Bismillah ar-Rahman ar-Rahim.

Yang berbahagia sdr Pengerusi Tetap Azmizam Zamanhuri,
Yang dihormati rakan-rakan seperjuangan:
Ahli-Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN,
Ahli-Ahli Majlis Pimpinan Pusat Angkatan Muda KEADILAN (AMK).
Pimpinan parti di segenap peringkat, khususnya AMK,
Tetamu-tetamu kita dari pemuda Amanah, DAPSY, DPPP, PSM,
Rakan-rakan NGO,
Hadirin dan hadirat yang dikasihi sekalian.

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat sejahtera.

1. Syukur kepada Allah s.w.t. kerana dengan limpah kurnia dan kasih sayangnya kita semua dapat bersama dalam majlis yang sederhana tetapi cukup penting bagi kita meneruskan misi perjuangan reformasi melalui wadah keadilan.

Dinamika politik semasa

Sidang perwakilan yang dihormati,

2. Pada hari ini kita bertemu dalam suasana politik dunia, serantau dan negara berubah dan kadangkala tidak menentu.

3. Di peringkat global, isu-isu yang banyak diperkatakan dewasa ini menjurus kepada persoalan keganasan, perubahan iklim, pelarian dan peningkatan hubungan dagang antara negara, yang membayangkan bagaimana semua negara perlu bersatu.

4. Kita baru menyaksikan serangan pengganas di Paris yang mengejutkan kita semua. Kita harus mengulangi dengan jelas, keganasan di atas apa jua alasan tidak boleh diterima sama sekali. Pihak militan bukan sekadar mencemar imej agama, tetapi juga melanggar prinsip-prinsip yang diajar kepada kita.

5. Bagaimanapun manusia tidak pernah berputus asa. Dalam pelbagai cabaran yang ada, politik dunia menunjukkan betapa idealisme manusia tetap ada. Baru-baru ini misalnya, warga Myanmar, yang berterusan ditindas di bawah pemerintahan junta sejak sekian lama, kini berpeluang sekali lagi mengundi dan tetap menyatakan sokongan besar kepada NLD.

6. Meskipun sistem di negara itu tidak ideal sebagaimana yang diharapkan. Ia masih boleh dianggap sebagai satu kemajuan penting.

7. Kita juga tahu, di banyak negara kini, ramai anak muda diangkat sebagai pemimpin mewakili suara rakyat di pelbagai peringkat.

8. Semua ini adalah satu kemajuan yang tidak boleh dipandang remeh. Suara rakyat dan perjuangan yang boleh merangkul imaginasi ramai pasti akan menang.

9. Malaysia, sebagai ahli dalam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, sering dirujuk oleh negara-negara OIC dan tergolong dalam kelompok ekonomi pertengahan atas, mesti mengesan ciri-ciri perubahan ini dan memberikan reaksi yang betul untuk kekal dihormati di persada antarabangsa dan serantau.

10. Namun sayang, apa yang kita lihat pada hari ini, pemimpin kerajaan yang dipimpin oleh Barisan Nasional (BN) nampaknya terus selesa dan tetap merasakan tidak ada apa yang perlu diperbaiki. Bagi mereka, semuanya baik belaka.

11. Malah, bukan sahaja pemimpin utama pembangkang, sdr. Anwar Ibrahim iaitu Ketua Umum KEADILAN terus difitnah dan dipenjarakan, tetapi undang-undang zalim seperti Akta Hasutan, POTA dan SOSMA digunakan untuk mengekang suara-suara melawan. Saya sendiri berdepan dengan akta perhimpunan aman untuk Himpunan Black 505 yang sama, bukan sekali, bukan dua kali, tetapi tiga kali (triple jeopardy)!

12. Ramai lagi pimpinan KEADILAN yang berada dalam senarai pelbagai pertuduhan. Insya Allah, kita akan terus lawan! Lawan tetap lawan! KEADILAN akan terus menjadi parti perjuangan!

Bermaharajalelanya keserakahan

13. Tidak cukup dengan pemimpin pembangkang, Perdana Menteri kini menggunakan segala cara untuk mengekang bantahan daripada dalam UMNO sendiri.

14. Kita semua mengetahui apa yang sedang berlaku. Pelbagai tuduhan dilemparkan kepada Perdana Menteri. Tidak ada jawapan yang memuaskan.

15. Apa yang malang, kita melihat bagaimana seorang Perdana Menteri secara mudah memperkotak-katikkan institusi-institusi dalam negara. Peguam Negara ditukar tanpa notis awal. Pegawai-pegawai penyiasat dipindah tugas ke Jabatan Perdana Menteri (JPM). Orang nombor dua dalam cawangan khas pula ditukar.

16. Ia cukup untuk membayangkan kemelut politik yang sangat meruncing. Namun, setakat ini, keserakahan kuasa Perdana Menteri masih belum dapat dibendung lagi.

