Pilihan Raya Kecil Slim telah berlangsung. Saya mengucapkan tahniah kepada pemenang, mereka yang bertanding dan pengundi kawasan kerana berjaya meraihkan pesta demokrasi.
Cuma, hasilnya bukanlah seperti yang kami mahukan, selaku pasukan pembangkang Malaysia.
Kesalahan tidak boleh diletakkan semata-mata pada calon yang bertanding — beliau berusaha sebaik mungkin untuk menghadapi perperangan dengan kebarangkalian menang yang rendah.
Namun, PRK Slim adalah mesej bagi semua parti pembangkang Malaysia – terutama KEADILAN dan Pakatan Harapan (PH) – untuk secara serius bermuhasabah dan bersama, terutama dari segi strategi dan pendekatan.
Kita tidak dapat dinafikan bahawa calon bebas yang kali ini disokong oleh pembangkang mampu dikalahkan oleh parti yang pemimpinnya menghadapi tuduhan jenayah di mahkamah dan merupakan sebahagian dari pemerintahan “pintu belakang” yang semakin rapuh dan tidak stabil.
Calon yang dipilih oleh parti PEJUANG, pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad bukan setakat dikalahkan di Slim, tetapi dengan majoriti 5 kali lebih tinggi daripada tahun 2018 (iaitu 10,945 undi berbanding 2,183) di kerusi yang hampir 75% orang Melayu.
Keadaan ini berlaku dalam keadaan terdapat dakwaan oleh beberapa ahli politik PH dan penganalisis politik tentang kehadiran Tun Dr Mahathir sangat diperlukan untuk memujuk orang Melayu dan pengundi lain. Kumpulan ini percaya hanya Tun Mahathir yang boleh meyakinkan orang Melayu.
Yang lebih membimbangkan bagi Pembangkang ialah calon BN memperoleh 13,060 undi, iaitu lebih banyak daripada gabungan jumlah undi UMNO dan PAS pada tahun 2018 (12,430).
Lebih-lebih lagi, BN dilaporkan menang di semua tempat mengundi di Slim – termasuk yang kebanyakannya bukan Melayu.
Calon PEJUANG kali ini mendapat 2,115 undi berbanding 6,144 BERSATU pada tahun 2018 (ketika masih bersama PH).
Ini menunjukkan bahawa sejumlah besar penyokong yang berpihak kepada pembangkang tidak mengundi atau beralih sokongan kepada BN.
Memang benar bahawa Slim adalah kubu kuat BN / UMNO. Lebih-lebih lagi, bekas ADUN di sana popular dan calon UMNO yang menggantikannya telah bekerja rapat dengannya pada masa lalu.
Pengundi mungkin terpengaruh oleh faktor tempatan yang lain.
Namun hakikatnya PEJUANG menjalankan kempen yang sebahagian besarnya tak mempunyai isu atau mesej, dan mengharapkan pengundi menyokong mereka hanya kerana siapa mereka dan siapa ketua mereka. Ini adalah resipi untuk mengundang bencana.
Apabila PRU15 tiba, PH tentunya tidak boleh pergi berkempen dengan kempen yang sama seperti skandal 1MDB, isu-isu yang dihadapi oleh kerajaan PH 2018-2020 ataupun Langkah Sheraton.
Bukanlah perkara-perkara sudah tidak relevan, tetapi ia tidak boleh menjadi kempen tunggal yang kita jalankan. PH tidak boleh bekerjasama dengan pihak lain yang tidak dapat melihat atau memahami perkara-perkara ini.
“Kleptokrat”, “Kerajaan pintu belakang” dan “pengkhianat” tidak akan menjadi slogan untuk memenangkan kita Pilihan Raya Umum ke-15.
Hakikatnya PEJUANG tidak memberikan mesej ekonomi yang menarik pengundi Slim. Parti itu tidak dapat meyakinkan mereka bahawa taraf hidup dan ekonomi mereka akan bertambah baik jika calon mereka dipilih.
Tidak ada visi, tidak ada harapan atau janji untuk masa hadapan. Sebab itulah calon PEJUANG kalah.
Inilah kesalahan yang mesti dielakkan oleh PH dalam pilihan raya akan datang.
Tentu saja, kita tidak perlu mengelakkan dari memberi peringatan kepada rakyat tentang penyalahgunaan dan kekurangan legitimasi kerajaan hari ini.
Namun ia tidak boleh hanya diungkapkan tanpa adanya rancangan untuk memperbaiki prospek ekonomi rakyat Malaysia, terutamanya memandangkan wabak Covid-19 yang dahsyat.
Kekalahan berat di Slim boleh menjadi titik tolak bagi PH — tetapi hanya jika kita mendapat pelajaran yang tepat dari kekalahan ini.