Pengumuman PTPTN berkenaan jadual Potongan Gaji Berjadual (PGB) bagi peminjam PTPTN telah menimbulkan keresahan ramai. Saya secara peribadi menerima banyak mesej daripada anak-anak muda yang terjejas. Mengikut pengumuman rasmi PTPTN, PGB akan dilaksanakan pada Januari 2019.

Saya berpandangan nilai potongan yang diperkenalkan dalam PGB harus dikaji semula. Pihak PTPTN seharusnya mengambil pandangan pihak-pihak yang bakal terkesan seperti peminjam dan majikan. Pihak PTPTN juga perlu melihat
pada realiti sara hidup yang dirasai peminjam.

Misalnya kajian Bank Negara Malaysia menunjukkan lelaki bujang memerlukan RM2,700, manakala pasangan berkahwin (RM4,500) dan pasangan yang memiliki dua orang anak (RM6,500) untuk hidup di Kuala Lumpur.

Mengikut PGB yang diperkenalkan PTPTN, seseorang yang bergaji RM8,000 perlu membayar RM1,200. Sekiranya dia telah berkahwin dan memiliki dua orang (atau lebih) anak, bagaimana dia boleh membayar RM1,200 sebulan? Soal tanggungjawab dan liabiliti peminjam harus dipertimbangkan berbanding melihat pada jumlah gaji semata-mata.

Isu PTPTN semakin parah apabila kewujudan pinjaman pendidikan diambil kesempatan oleh ‘peniaga pendidikan’ untuk membuka banyak Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS). Ada segelintir IPTS Malaysia yang mempunyai kualiti yang baik, tetapi lebih banyak IPTS yang berorientasikan keuntungan semata-mata dan mengambil kesempatan dana yang boleh diperoleh dari PTPTN. Lebih malang apabila ada sesetengah IPTS tidak relevan di industri.

Struktur pendidikan tinggi di Malaysia perlu dikaji supaya Universiti Awam boleh berperanan dengan lebih baik, dan bagi yang tidak berminat untuk memasuki universiti, alternatif seperti institusi pengajian teknikal perlu diperkasakan.

Justeru, dalam situasi kadar gaji umum bagi graduan yang masih pada tahap rendah serta kepincangan konsep pendidikan secara keseluruhan yang menyebabkan ramai generasi muda terpaksa memilih IPTS untuk melanjutkan pengajian, penyelesaian yang diberikan PTPTN harus lebih adil dan realistik.

Kita harus ingat, ramai di antara mereka yang mengharapkan perubahan dalam pembiayaan pendidikan tinggi Malaysia mengundi Pakatan Harapan. Benar, kekangan kewangan negara mungkin tidak memungkinkan kita terus melaksanakan kadar pembayaran semula pada gaji RM4,000 sebulan sebagaimana kita sebut di dalam Buku Harapan dan Tawaran Harapan Anak Muda, namun kita masih boleh melaksanakan dasar yang menerima falsafah Pakatan Harapan dan berpijak di bumi yang nyata.

NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA PEMUDA HARAPAN
AHLI MAJLIS PIMPINAN PUSAT KEADILAN
AHLI PARLIMEN SETIAWANGSA

Share This