Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Bukit Dinding: Melindungi Kepentingan Masyarakat

Penduduk Setiawangsa telah dimaklumkan mengenai cadangan pembangunan di sekitar Bukit Dinding.

Pemaju untuk plot tanah ini ialah Nova Pesona Sdn Bhd, yang ditubuhkan pada 2003 di antara Tan & Tan Developments Bhd dan pemilik Ladang Hawthornden, Landmarks Land & Properties Sdn Bhd.

Kebenaran Merancang untuk Susunatur Pelan Induk telah dikeluarkan oleh DBKL pada tahun 2004. Susunatur Pelan Induk yang dipinda diluluskan DBKL pada Julai 2015.

Melalui kenyataan, ucapan di Parlimen dan penglibatan dengan pihak berkuasa – saya telah berulang kali berusaha untuk memastikan kepentingan masyarakat di Bukit Dinding  dilindungi dalam sebarang cadangan pembangunan.

Ada banyak hal yang telah dibangkitkan oleh masyarakat, termasuklah tekanan ke atas infrastruktur setempat, kepadatan pembangunan, pemeliharaan ruang rekreasi, namun kebimbangan terbesar  tertumpu kepada isu kestabilan cerun Bukit Dinding.

Parcel pertama yang dicadangkan untuk pembangunan terletak di sekitar Puncak Setiawangsa dan Wangsa Maju, kawasan yang telah mengalami tanah runtuh berulangkali selama bertahun-tahun.

Pejabat saya telah memulakan perbincangan dengan wakil masyarakat berhubung perkara itu pada 16 Februari 2022. Ini diikuti dengan taklimat yang melibatkan DBKL, PTG dan pemaju pada 23 Ogos 2022.

Ini akan disusuli dengan satu lagi perbincangan dengan wakil komuniti pada minggu hadapan, sebelum sesi yang diadakan pihak pemaju dengan pihak berkepentingan pada 15 September 2022.

Kami menggesa pihak berkuasa dan pemaju untuk berkongsi laporan teknikal dengan penduduk dan pihak berkepentingan lain.

Ini akan memberikan maklumat tentang alam sekitar, kestabilan cerun dan impak trafik serta butiran lain projek agar masyarakat sentiasa dimaklumkan tentang semua aspek yang akan memberi kesan kepada kehidupan mereka.

NIK NAZMI NIK AHMAD
AHLI PARLIMEN SETIAWANGSA

Nik Nazmi ialah Ahli Parlimen Setiawangsa. Beliau juga Naib Presiden KEADILAN.

Alamat

Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Setiawangsa
3-1, Jalan Rampai Niaga 5, Rampai Business Park, Taman Sri Rampai, 53300 Kuala Lumpur, Malaysia.

Media Sosial

© Nik Nazmi Nik Ahmad. Hak Cipta Terpelihara.