Soalan:
Nik Nazmi bin Nik Ahmad [ Setiawangsa ] minta Menteri Kesihatan menyatakan tentang mengapa pelajar-pelajar perubatan
Malaysia di Indonesia diwajibkan mengambil Ujian Kompetensi Mahasiswa
Program Profesi Dokter (UKMPPD) dan Ujian Kompetensi Dokter Indonesia
(UKDI) yang merupakan kelulusan untuk mengamalkan perubatan di
Indonesia dan tidak diperlukan di Malaysia.
Jawapan:
Tuan Yang di-Pertua,
1. Uji Kompetensi Mahasiswa Program Profesi Dokter (UKMPPD) yang dahulunya dikenali sebagai Uji Kompetensi Dokter Indonesia (UKDI) merupakan prosedur yang wajib diikuti oleh semua pelajar tahun akhir jurusan perubatan di Indonesia. UKMPPD merangkumi dua (2) bahagian iaitu Computer Based Test (CBT) dan Objective Structured Clinical
Examination (OSCE).
2. Undang-Undang Republik Indonesia berkaitan pelaksanaan uji kompetensi ini dinyatakan dalam Artikel 36 UU No. 20 tahun 2013 tentang Pendidikan Perubatan Artikel yang menyatakan bahawa:
“(1) Untuk
menyelesaikan program profesi dokter, Mahasiswa harus lulus uji kompetensi yang bersifat nasional sebelum mengangkat sumpah sebagai Dokter.
(2) Mahasiswa yang lulus uji kompetensi sebagaimana dimaksud pada ayat (1) memperoleh sertifikat profesi yang dikeluarkan oleh perguruan tinggi.”
3. Sehubungan itu, semua pelajar jurusan perubatan daripada institusi perubatan di negara Indonesia wajib mengambil serta lulus UKMPPD/UKDI sebelum layak menerima sijil ijazah perubatan masing-masing.
4. Tanpa memenuhi peruntukan Undang-Undang Republik Indonesia ini, pelajar yang mengikuti pengajian perubatan di institusi perubatan dari negara Indonesia dianggap tidak menamatkan pengajian dan tidak memiliki ijazah perubatan yang layak untuk berdaftar dengan Majlis Perubatan
Malaysia (MPM).
Sekian, terima kasih.