Baru-baru ini ramai anak muda yang merupakan calon ambilan guru CoS (Contract of Service) menghubungi saya berkaitan temuduga mereka yang dikatakan tidak telus. Saya difahamkan proses temuduga ini telah bermula sejak November 2021. Kemudian, beberapa minggu selepas itu para calon diminta memuatnaik dokumen baharu bagi tujuan kemaskini.
Proses temuduga dan tempoh menunggu untuk urusan tersebut berlaku selama enam bulan. Ribuan calon-calon mengikuti proses permohonan sebagaimana diminta dengan hasrat bukan sahaja mendapat pekerjaan, malah menabur bakti sebagai seorang pendidik.
Ramai lulus setiap proses tersebut, tetapi selepas enam bulan hampir kesemua yang memohon ini gagal. Pada masa yang sama wujud dakwaan mereka yang tidak mohon mengikut proses yang ditetapkan pula yang lulus.
Beberapa Ahli Parlimen lain juga telah membangkitkan perkara yang sama.
Menteri Pendidikan wajib menjawab sama ada proses pengambilan guru C0S ini dirancang dengan teliti dari awal atau tidak?
Calon-calon guru CoS merasakan merasakan seolah-olah ditipu oleh KPM.
Kerajaan mesti lebih proaktif dalam perkara ini kerana ini bukan sahaja soal pekerjaan untuk mereka calon-calon guru dalam keadaan ekonomi yang suram, malah keperluan guru di sekolah yang masih meningkat sehingga ke hari ini.
KPM perlu memastikan proses pengambilan guru memenuhi keperluan sektor pendidikan dan bersifat telus untuk membina keyakinan semua pihak.
NIK NAZMI NIK AHMAD
AHLI JAWATANKUASA PILIHAN KHAS PARLIMEN BAGI PENDIDIKAN
JURUCAKAP PARLIMEN KEADILAN BAGI PENDIDIKAN
AHLI PARLIMEN SETIAWANGSA