Keputusan Kerajaan Persekutuan untuk meneruskan program Biro Tata Negara adalah mengecewakan.

Seperti yang telah ditekankan berkali-kali, bukan sahaja oleh ahli politik Pakatan Harapan tetapi juga pihak media dan masyarakat umum, BTN mempunyai impak yang sangat negatif.

BTN telah menjadi satu alat untuk propaganda politik serta menanam sifat kebencian dan ketakutan dalam kalangan golongan kaum dan agama berbeza. Sebab itu di dalam Buku Harapan kita memberi komitmen untuk memansuhkan BTN.

Selain itu, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Abdul Rahman telah dilaporkan berkata pada 9 Julai 2018—kurang daripada sebulan yang lepas—bahawa “BTN akan dimansuhkan.”

Apakah yang telah berubah sejak itu? Timbalan Menteri dalam Jabatan Perdana Menteri Farid Md Rafik berkata modul BTN akan “diperhalusi” dan “dijenamakan semula.”

Saya tidak menyangkal perkara tersebut, dengan niat baik, bahawa beliau percaya perkara ini mampu dan akan dilaksanakan.

Namun begitu, janji-janji serupa telah dilakukan pada masa lalu tanpa sebarang kesan.

Pemimpin Pakatan Harapan harus menyedari bahawa pakatan ini diundi menjadi kerajaan untuk melaksanakan agenda Reformasi.

“Reformasi” harus meliputi aspek politik—sememangnya, semua perubahan lain akan gagal tanpanya.

Sebuah badan seperti BTN, yang bertujuan untuk mengawal pemikiran rakyat Malaysia, adalah tidak relevan dalam abad ke-21 ini. Sama ada BTN mempromosikan ideologi Barisan Nasional atau Pakatan Harapan, ia bertentangan dengan norma negara demokrasi modern.

Pemansuhan BTN boleh dilakukan tanpa mencabul hak atau kepentingan sesiapa. Pegawai tetap BTN boleh dipindahkan ke agensi lain.

Apa yang penting adalah sama ada kerajaan mempunyai keazaman politik untuk melakukannya ataupun tidak.

Rakyat Malaysia memerhati setiap langkah kerajaan dan jangkaan mereka akan meningkat ataupun berkurang bergantung pada bagaimana kerajaan melaksanakan tekad pilihan raya dalam persoalan sebegini.

BTN harus dimansuhkan, tanpa kompromi.

NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN
AHLI PARLIMEN SETIAWANGSA

Share This