Saya telah menerima aduan daripada beberapa pelajar yang memohon biasiswa JPA, bahawa dalam ujian pemilihan penerima biasiswa ada beberapa soalan berbaur politik.

Ujian ini berlangsung di bawah pentadbiran Najib Razak sebelum ini.

Antara soalan-soalan tersebut berbunyi lebih kurang berikut:

“Saya sokong apa yang dilakukan oleh kerajaan saya…

“Saya sokong apa-apa yang dilakukan oleh Perdana Menteri…

“Saya percaya bahawa saya tidak patut bersifat anti-kerajaan dengan menyokong pihak pembangkang…

“Pihak pembangkang mampu menggugat kedudukan negara.”

Menurut pelajar-pelajar itu, setiap ayat tersebut mesti dinilai antara 1 (sangat tidak bersetuju) hingga 7 (sangat bersetuju).

Saya ingin mendapat pengesahan daripada JPA sama ada memang ada soalan-soalan tersebut ditanya di dalam ujian tersebut.

Sekiranya ada, saya menggesa pihak JPA menghentikan serta-merta soalan-soalan berbaur politik di dalam ujian pemilihan mereka.

Pemilihan penerima biasiswa tidak patut dikaitkan dengan sokongan parti politik atau kerajaan. Saya juga berharap Menteri Pendidikan yang baru Dr Maszlee Malik akan memberi perhatian kepada perkara ini.

Semua harus menerima budaya reformasi yang ingin dibawa Kerajaan Pakatan Harapan. Meneruskan amalan lama yang bertentangan dengan politik baru tidak boleh menjadi satu pilihan.

NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA PEMUDA HARAPAN
KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN
AHLI PARLIMEN SETIAWANGSA