17. Perdana Menteri Najib Razak pernah menyatakan Malaysia merupakan demokrasi terbaik di dunia. Kita tidak tahu di dunia mana Najib dan Rosmah tinggal. Dalam demokrasi terbaik, seharusnya Perdana Menteri meletak jawatan apabila berhadapan dengan skandal sebesar ini. Perdana Menteri wajar meletak jawatan setelah memberi jawapan yang bercanggah terhadap pertuduhan ini. Perdana Menteri wajib meletak jawatan apabila mengakui menerima RM2.6 bilion masuk ke dalam akaunnya. Tetapi Najib masih terus mempertahankan kedudukannya.

18. Isu RM2.6 billion hanyalah satu contoh penyalahgunaan kuasa, dan ia mungkin yang paling besar dan jelas. Anak-anak diajar menghafal rukunegara, tetapi pemimpin tertinggi negara sendiri mencabuli nilai-nilainya.

19. Meskipun begitu, kita tidak boleh meremehkan kebijaksanaan rakyat. Mereka pasti sedar tentang kebobrokan yang ada. Perdana Menteri mungkin boleh meremehkan rakyat pada sesetengah masa. Namun pastinya tidak pada setiap ketika.

20. Kita yakin, beberapa petunjuk melalui kenyataan-kenyataan Bank Negara dan juga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cukup untuk menyedarkan rakyat bagi menghumban BN dalam pilihan raya akan datang.

Kemelut ekonomi

21. Tidak cukup dengan itu, negara juga berdepan dengan kemelut ekonomi.

22. Kerajaan persekutuan terus mengamalkan perbelanjaan defisit. Sememangnya tiada masalah berbelanja defisit dalam iklim kemelut ekonomi, namun ketika zaman mewah pun kerajaan persekutuan berbelanja berlebihan.

23. Lebih daripada 80 peratus perbelanjaan digunakan untuk belanja mengurus.

24. Kesan utamanya ialah kenaikan harga barang dan perkhidmatan serta perlahannya kenaikan gaji. Ini telah menyumbang kepada hutang isi rumah yang tinggi, antara yang tertinggi di rantau ini.

25. Di kalangan professional muda, hutang kad kredit, diikuti pendidikan, hutang peribadi dan akhirnya hutang perumahan merupakan hutang yang tertinggi dipikul generasi ini. Kadar pendapatan terus berada pada tahap yang membimbangkan.

26. Pada 2015, statistik KWSP menunjukkan daripada lebih 6 juta ahli KWSP, 75.5 peratus berpendapatan RM3000 ke bawah sebulan. Satu pertiga ahli KWSP berpendapatan bawah RM1000.

27. Ini diburukkan lagi dengan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

28. Tekanan ini pastilah lebih dirasakan apabila subsidi dikurangkan secara mendadak, kos pengangkutan yang tinggi terutama bagi mereka yang tinggal di bandar. Bagi yang mengimport barangan luar, bukan sahaja cukai berkaitan import perlu dibayar, tetapi penurunan nilai mata wang pasti memberi kesan besar terhadap perniagaan mereka.

29. Suka atau tidak, golongan pekerja dan kelas menengah yang paling merasa kesan ini.

30. Harga kereta – yang sudahpun berada pada kadar yang tinggi kerana cukai eksais dan duti yang tinggi – kini semakin meningkat kerana pengenalan cukai GST dan penurunan kadar ringgit. Beberapa syarikat kereta sudah mengumumkan pengenalan harga baru tahun hadapan bagi berhadapan isu ini. Harga tol juga dinaikkan terutamanya di Lembah Klang.

Propaganda usang

Hadirin dan hadirat yang dikasihi,

31. Bagi menutup segala masalah ini, pihak berkuasa meneruskan propaganda usang, memainkan isu perkauman sempit yang disadurkan dengan mesej agama. Untuk kekal berkuasa, terdapat beberapa individu dibiar mencetuskan kebencian serta syak wasangka kaum dan agama. Masyarakat Melayu terutamanya dimomokkan dengan ancaman asing yang bakal menghilangkan identiti dan hak mereka. Orang Melayu diajar agar membenci dan mempunyai perasaan takut kepada kaum dan penganut agama lain. Dengan mesej inilah kemudiannya mesej reformasi tentang kebebasan dan keadilan diremehkan.

32. Walhal, negara ini sebenarnya cukup kosmopolitan. Pada zaman kesultanan Melaka lagi, sejarah menunjukkan terdapat 84 bahasa yang dipertuturkan. Orang-orang Cina dan India telah lama menjadi tamadun besar dan bertebaran di seluruh dunia. Orang Melayu, sebagai pemerintah sejak zaman dahulu cukup terbuka sikap mereka.

33. Pada zaman globalisasi ini, didorong dengan kemudahan teknologi maklumat, adalah sesuatu yang biasa bila kita membandingkan kehidupan di negara lain berbanding Malaysia. Memang, ada negara yang jauh lebih ketinggalan berbanding kita. Kita wajib bersyukur, bukan dengan rasa selesa dan berpuas hati, tetapi dengan cara melihat apa yang masih kurang dan perlu diperbaiki kerana masih ada negara lain yang kehidupannya lebih baik berbanding negara kita.

