Nampaknya Filipina meneruskan angan-angan mereka dengan menuntut kekuasaan terhadap Sabah yang tidak berasas. Setiausaha Luarnya, Teodoro Locsin Jr baru-baru ini mengumumkan rancangan untuk mengaktifkan semula “Biro Borneo Utara” dengan menyatakan bahawa “Sabah adalah milik kita (Filipina)”.
Kita semua bersetuju, Sabah adalah dan akan kekal sebagai sebahagian daripada Malaysia. Kebangkitan semula “tuntutan” Filipina adalah usaha terdesak untuk mengalihkan perhatian masyarakatnya ke atas kegagalan pentadbiran Rodrigo Duterte, terutamanya dalam menangani Covid-19.
Kenyataan menuntut Sabah ini merupakan penghinaan terhadap kedaulatan dan martabat Malaysia. Ia sesuatu yang tidak boleh dipandang remeh. Tindakan Setiausaha Locsin merupakan satu percubaan untuk campur tangan dalam proses demokrasi negara kita, terutamanya memandangkan Sabah sedang menghadapi pilihan raya negeri.
Mereka juga telah melanggar prinsip ASEAN untuk tidak campur tangan dalam urusan negara-negara anggotanya. Ia amat dikesali apabila mereka terlibat dalam tindakan begini ketika Asia Tenggara perlu berdiri bersama dalam menghadapi percubaan kuasa besar tertentu untuk memecah-belahkan kawasan kita dan mengubahnya menjadi medan perang untuk persaingan geopolitik.
Walaupun Malaysia tidak memenuhi tuntutan Filipina, kerajaan kita harus mempertimbangkan tindak balas yang lebih tegas jika mereka tak berhenti dari retorik liarnya. Seperti kata pepatah: “Jika anda terus mengulang-ulang kebohongan, itu menjadi kebenaran.”
Ada bahaya yang menanti jika kita gagal mengambil langkah aktif untuk menghentikan usaha agresif Filipina untuk mencabar kedaulatan Sabah sebagai sebahagian dari Malaysia. Tindakan Filipina bukanlah tindakan yang mempamerkan sikap sahabat. Kerajaan Malaysia mesti lebih aktif daripada yang telah dilakukannya selama ini untuk melindungi kedaulatan dan integriti negara kita.
NIK NAZMI NIK AHMAD
PENGERUSI JAWATANKUASA PILIHAN KHAS PARLIMEN MENGENAI PERTAHANAN DAN HAL EHWAL DALAM NEGERI
AHLI PARLIMEN SETIAWANGSA