Kementerian Industri Utama

Daripada Nik Nazmi Nik Ahmad [Setiawangsa]

Soalan:

Dalam usaha untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing, kerajaan seharusnya menggalakan para majikan untuk melakukan pelaburan di dalam teknologo untuk menggantikan penggunaan pekerja asing tanpa kemahiran dalam industri seperti perusahaan kelapa sawit. Ini akan meningkatkan produktiviti ekonomi.

Pada hari ini, para majikan tidak berbuat demikian kerana ia adalah lebih murah dan mudah untuk mengambil dan menggajikan buruh kasar asing. Maka langkah yang dicadangkan untuk mengenakan sistem levi berperingkat yang progresif berdasarkan jumlah pekerja asing yang digaji adalah langkah yang tepat.

Tuan Yang di-Pertua, Sidang Dewan Sekalian, meskipun usaha kerajaan meletakkan fokus dan tumpuan kepada peningkatan kepada bidang kejuruteraan, sains dan matematik (STEM) adalah baik, tetapi kerajaan juga perlu mencari mekanisme dan instrumen yang bersesuaian bagi memastikan peluang pekerjaan dalam sektor berkaitan wujud bagi para lepasan universiti dalam bidang ini.

Bagi mencapai hasrat tersebut, kerajaan dan IPT seharusnya mengorak kerjasama yang mampan dengan mengadakan jalinan industri dengan syarikat tempatan mahupun antarabangsa bagi mewujudkan peluang pekerjaan dan juga bagi melahirkan graduan yang sesuai dengan pasaran pekerjaan semasa.

Jawapan:

Pelbagai usaha telah dan akan terus dilaksanakan oleh kerajaan bagi mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing dalam sektor perladangan kelapa sawit. Ini termasuklah melalui penggalakan penggunaan mesin atau jentera di sektor perladangan terutamanya bagi aktiviti penuaian dan pemungutan buah tandan segar kerana aktiviti tersebut memerlukan pekerja yang paling ramai.

Untuk itu, Kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM4.5 juta di bawah RMK 11 bagi melaksanakan Skim Galakan Mekanisasi Industri Sawit (OPIMIS). Di bawah skim tersebut, pengusaha ladang akan mendapat diskaun sehingga 20 peratus bagi setiap jentera yang dibeli untuk kegunaan di ladang sawit.

Di samping itu, usaha untuk melatih belia-belia tempatan juga dilaksanakan secara berterusan di bawah Pusat Latihan Sawit Malaysia (PLASMA) untuk melatih mereka sebagai persediaan untuk menceburi industri sawit. Sehingga Jun 2018, seramai 16,744 orang telah menerima latihan dan daripada jumlah tersebut, 76% telah bekerja dalam industri sawit. Di bawah Kursus Operator Mekanisasi Ladang (KOML), belia-belia tempatan ini dilatih untuk bekerja sebagai operator atau pengendali jentera perladangan.

Sekian Terima Kasih.

Share This