34. Ia mungkin relatif kerana faktor budaya. Namun, negara kita sendiri bukanlah tidak lebih baik pada satu ketika berbanding masa kini. Dengan izin, even the best can be improved!

35. Politik wujud kerana mustahil manusia boleh bersetuju dalam semua perkara pada setiap masa. Demokrasi memberikan jalan untuk manusia menangani perbezaan-perbezaan yang ada. Menjadi tugas pemimpin memastikan keamanan dengan cara mendorong persefahaman, menghormati perbezaan berasaskan prinsip-prinsip demokrasi. Bukan tugas pemimpin menggalakkan pergeseran untuk membolehkan mereka bertindak keras menjadi suara pemutus. Politik perkauman yang diamalkan oleh pemimpin BN tidak akan membawa negara kita ke hadapan, sebaliknya akan menjadi hambatan kepada kita.

36. Dalam Al-Quran, dipamerkan semangat perkauman ini selalu dimainkan oleh puak-puak Yahudi. Mereka mainkan itu, kerana mereka mahu menutup kebenaran kenabian Nabi Muhammad yang bukan sebangsa dengan mereka.

37. Dalam banyak negara, termasuk negara kita, Malaysia, ada dua isu besar yang sering dijadikan asas untuk menutup kejahatan pemerintah, iaitu isu perkauman dan isu agama. Hal ini pernah berlaku di Pakistan, Burma, Mesir, bekas-bekas Republik Yugoslavia dan sebagainya. Perkara ini sengaja dibangkitkan oleh penguasa yang jahat, untuk memastikan rakyat terkabur dan terus melupakan skandal yang melibatkan dirinya. Kejahatan sebegini, pasti akan menjadikan sesebuah negara itu hancur dan rosak, jika rakyat tidak berusaha untuk membendungnya. Seorang ulama Melayu tersohor bernama Syeikh Daud Fatani ada berkata dalam kitab beliau, Munyatul Musalli, “tiada negeri melainkan dengan rakyat. Dan tiada rakyat yakni yang memeliharakan dengan adil”.

38. Pemerintah yang baik, pasti tidak akan mengambil kesempatan untuk menyuburkan persengketaan antara penganut agama dan bangsa, sebaliknya sebarang unsur yang boleh melahirkan permusuhan akan dibanteras dengan bijaksana, tanpa melibatkan pertumpahan darah dan kekerasan. Syaikh Muhammad Al-Ghazali dari Mesir pernah berkata, “rakyat jadi rosak sebab pemerintah rosak”.

39. Dalam ungkapan lain, beliau berkata lagi, “jika tiada hakim jahat dan tiada ulama jahat, pasti pemerintah kurang melakukan kerosakan. Kerana, pemerintah takut dengan penentangan mereka”.

40. Tindakan menolak perkauman, malahan menyuburkan budaya saling hormat menghormati adalah dituntut dalam ajaran Islam. Malahan, negara yang rakyatnya saling berusaha menolak budaya permusuhan akan dijaga oleh Allah. Dalam buku Duwar Ul-Qiyam Wal-Akhlak Fil-Iqtisad Islami, Sheikh Yusuf Al-Qardhawi ada menyatakan bahawa negara yang dijaga oleh Allah adalah negara yang rakyatnya saling menyuburkan kebaikan, seperti bangun membetulkan pemerintah yang rasuah, yang menyelewengkan dana rakyat dan sebagainya. Kenyataan Al-Qardawi itu merujuk kepada firman Allah dalam Surah Hud, ayat 117 yang bermaksud, “dan tuhanmu tidak sekali-kali hendak membinasakan mana-mana negeri dengan sebab kezaliman penduduknya, selagi mereka sentiasa memperbaiki keadaan sesama sendiri.”

41. Kewujudan perkauman sempit merupakan benih-benih permusuhan dalam masyarakat. Ekoran itu, ia tidak akan memberi kebaikan kepada rakyat, walaupun ia dilakukan oleh orang Islam. Ibn Taimiyyah ada berkata, “Allah tidak akan menolong negara yang zalim, walaupun ia diperintah oleh orang Islam sekalipun”.

42. Justeru AMK ingin menuntut agar badan-badan kerajaan yang menjadi perkakas sentimen perkauman dan politik partisan seperti Biro Tatanegara (BTN) dan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) dibubarkan dengan serta-merta! Tidak masuk akal jutaan wang ringgit rakyat disalurkan untuk agensi-agensi ini, apatah lagi ketika kegawatan ekonomi yang menyaksikan agensi-agensi yang penting untuk kebajikan dan kesejahteraan rakyat dipotong peruntukan mereka.

Pulihkan persekitaran pendidikan

Sidang perwakilan sekalian,

43. Salah satu senjata menentang perkauman ini tidak lain dan tidak bukan adalah pendidikan.

44. Kita harus menjadikan institusi-institusi pendidikan tinggi sebagai wadah membentuk insan dan membina wacana intelektual. Kini IPT-IPT milik kerajaan disalahertikan seolah-olah milik UMNO, malah wujud Naib Canselor dan Rektor yang berlagak mengalahkan ketua cawangan UMNO dan bukannya tokoh akademik.

