Langkah Kerajaan Persekutuan untuk menyelaraskan kadar gaji minima ke seluruh Malaysia selaras manifesto Pakatan Harapan adalah positif.

Walaupun kenaikan itu adalah sedikit pada masa ini, tetapi ini merupakan satu kemajuan yang boleh dipertingkatkan lagi pada masa akan datang.

Tidak boleh dinafikan bahawa kadar gaji di Malaysia telah mendatar sekian lama, dan aspirasi kita untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi telah lama terkesan oleh kelembapan ini. Kita juga jangan fokus kepada pendapatan per kapita sahaja, tetapi melihat kepada jurang kaya dan miskin.

Pangkal isu kos sara hidup ini adalah kadar gaji yang rendah terutamanya bagi golongan B40, dan amat penting untuk kita menangani isu ini dengan penyelesaian yang menyeluruh.

Apabila ekonomi kian pulih kita harus meningkatkan kadar gaji minima ini kepada RM1500 dalam masa lima tahun selaras dengan manifesto, dan memberi insentif kepada pemilik perniagaan — termasuklah dengan memberi pengecualian cukai — agar gaji boleh dinaikkan ke gaji minima, atau lebih tinggi lagi ‘living wage’ seperti yang disarankan oleh Bank Negara.

Dasar perolehan (procurement) kerajaan juga harus diubah dalam jangkamasa sesuai agar syarikat yang membayar ‘living wage’ diberi keutamaan.

Impak jangka masa panjangnya adalah kenaikan pendapatan, yang akan menyebabkan kenaikan perbelanjaan, dan kesan berganda kepada ekonomi.

Pada masa yang sama, kenaikan gaji bagi B40 ini diharapakan membuatkan kerja-kerja “3D” (kotor, berbahaya dan sukar) —seperti pembinaan dan perladangan—lebih menarik untuk rakyat tempatan dan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing. Malah, seperti negara maju lain, sektor-sektor ini boleh meningkatkan produktiviti menerusi automasi. Selama ini sektor-sektor ini terlalu dimanjakan kadar upah rendah pekerja asing.

Bank Dunia pernah menyatakan dalam satu analisa bahawa kenaikan 10 peratus dalam aliran pekerja asing telah mengurangkan gaji rakyat Malaysia yang paling kurang berpendidikan sehingga 0.74 peratus.

Ini adalah isu-isu yang kita perlu tangani, tetapi ia mestilah dilakukan selangkah demi selangkah. Apa yang kita perlukan pada masa ini adalah kesungguhan politik untuk memastikan rakyat Malaysia mendapat yang terbaik.

NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA PEMUDA HARAPAN
KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN
AHLI PARLIMEN SETIAWANGSA

Share This