*Laporan UNICEF ‘Kanak-kanak Pinggiran: Satu kajiselidik mengenai kemiskinan dan penafian hak kanak-kanak bandar di rumah pangsa di Kuala Lumpur’ boleh dibaca di

Agenda Setiawangsa: Reformasi DBKL

Reformasi DBKL merupakan tumpuan Agenda Setiawangsa saya.

Pertubuhan bukan kerajaan, Selamatkan KL telah menyuarakan kepentingan mewartakan Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020. Saya menyokong usaha tersebut sepenuhnya untuk mengatasi masalah pengurangan kawasan hijau dan ketiadaan pelan pembangunan yang menyeluruh di Kuala Lumpur. Sebelum ini semua Wakil Rakyat Pakatan Harapan juga memberi sokongan mereka.

Kawasan-kawasan Bukit Dinding dan Taman Tiara Titiwangsa merupakan kawasan di bawah Parlimen Setiawangsa yang terjejas kerana isu tersebut, memandangkan telah berlaku pembangunan yang berlebihan. Seringkali kepentingan pemaju telah diutamakan berbanding kepentingan penduduk.

Perkara ini telah menyebabkan penduduk-penduduk tempatan bersuara dan menuntut perubahan dalam pentadbiran bandaraya. Berbanding dengan negeri-negeri lain, masalah di Wilayah Persekutuan lebih serius kerana terdapat jurang demokrasi. Di Wilayah Persekutuan, rakyat tidak mempunyai hak untuk mengundi badan perundangan tempatan.

Malah, majoriti Kuala Lumpur telahpun mengundi untuk perubahan sejak 2008. Namun begitu, memandangkan tiada badan perundangan tempatan yang dipilih rakyat, rakyat Kuala Lumpur tidak dapat menikmati perubahan dasar seperti rakyat di negeri jiran, Selangor.

Melihat contoh lain, Canberra ditadbir melalui Australian Capital Territory. Washington DC ditadbir oleh Daerah Columbia. London ditadbir oleh Greater London Authority. Jakarta pula setara dengan provinsi lain di Indonesia. Setiap bandar ini mempunyai pilihan raya untuk memilih pentadbir mereka, bukan hanya dengan melantik ahli parlimen, seperti yang berlaku di Wilayah Persekutuan.

Saya kecewa melihat kepentingan dan kebajikan rakyat tidak didahulukan di Kuala Lumpur. Saya sememangnya akan menyokong reformasi DBKL, selari dengan aspirasi Pakatan Harapan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat dan menyediakan pentadbiran yang lebih telus.

Dua Tawaran Penting Pakatan Harapan Untuk Setiawangsa: Pekerjaan dan Perumahan

Antara cabaran utama yang dihadapi oleh generasi muda Malaysia pada era Najib Razak ini adalah pekerjaan dan perumahan.

Selama ini, banyak syarikat-syarikat yang ada kaitan politik untung kerana membawa masuk pekerja-pekerja asing. Pekerjaan yang boleh dibuat oleh rakyat Malaysia dengan gaji yang lebih tinggi diambil oleh pekerja asing.

Tuduhan rakyat Malaysia tidak mahu melakukan kerja ‘3D – difficult, dangerous and dirty’ (sukar, berbahaya dan kotor) juga tidak betul kerana dengan gaji yang lebih baik ramai rakyat Malaysia melakukannya di Singapura, Korea dan Australia.

Komitmen Pakatan Harapan menerusi manifesto kami, Buku Harapan, adalah untuk sejuta pekerjaan berkualiti dengan gaji RM2500 ke atas. Ini boleh dicapai dengan menaikkan gaji minima kepada secara berperingkat-peringkat ke RM1500 dan mengurangkan dua juta pekerja asing yang ada di Malaysia.

Satu lagi isu besar adalah isu perumahan. Harga perumahan di Kuala Lumpur adalah teramat tinggi.

Janji BN untuk membina sejuta rumah pada manifesto PRU13 dalam tempoh lima tahun gagal sama sekali.

Harga rumah PR1MA yang mempunyai siling RM400,000 dan Rumawip RM300,000 adalah terlalu tinggi untuk majoriti penduduk Kuala Lumpur. Bandingkan dengan harga maksima RM250,000 bagi Rumah Selangorku.

Dalam laporan Ketua Audit Negara 2016 mendapati banyak kepincangan dalam Rumawip. Wujud kes syarikat-syarikat tanpa rekod diberikan projek dan pengecualian denda lewat. Siapa di belakang syarikat-syarikat ini?

Pakatan Harapan mensasarkan pembinaan sejuta rumah mampu milik dan mampu sewa dalam tempoh dua penggal.

Pakatan Harapan juga mahu memperluaskan konsep sewa milik dengan kerjasama bank komersial, menaikkan kuota rumah mampu milik dan menubuhkan Majlis Perumahan Mampu Milik Kebangsaan.

Mansuhkan GST Lagi Baik Dari Jualan Sentuhan Rakyat

Calon Parlimen Setiawangsa Barisan Nasional Zulhasnan Rafique baru ini memberi kenyataan bahawa beliau berusaha mengurangkan impak GST melalui Jualan Sentuhan Rakyat.

Jelaslah di sini bahawa Zulhasnan dan BN mengakui bahawa GST merupakan satu beban kepada rakyat.

Namun begitu penyelesaian yang dicadangkan begitu dangkal dan tidak langsung menyelesaikan masalah peningkatan kos barangan akibat pelaksanaan GST.

Mungkin Zulhasnan tak faham cabaran yang dilalui rakyat Malaysia selepas menjadi duta di Amerika Syarikat.

Jualan Sentuhan Rakyat bukan penyelesaiannya – sama ada untuk pengguna, pekerja mahupun peniaga kecil.

Pakatan Harapan berjanji untuk menghapuskan GST dalam 100 hari pertama kami memerintah kerana kami sedar bahawa rakyat Malaysia, terutamanya golongan berpendapatan rendah, belum mampu membayar cukai GST. Malah rakyat berpendapatan sederhana juga terasa impak GST.

Barisan Nasional gagal dalam pelaksanaan GST. Ahmad Maslan pernah menjanjikan harga barang akan turun. Jika betul turun, tak perlu buat Jualan Sentuhan Rakyat.

Malah, projek ECRL yang dibina syarikat China dan berharga RM60 bilion diberi pelepasan GST untuk mengawal kos pembinaannya. Syarikat gergasi dapat pelepasan GST, rakyat biasa macam kita kena bayar setiap hari.

Hasil GST digunakan untuk membayar hutang-hutang yang dikumpul Barisan Nasional akibat salah tadbir pentadbiran Najib Razak ketika mana sekolah, universiti, klinik dan hospital kerajaan menjadi mangsa.

Jadikan PRU14 ini referendum tentang GST. Jika mahukan GST kekal, undi Zulhasnan dan Barisan Nasional. Jika mahu GST dimansuhkan, undi Pakatan Harapan.