45. Ketika pelbagai isu semasa timbul, daripada GST sehingga 1MDB dan TPPA, universiti kita sunyi daripada perbincangan terbuka. Begitulah merosotnya kualiti di universiti kita pada hari ini.

46. Sekonyong-konyong, ada ahli akademik muncul mendabik dada memperlekehkan ahli akademik lain dan mahasiswa yang berani menuntut ruang keterbukaan dan kebebasan bersuara. Universiti tidak lagi menjadi sarana pembebasan, sebaliknya ia sudah menjadi kilang pengeluaran manusia bersifat robot – memuntahkan semula apa yang diajar – dan tampil di majlis graduasi mengutip sekeping ijazah yang ada kalanya lebih dekat maksudnya dengan ‘surat hutang’.

47. Sistem pendidikan tinggi berhadapan dengan krisis. Buat dua tahun berturut-turut, nisbah tempat yang ditawarkan di IPYA berbanding bilangan pelajar berkeputusan cemerlang menurun dan dijangka akan terus menurun dengan pemotongan rm1.4 bilion peruntukan pengajian tinggi baru-baru ini. Biasiswa ke luar negara juga giat dipotong ataupun dihadkan dengan pelbagai syarat-syarat baru sehingga pelajar-pelajar yang cemerlang SPM tidak lagi berpeluang melanjutkan pengajian di luar negara.

48. Mahasiswa terpaksa ke IPTS. Ini bermakna mereka perlu menanggung hutang PTPTN. Namun peruntukan PTPTN pula dipotong 15-25 peratus dalam situasi kos sara hidup yang makin meningkat.

49. Kita juga tidak harus melupakan majoriti anak-anak muda yang tidak dapat masuk ke universiti. Bidang kemahiran harus dikembangkan agar mencapai tahap piawai antarabangsa. Di negara maju, bidang-bidang kemahiran memberikan kadar upah tinggi yang membolehkan mereka yang menceburinya tidak dipandang rendah, sebaliknya dapat menikmati kehidupan kelas menengah yang selesa.

Memang salah UMNO-BN

50. Kita tidak mahu teragak-agak bahawa semua masalah utama yang ada di Malaysia pada hari memang salah UMNO-BN. Lihat sahaja Dr Mahathir Mohamad sekarang ini yang juga menyalahkan UMNO dan Perdana Menteri Najib Razak.

51. Dr. Mahathir berkata “pemimpin yang buruk lahir daripada sistem demokrasi yang disalah guna.” Justeru itu, kita harus sedar bahawa Perdana Menteri yang kita miliki pada hari ini sebenarnya lahir daripada sistem demokrasi yang telah disalah guna, termasuk oleh Dr. Mahathir sendiri.

52. Jadi rakyat Malaysia jangan tersilap mempercayai Dr. Mahathir sekali lagi. Kita boleh berterima kasih kepada beliau kerana bercakap tentang kebebasan bersuara, kepentingan ketinggian undang-undang (rule of law) dan melawan rasuah serta salah guna kuasa yang ada kini. Namun, kita tidak akan lupa siapa yang menjadikan demokrasi negara ini tempang – melemahkan elemen semak dan imbang. Kita tidak akan lupa siapa bertanggungjawab ke atas satu demi satu skandal kewangan mega terawal negara. Kita tidak akan lupa siapa yang memfitnah dan menyeksa Anwar Ibrahim. Kita tidak akan lupa siapa pemimpin ketika rakyat diseksa kerana bangkit menuntut reformasi.

53. Sememangnya kerja gila jika kita berulang kali membuat perkara yang sama tetapi mengharapkan kesudahan yang berbeza.

Menggerakkan reformasi

Sidang perwakilan,

54. Tetapi apa yang kita benar-benar perlukan bukanlah hanya pertukaran kerajaan. Ia memang penting. Tetapi kita juga mesti merubah secara radikal kaedah bagaimana negara ini ditadbir. Kita mesti ubah tingkah laku politik kita dan cara kita menjalankan kerja. Perubahan mestilah dilakukan ke atas gerak kerja parti politik kita. Malah, setiap aspek pengurusan negara ini mesti diubah. Inilah erti agenda reformasi.

55. KEADILAN yang sepatutnya menggerakkan proses ini. AMK yang sepatutnya menjadi barisan hadapan gerakan ini. Seluruh rakyat Malaysia sepatutnya mendukung kita di dalam usaha ini.

56. Namun, kita mesti mengakui, rakyat semakin sinis. Kepercayaan kepada ahli politik sudah terhakis. Adakah tanggapan itu salah atau tidak tepat? Tidak semestinya.

