Soalan:

Nik Nazmi bin Nik Ahmad [Setiawangsa] minta Menteri Dalam Negeri nyatakan
a) Apakah status kemajuan kajian semula terhadap undang-undang SOSMA; dan
b) Adakah Kerajaan boleh memastikan tiada penderaan sebagaimana banyak didakwa sebulum ini, berlaku ketika kajian semula ini berjalan.

Jawapan:

Tuan Yang di-Pertua,

Bagi menjawab soalan (a), kerajaan sedang mengkaji semula undang-undang berkaitan keselamatan termasuklah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA). Dalam hal ini, satu Jawatankuasa Khas yang dianggotai oleh pihak-pihak yang berkaitan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Peguam Negara (AGC), Badan Peguam Malaysia, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) dan badan bukan kerajaan (NGO) telah ditubuhkan untuk menilai dan memperhalus setiap peruntukan dalam undang-undang berkenaan dengan terperinci.

Memandangkan kajian tersebut masih sedang dijalankan, Kerajaan belum memutuskan sama ada undang-undang tersebut perlu dipinda atau dimansuhkan atau undang-undang yang baru perlu diwujudkan.

Bagi menjawab soalan (b), Kementerian Dalam Negeri bersama-sama PDRM sentiasa berusaha untuk menambah baik pelaksanaan sesuatu undang-undang. Sehubungan itu, elemen hak asasi manusia akan turut diambil kira dalam kajian yang sedang dijalankan. Walau bagaimanapun, elemen hak asasi manusia tersebut perlulah diimbangi dengan elemen keselamatan agar pelaksanaan undang-undang negara termasuklah SOSMA menjadi lebih berkesan.

Kerajaan memberi jaminan bahawa pindaan atau pemansuhan terhadap undang-undang berkenaan tidak akan menjejaskan usaha kerajaan dalam memelihara keselamatan negara daripada pelbagai ancaman termasuklah ancaman dari kumpulan pengganas dan jenayah.

Kementerian Dalam Negeri
Oktober 2018

Share This