Saya ingin mengucapkan tahniah kepada calon Pakatan Harapan untuk PRK Seri Setia dan Balakong, Halimey Abu Bakar (KEADILAN) dan Wong Siew Ki (DAP).

Halimey memenangi Seri Setia dengan majoriti 4,027 undi manakala Wong memenangi Balakong dengan majoriti 18,533.

Saya berterima kasih kepada para pengundi di kedua-dua PRK, terutamanya kawasan kerusi lama saya di Seri Setia kerana terus memberikan mandat kepada calon Pakatan Harapan.

Ini menunjukkan bahawa demokrasi pada zaman Malaysia Baru bersifat matang, dengan pengundi menolak politik bersifat berpecah belah, benci dan menakutkan dari parti pembangkang.

Walaubagaimanapun, kemenangan ini tidak bermaksud kita boleh terus berpuas hati.

Majoriti Pakatan Harapan di kedua-dua kerusi berkurangan dan kedua-dua kerusi menunjukkan kadar turun mengundi yang rendah: 44.15 peratus untuk Seri Setia dan 42.97 peratus untuk Balakong, tren ini berterusan dari PRK Sungai Kandis yang menunjukkan kadar turun mengundi 49.35 peratus.

Ini bukan tren positif kerana tiada demokrasi boleh bertahan lama jika pengundi yang tidak peduli.

Untuk berlaku adil, kemungkinan faktor-faktor seperti hujung minggu yang panjang dan keletihan pemilih berlaku.

Suruhanjaya Pilihan Raya dan jawatankuasa yang meninjau pembaharuan pilihan raya pastinya perlu mengambil perhatian terhadap perkara-perkara ini.

Namun, setiap parti politik perlu segera menjalankan siasatan pasca-PRK mengenai masalah ini. Kami pimpinan Pakatan Harapan perlu bersikap terbuka dan rendah diri untuk bermuhasabah tentang perkara ini.

Pakatan Harapan mesti meneruskan usaha seperti di Seri Setia dan Balakong dengan memilih calon yang mempunyai integriti dan berkebolehan. Adalah penting untuk calon-calon KEADILAN dan Pakatan Harapan boleh meyakinkan pengundi di semua tempat.

Pakatan Harapan juga mesti berkempen mengenai isu periuk nasi rakyat.

Kita tidak boleh hanya mendedahkan skandal pentadbiran yang lalu, kita perlu menumpukan kepada dilema yang dihadapi ramai rakyat Malaysia untuk menampung kos sara hidup, terutamanya dengan keadaan ekonomi di peringkat global.

Kita perlu menunjukkan pengundi bahawa kita mempunyai rancangan untuk hidup di Malaysia – sama ada di bandar atau luar bandar dengan lebih berkemampuan dan adil.

Kami memerlukan dasar dan inisiatif untuk menunjukkan bahawa Pakatan Harapan mempunyai rancangan untuk mengubah ekonomi Malaysia untuk bersaing dalam suasana yang kompetitif.

Kita perlu meyakinkan rakyat kita mempunyai dasar untuk mewujudkan pekerjaan dan memperbaiki sistem pendidikan Malaysia serta akses kepadanya.

Ini adalah perkara yang boleh dan patut dilakukan oleh kerajaan yang baik. Sudah tiba masanya kita menyediakan mereka dengan kepimpinan dan kerangka tadbir urus yang baik.

Walaupun kita menang di Seri Setia dan Balakong serta Pakatan Harapan mengekalkan bilangan kerusi besar di Selangor iaitu 51 berbanding empat Barisan Nasional dan satu PAS, ini tidak bermakna kita boleh berhenti bekerja.

Saya ulangi: ini bukanlah masa untuk kita berpuas hati.

NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA PEMUDA HARAPAN
KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN
AHLI PARLIMEN SETIAWANGSA

Share This