57. Malah, suara-suara sinis inilah yang seharusnya menyedarkan kita bahawa usaha ini adalah usaha bersama. Sekiranya kita mempercayai sistem demokrasi yang telah mengatur bagaimana kuasa boleh bertukar tangan seperti yang berlaku di negara-negara maju khususnya, malah di Myanmar baru-baru ini, maka mahu atau tidak, kita mesti memperbaiki kekurangan yang ada dalam parti dan kerjasama antara parti.

58. Kita perlu belajar daripada pengalaman revolusi Mesir yang ditunjuk melalui sebuah filem dokumentari bertajuk The Square. Di sana, meskipun Ikhwan Muslimin disalahkan oleh penggerak revolusi kerana didakwa merampas perjuangan mereka, namun, akhirnya mereka mengakui bahawa proses peralihan kuasa memerlukan pemimpin pengganti dan proses pemilihannya tetap perlu melalui sistem pilihan raya di mana parti politik dikatakan lebih tersusun dan mahir dalam aspek ini.

59. Ini tidak menjadikan suara-suara di luar parti politik tidak penting, sebaliknya sebuah ketumbukan yang kuat boleh dicapai sekiranya kita memahami persoalan ini.

60. Kita perlu kembali kepada asas politik. Parti politik bukan hidup hanya untuk pilihan raya. Parti juga bukan jentera untuk mengagihkan kuasa. Ia perlu hidup dengan mampan, dan sentiasa membangun mengikut peredaran zaman. Apabila negara dihantui permasalahan, parti politik perlu bersedia tampil dengan penyelesaian. Parti bertanggungjawab ke atas rakyat, terutamanya yang lemah.

61. Ironinya, dalam konteks politik Malaysia, meskipun kita lebih banyak bercakap hal-hal kepentingan golongan luar bandar, ternyata sokongan yang diterima buat masa ini lebih dirasakan dari golongan bandar.

62. Bukan sekadar itu, kita mesti melihat Malaysia dengan lebih tepat, bukan merujuk hanya kepada semenanjung dan mengabaikan Sabah dan Sarawak. Begitu juga, ketika rakan-rakan bercakap tentang kepentingan Sabah dan Sarawak, janganlah melupakan Semenanjung. Selepas sekian lama dipinggirkan UMNO-BN, yakinlah bahawa kita semua mahukan perubahan.

63. KEADILAN telah mengorak langkah dengan mengiktiraf kedudukan kedua-dua buah negeri tersebut yang dimaktubkan ketika pembentukan Persekutuan Malaysia 1963. Kita harus menghantar mesej yang jelas, perubahan untuk kedua-dua buah negeri tersebut hanya boleh datang dengan perubahan yang menyeluruh dari Sabah, Sarawak hinggalah ke Putrajaya.

64. Kita mesti sedar bahawa Ketua Menteri Sarawak dan Sabah itu masih merupakan pemimpin BN, sebaik apa pun imej yang ditonjolkan mereka. Dengan mereka menolong BN, bererti negara ini masih ditadbir dengan cara lama – sumber ekonomi lebih banyak dikawal oleh persekutuan.

65. Dalam merealisasikan misi mengembangkan pengaruh di negeri Sarawak khususnya, kerana pilihan raya negeri itu akan diadakan pada tahun hadapan (dijangka Mac 2016), Jawatankuasa Pilihan Raya AMK Pusat sedang giat mempersiapkan calon-calon AMK. Kita sudah mengumumkan enam calon – empat daripada AMK dan dua daripadanya merupakan calon bersama AMK dan Wanita KEADILAN, dan kita berharap rakyat Sarawak mampu memberikan kemenangan kepada mereka. Kita membariskan calon daripada pelbagai latar belakang: ada aktivis, profesional dan usahawan. Kita mengalu-alukan anggota-anggota AMK yang berminat untuk terlibat membantu persediaan dan bertugas untuk berhubung dengan JPRP AMK. Insya Allah, Sarawak akan menyaksikan kemenangan sulung calon AMK.

Menyusun semula pergerakan AMK

Sidang perwakilan sekalian,

66. Ramai yang menaruh harapan tinggi kepada AMK kerana kitalah wajah-wajah yang mencerminkan gambaran masa depan perjuangan reformasi di negara ini. Ayuhlah kita berikrar untuk berada di barisan hadapan pergerakan ini.

67. Untuk itu, kita mestilah segera menginsafi tanggungjawab yang sedang digalas. Ini bukan tugas kecil dan tidak ada sesiapa di kalangan kita, termasuk diri saya, dapat menggerakkannya sendirian.

68. Saya juga ingin meminta maaf di atas sebarang kesilapan saya sepanjang memimpin AMK. Marilah kita berazam untuk bersama-sama membina AMK yang mantap dan berwibawa.

69. Kita mesti saling membahu, bergabung tenaga untuk mencapai perkara yang lebih besar, berpandukan asas perjuangan yang telah pun digariskan.

70. Justeru itu, AMK akan mula melaksanakan konvensyen-konvensyen AMK Negeri bagi negeri-negeri yang sudah bersedia. Satu jawatankuasa khas akan dibentuk untuk menentukan mekanisme terbaik dalam pelaksanaannya. Kita berharap, proses ini akan memantapkan lagi AMK di peringkat negeri, sekaligus menjadi inisiatif terbaik untuk mengukuhkan pendemokrasian dalam parti.

