Jawapan Pertanyaan Jawab Lisan Isu Rancangan Pengurangan Kadar Pekerja Asing dan Membanteras Campur Tangan Politik dalam Membawa Masuk Pekerja Asing

Soalan: Nik Nazmi Bin Nik Ahmad [ Setiawangsa ] minta Menteri menyatakan apakah rancangan kementerian untuk mengurangkan kadar pekerja asing selain membanteras campur tangan politik di dalam lambakan kemasukan pekerja asing yang diamalkan sebelum ini.

Jawapan:

Tuan Yang Di Pertua,

1. Dasar semasa Kerajaan mengenai penggajian pekerjaan ialah memberi keutamaan pekerjaan kepada rakyat tempatan. Kerajaan sentiasa berusaha untuk memastikan pekerja tempatan tidak dinafikan hak mereka untuk bekerja di dalam sektor-sektor yang dibenarkan untuk menggajikan pekerja asing. Hanya jawatan-jawatan yang tidak dapat diisi oleh pekerja tempatan dalam sektor-sektor yang diluluskan sahaja dibenarkan untuk menggaji pekerja asing.

2. Antara polisi dan inisiatif semasa yang telah dan sedang dilaksanakan oleh Kerajaan adalah seperti berikut:

i. Menetapkan had penggajian pekerja asing di Malaysia tidak melebihi 15% daripada jumlah guna tenaga pada tahun 2020.

ii. Menggalakkan sektor-sektor berinsentif buruh beralih kepada penggunaan mekanisasi dan automasi

iii. Penggajian pekerja asing dari mana-mana Negara sumber hendaklah berdasarkan kepada keperluan sebenar industri dan sektor-sektor yang dibenarkan sahaja (real industrial demand)

iv. Mempromosi dan memudah cara peluang penempatan pekerjaan melalui Program Penempatan Pekerjaan (3P) oleh Jabatan Tenaga Kerja (JTK) untuk memberi keutamaan kepada pencari kerja tempatan.

v. Penggajian pekerja asing diluluskan kepada tujuh (7) sektor sahaja iaitu pembinaan, pertanian, perladangan, perkilangan dan perkhidmatan.

vi. Hanya majikan berkeupayaan (genuine) dan mematuhi standard perburuhan seperti pematuhan gaji minimum, menyediakan kemudahan kediaman berserta kemudahan asas dan tiada rekod pelanggaran kes buruh sahaja dipertimbangkan memohon pekerja asing. Keupayaan majikan ditentukan melalui proses saringan dan pemeriksaan JTK.

vii. Menetapkan kriteria-kriteria tertentu bagi setiap sektor yang dibenarkan dalam pemberian kuota pengambilan pekerja asing.

viii. Pelaksanaan Surat Aku Janji Majikan (Employers Undertaking) mulai 1 Januari 2017 yang menghendaki majikan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pekerja asingnya bermula dari peringkat kemasukan, penggajian sehinggalah penghantaran pulang pekerja tersebut ke negara asal.

ix. Mengutamakan exit policy penggajian pekerja asing dengan menyediakan pelan latihan kemahiran kepada pekerja warganegara, memberi keutamaan kepada mekanisme IBS dalam sektor pembinaan, restoran berkonsepkan self-service dan sebagainya.

x. Kerajaan juga telah meperkenalkan Technical and Vocational Education and Training (TVET) untuk warga tempatan bagi melahirkan individu berkemahiran tinggi selaras dengan hasrat negara untuk beralih kepada industri berintensif buruh kepada high end industry dan mencapai objektif negara berpendapatan tinggi.

xi. Pembiayaan latihan di bawah Pembangunan Sumber Manusia Berhad melalui caruman levi majikan untuk melatih semula pekerja bagi meningkatkan kemahiran pekerja terutamanya dalam sektor pembuatan, pembinaan dan perlombongan, dan

xii. Penguatkuasaan dipertingkatkan bagi memastikan pematuhan undang-undang perburuhan termasuk penguatkuasaan bersepadu dengan agensi-agensi lain bagi membasmi pemerdagangan orang dan eksploitasi orang (forced labour)

Tuan Yang di-Pertua

3. Polisi dan inisiatif semasa yang telah dan sedang dilaksanakan ini berjaya mengurangkan kadar kebergantungan kepada pengambilan pekerja asing di mana statistik Jabatan Imigresen Malaysia telah merekodkan jumlah pengambilan pekerja asing yang semakin menurun dari tahun ke tahun. Pada tahun 2015, jumlah pekerja yang direkodkan dan dikeluarkan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) adalah seramai 2.1 juta orang dan mengalami penurunan pada tahun 2016 kepada 1.85 juta orang dan seterusnya 1.79 orang pada tahun 2017.

4. Kesimpulannya kerajaan sentiasa memastikan pekerja warga tempatan diberi keutamaan dalam peluang pekerjaan dan pada masa yang sama Kerajaan juga sedang meneliti pelbagai aspek dalam pengurusan pengambilan pekerja asing secara holistik supaya lebih sistematik dan berintegriti.

Share This