Menteri Kewangan menyatakan unjuran defisit terkini meningkat daripada anggaran sebelum ini 5.7 peratus kepada 6.5 – 7 peratus dan ini harus mengambil kira unjuran pertumbuhan KDNK.
Disebalik pengumuman ratusan bilion untuk mengatasi kegawatan ekonomi, namun suntikan fiskal (perbelanjaan langsung dari belanjawan kerajaan) masih dalam jumlah yang kecil. Jumlah besar yang diumumkan dari pengumuman PH pada Februari 2020 kemudian pengumuman PN Mac 2020 hingga Mei 2021 adalah RM400 bilion.
Sebahagian jumlah besar yang diumumkan sebelum ini adalah kelonggaran pengeluaran wang KWSP. Dalam keadaan yang kritikal hari ini, kita tidak boleh menyalahkan rakyat yang mendesak untuk mengeluarkan wang KWSP mereka. Ini dapat dilihat apabila kebanyakan jumlah lain yang diumumkan terdiri daripada pengeluaran KWSP, moratorium bank dan lain-lain lagi (rujuk carta pakej-pakej rangsangan ekonomi oleh ISIS Malaysia).
Tetapi persoalannya, sampai bilakah rakyat perlu membelanjakan wang persaraan mereka? Hatta sebelum COVID pun, masalah wang KWSP yang tidak mencukupi sudah menjadi masalah serius.
Melihat kepada situasi luar biasa yang tenat sewaktu ini, kerajaan seharusnya dari awal berani untuk berbelanja lebih besar. Kes harian COVID terus meningkat, masalah kebolehcapaian pendidikan yang sempurna tidak juga selesai dalam situasi PdPR, hospital dan kakitangan kesihatan dalam keadaan semakin kritikal serta semakin ramai nyawa yang terkorban, maka inilah masanya untuk kerajaan berani melakukan anjakan besar dalam struktur ekonomi selari dengan keperluan dan cabaran semasa seperti yang dibuat di Korea Selatan, United Kingdom, Amerika Syarikat dan banyak negara lain.
Impak suntikan fiskal hari ini (6.5 peratus) tidak sama dengan impak sekiranya peratusan sama disuntik dalam Belanjawan 2021 sebelum kerana unjuran pertumbuhan ekonomi terkini menurun. Tumpuan kita tidak boleh lagi hanya semata-mata soal defisit, tetapi apa yang boleh dilakukan oleh kerajaan, satu-satunya agen ekonomi yang mampu bertindak, untuk selamatkan negara. (rujuk perbandingan negara-negara Asia Tenggara oleh ISIS Malaysia pada Jun 2021).