71. Sebagai sebuah parti yang mendokong cita-cita reformasi, tentulah apa yang telah berlaku semasa dua proses pemilihan yang lepas memerlukan perhatian serius agar ia tidak berulang.

72. Pada masa yang sama, kita harus memahami bahawa perbezaan dalam parti ini sememangnya cukup banyak sejak ia mula ditubuhkan. Ini kerana latar belakang anggota yang pelbagai, malah boleh dikatakan hampir semua pernah melibatkan diri dalam protes di jalan raya – petunjuk keberanian mengambil pendirian dan sikap bebas.

73. Kita wajib menguruskan perbezaan pandangan dalam parti secara bijak. Sementara kebebasan perlu dijamin, kita juga mesti berlaku adil. Parti mempunyai disiplin dan peraturan tertentu yang perlu dipatuhi. Tidak semua apa yang kita yakini baik boleh dan mesti dicapai segera. Ada pepatah Inggeris yang menyebut, they can’t see the forest for the trees – jangan kerana asyik melihat sebatang pokok terlepas pandang hutan yang lebih besar. Jangan kita gigih memperbesarkan perbezaan dalaman, seolah-olah hanya kita yang berjuang, sehingga terlupa siapa lawan politik sebenar.

74. Kita mesti mengukuhkan kedudukan parti di jalur tengah arus politik negara. Tidak keterlaluan mengatakan KEADILAN adalah parti berbilang kaum yang terbaik pernah wujud dalam sejarah negara Malaysia. Kini kita mempunyai wakil rakyat di setiap negeri. Kita harus berbangga dengannya dan mesti memastikan ia terus subur.

75. Parti kita juga memberi peranan besar kepada wanita dan anak muda. Peranan kita di Parlimen dengan Ketua Pembangkang dan Presiden Dr Wan Azizah Wan Ismail berserta kedudukan kita sebagai parti peneraju di Selangor bawah kepimpinan Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali adalah petanda kejayaan kita.

76. Kita harus berbangga dengan kejayaan parti melahirkan tokoh-tokoh muda – bukan sekadar di AMK malah di arus perdana politik seperti Setiausaha Agung Rafizi Ramli, Naib-Naib Presiden Nurul Izzah Anwar, Shamsul Iskandar, Darell Leiking serta senator Siti Aishah Shaik Ismail. Gerakan mengumpulkan dan meraikan bakat-bakat baru sama ada golongan aktivis, mahasiswa, pekerja, agamawan mahupun professional harus diteruskan dengan giat.

Bebaskan Anwar, jatuhkan UMNO-BN

Saudara pengerusi tetap,

77. Ketua umum kita, Anwar Ibrahim masih lagi dipenjarakan. Hari ini hampir 300 hari beliau merengkok di dalam penjara semata-mata kerana perjuangannya menjadi ancaman terbesar kepada UMNO-BN. Bukan sahaja badan-badan antarabangsa seperti Inter Parliamentary Union, Human Rights Watch, Amnesty International dan PBB mengecam pemenjaraan beliau, malah tokoh-tokoh termasuk ulama’ tersohor Syeikh Yusuf Qardhawi dan barisan intelektual besar di seluruh dunia juga menggesa pembebasan beliau.

78. Lebih mendukacitakan lagi, hak beliau mendapat rawatan terbaik turut dinafikan. Sebab itu, kita tidak pernah percayakan UMNO-BN. Tangan mereka mungkin sekali-sekala akan menghulur salam, tetapi kaki mereka akan terus menerajang kita.

79. Alat-alat propaganda UMNO-BN mengatakan semua kecaman dari luar sebagai ‘campurtangan asing’. Tetapi pemimpin negara sendiri tidak segan silu mengeluarkan kenyataan mengecam banyak negara lain. Pada masa yang sama, kenyataan dari sebuah badan PBB tidak boleh diperlekehkan sedemikian memandangkan kita juga merupakan anggota PBB, malah menganggotai majlis keselamatan PBB pada waktu ini.

80. UMNO-BN boleh terus menindas. Sejak dulu hingga kini kita boleh senaraikan ratusan malah ribuan mangsa penindasan mereka. Dari pelajar, mahasiswa, ahli akademik, ketua hakim, tokoh korporat, profesional dan pekerja, pelbagai kaum dan agama, semuanya ada.

81. Namun sebagaimana dinukilkan oleh Gene Sharp dalam manual perjuangan tanpa keganasan, from dictatorship to democracy yang kini dijadikan rujukan pejuang-pejuang demokrasi dari Eropah Timur hingga ke Indonesia, peningkatan tekanan ini sebenarnya menggambarkan kelemahan rejim autoritarian dan bakal mengundang peningkatan amarah rakyat.

82. Kita memerlukan suatu wawasan; serta perancangan jitu bagi mengerakkan negara ini ke hadapan. Tidak cukup sekadar mengulangi retorik membantah kezaliman dan rasuah. Masyarakat mahu penjelasan dan contoh keadilan yang mahu ditegakkan.

83. Kita mesti buktikan kepada rakyat Malaysia, terutamanya generasi muda, bahawa jika politik lama menjadi kekangan terhadap kemajuan masyarakat, politik baru berupaya mengubahnya.

84. Maka berkumpulnya kita saban tahun dalam kongres seperti ini janganlah dijadikan formaliti, sebaliknya ambillah peluang agar ia menjadi sebahagian daripada batu-bata perjuangan kita. Serlahkan idealisme dan intelektualisme kita di medan ini.

85. Insya Allah, dalam pilihan raya akan datang, kita akan menumbangkan UMNO-BN dan memastikan Malaysia ditadbir dengan lebih adil.

Kerjasama pembangkang

Hadirin dan hadirat sidang perwakilan,

86. Antara isu yang sering dibicarakan kini ialah persoalan kerjasama pembangkang. Kita harus akui, krisis politik pembangkang dihadapi terutama sejak tahun lalu wajar diinsafi. Ia sekaligus menggambarkan betapa besarnya peranan Anwar selama ini.

87. Anwarlah yang berjaya membawa parti-parti pembangkang duduk berbincang dan mencapai persetujuan yang diungkap dalam dasar bersama sebelum ini. Ia tidak pernah berjaya dilakukan oleh pemimpin terdahulu. Insya’Allah, dasar bersama ini akan terus kita pertahankan.

88. Dengan itu juga, kita mengucapkan tahniah kepada Presiden parti Dr Wan Azizah yang mengambil inisiatif memulakan rundingan parti-parti pembangkang selepas kerjasama Pakatan Rakyat tidak lagi berfungsi. Pada masa yang sama, kita memahami gesaan untuk merangkul semua pihak lain – termasuk badan bukan kerajaan serta individu-individu yang turut berjuang untuk mencapai politik baru yang lebih baik.

89. Pakatan Harapan mungkin baru. Namun kita telah membuktikan keseriusan semasa dengan menawarkan belanjawan alternatif serta menghidupkan semula mesyuarat tertinggi kerjasama antara parti. Awal tahun depan Konvensyen Pakatan Harapan akan diadakan, dan Pemuda Pakatan Harapan yang telah dibentuk juga telah bersetuju diadakan satu Konvensyen Pemuda Pakatan Harapan pada tahun 2016.

90. Antara perkara yang dipersetujui ketika penubuhan Pemuda Pakatan Harapan baru-baru ini adalah memperjuangkan isu pendaftaran pengundi dengan keadaan hari ini di mana Penolong Pegawai Pendaftar anggota parti sudah dimansuhkan oleh SPR. Ada 4 juta warganegara muda yang tidak berdaftar hari ini.

91. Justeru, AMK hari ini akan melancarkan kempen ‘Undilah’ bagi menggerakkan usaha pendaftaran pengundi. Setiap AMK Negeri harus menggerakkan AMK-AMK Cabang bagi mendaftar seramai mungkin pengundi menggunakan bahan kempen yang disediakan oleh Jawatankuasa Pilihanraya AMK.

92. Sesetengah mungkin pesimis, menganggap undi orang Melayu akan berkurangan dan sekaligus menjadikan kerjasama baru semakin tidak relevan. Kita jangan mudah meremehkan sikap politik orang Melayu. Sebaliknya, kita yang mesti bekerja keras untuk meyakinkan orang Melayu bahawa politik baru yang ditawarkan adalah untuk semua, termasuk orang Melayu itu sendiri.

93. Kita mesti bingkas melihat ke hadapan dan tidak tersangkut dalam nostalgia lama. Jika tidak, kita mungkin menerima nasib yang sama seperti pembangkang di negara jiran, Singapura. Selepas berjaya memenangi beberapa kerusi dalam pilihan raya sebelum ini, pembangkang masuk ke pilihan raya lalu dengan lebih tersusun, satu lawan satu. Pada masa yang sama, PAP menjadikan penggal lalu sebagai tempoh memperbaiki diri. Hasilnya, rakyat Singapura kembali memberi kepercayaan kepada PAP, parti-parti pembangkang tewas teruk meskipun ceramah yang dianjurkan oleh mereka dihadiri puluhan ribu penyokong dan pendengar.

94. Kita juga mungkin menghadapi hukuman yang sama jika lalai. Pengundi kini lebih kritikal dan tidak lagi hanya melihat lambang parti semata-mata. Mereka hanya akan memberi kepercayaan sekiranya parti-parti pembangkang tersusun baik. Pengundi tidak akan teragak-agak menghukum keegoaan kita, tambahan pula jika gagal menunjukkan kesediaan mengambil alih kepimpinan negara.

95. Untuk mencapai ini, kita tidak boleh hanya berpuas hati dengan mentadbir Selangor dan Pulau Pinang. Kita tidak boleh berpuas hati hanya dengan menghalang UMNO dan BN daripada memperoleh majoriti dua pertiga. Kita mestilah meletakkan misi yang lebih tinggi: menang dan mengambil alih pentadbiran di Putrajaya. Tidak ada pilihan kedua.

96. Kita sebenarnya mempunyai kemampuan tersebut. Rakyat juga mahu menunjukkan kuasa mereka yang selama ini disimpan. Model kerjasama BN – UMNO sebagai big brother, UMNO mendominasi parti-parti lain – sebenarnya sudah tidak lagi diterima. Model kerjasama Pakatan Rakyat – equal partnership – masih belum cukup sempurna. Ia terlalu longgar dan samar.

97. Pakatan Harapan harus memperbaiki aspek ini, melangkah ke hadapan. Apa yang perlu dibuat, pada hemat saya, ialah pembentukan institusi-institusi yang aktif dan berfungsi; bukan hanya seperti Majlis Presiden dan sekretariat di pusat, tetapi juga di negeri-negeri hinggalah ke peringkat akar umbi.

98. Pengumuman pertandingan kerusi secara unilateral, harus dihentikan serta-merta!

99. Secara peribadi, saya berpendapat, sudah tiba masanya parti-parti pembangkang mencapai konsensus untuk menubuhkan kabinet bayangan bagi menggambarkan keseriusan kita mentadbir putrajaya. Kita sudah tampil sejak Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat dengan belanjawan alternatif dan manifesto bersama. Kabinet bayangan adalah langkah ke hadapan yang perlu kita laksanakan seterusnya.

100. Kabinet ini tidak perlu ramai seperti kabinet kerajaan, sebaliknya streamline dan mungkin mempunyai 18 wakil sahaja dan perwakilan sama rata ketiga-tiga parti.

101. Kerjasama dan hubungan badan-badan bukan kerajaan serta individu-individu yang sering mewarnai thought leadership negara ini juga perlu terus dipergiatkan. Selaras dengan itu, tahniah kepada skuad yang tampil bersama-sama memimpin pasukan keselamatan semasa perhimpunan Bersih 4.0. Pihak skuad baru selesai program latihan dan pentauliahan kumpulan yang pertama.

102. Kita akan terus mendokong apa sahaja agenda yang selaras dengan dasar perjuangan kita. Jangan malu untuk belajar dan jangan lokek berkongsi pengetahuan, kemahiran dan pengalaman.

KEADILAN adalah masa depan Malaysia

Tuan pengerusi tetap dan teman-teman seperjuangan,

103. Kita telah memilih KEADILAN sebagai wadah perjuangan. Kitalah yang menentukan jatuh bangun parti dan perjuangan ini. Pilihan ini sebenarnya tidak mudah. Namun, kita juga tidak mudah mengalah.

104. Semua yang berada di sini merupakan anak muda yang mempunyai wawasan untuk memajukan tanahair kita. Setiap yang berada di sini telah mengorbankan sesuatu demi usaha ini. Adakalanya pengorbanan ini sangatlah pahit. Tetapi kita tetap pendirian dan telah berjaya menggegarkan asas rasuah negara ini yang diterajui golongan elit BN. Kita berjaya meledakkan gelombang harapan rakyat. 2008 dan 2013 tidak mungkin terjadi jika bukan kerana semua di sini.

105. Ada kalanya kita berasa sukar, serba serbinya tidak mencukupi. Namun yakinlah, tidak ada yang terlalu sukar jika kita melakukannya bersama-sama. Seperti kata pujangga Tiong Hua, lao tsi: qian li zhi xing, shi yu zu xia, perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.

106. Perjuangan selalu menuntut pengorbanan, dan politik kita adalah perjuangan. Marilah kita selalu mengikhlaskan niat, cuba menyumbang dengan sedaya upaya kita. Tidak ada yang terlalu kecil atau terlalu besar.

107. Jika kita gagal menumbangkan BN, bukan kita yang patut kecewa; seluruh rakyat Malaysia yang layak rasa kecewa. Marilah kita memenuhi harapan besar itu. Ingatlah setitik air tetap boleh membentuk gelombang bila jatuh ke permukaan air yang besar. Setiap daripada kita mempunyai peranan masing-masing. Ingatlah apa yang pernah diungkap dalam hikayat malim deman:

Yang pekak pembakar meriam,
Yang buta menghembus lesung,
Yang capik menghalau ayam,
Yang pendek tinjau meninjau,
Yang kurap memikul buluh.

108. Kita anak-anak muda mahukan negara yang lebih baik untuk didiami bersama. Kita akan mewariskan negara ini kepada generasi baru dengan keyakinan baru bahawa Malaysia adalah milik kita semua bersama. Semua anak Malaysia berhak hidup dan memajukan diri tanpa diskriminasi kerana faktor usia, kaum dan agama.

Tuan pengerusi tetap,

109. KEADILAN adalah masa depan Malaysia. Ia akan direalisasikan oleh kita bersama.

Sekian, terima kasih.

Reformasi!
Reformasi!
Reformasi!

Share This