Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Catatan Sebelum Ke Istana

Pagi ini dalam minggu yang sarat dengan banyak insiden, saya terkenang kepada kempen PRU 2018.

Sebagai Ketua Pemuda Harapan, yang pertama saya berkempen bukan sahaja di Setiawangsa, tetapi juga di rumah panjang di Sarawak, kampung-kampung tepi pantai di Kuala Terengganu dan berceramah di Muar.

Saya cuba melakukan yang terbaik untuk meyakinkan pengundi bahawa Pakatan Harapan, dengan gandingan semula bersejarah di antara Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim, dapat berjalan dengan lancar untuk menyelamatkan negara.

Saya masih ingat kerja keras dan pengorbanan yang hebat dari ejen-ejen PACA saya. Ramai yang datang dari luar Setiawangsa, digerakkan oleh INVOKE ke kawasan yang mempunyai persaingan sengit. Mereka semuanya sukarelawan.

Beberapa orang profesional Melayu mengikuti saya sejak saya menjadi ADUN dahulu. Seorang sukarelawan Cina membawa isteri dan anak perempuannya yang masih kecil, sebaya Ilhan, dengan van lama semata-mata untuk membantu.

Pada malam-malam terakhir kempen mereka sekeluarga tidur di bilik gerakan saya, dengan anak perempuannya menumpang di bawah meja pejabat. Sukarelawan itu meninggal dunia akibat penyakit tidak lama selepas kemenangan saya.

Paling penting, saya masih ingat pengundi saya. Saya berjaya memenangi kawasan yang sebelum itu menjadi kubu kuat UMNO, kawasan yang pengundinya tidak pernah mengundi parti lain.

Saya masih ingat semasa pengundian awal (Setiawangsa mempunyai 17,000 pengundi polis dan tentera), ada pegawai lain-lain pangkat yang berani datang untuk mengambil gambar bersama saya. Mereka berbisik kepada saya, kali ini mereka mengundi untuk perubahan. Untuk Harapan.

Saya masih ingat kisah-kisah kejayaan bersejarah untuk menghantar undi dari luar negara kerana kita berjaya meyakinkan rakyat Malaysia – setiap undi diperlukan untuk menurunkan rejim Najib Razak yang sudah tenggelam dalam rasuah dan menekan rakyat biasa.

Saya percaya kita masih boleh bersyukur dengan prinsip yang kita dukung dan dasar-dasar yang telah dilaksanakan Untuk terus setia kepada muafakat Pakatan Harapan. Kerana bersedia memberikannya peluang. Memilih pendekatan yang betul terhadap politik.

Ya, Kerajaan PH ada ahli Kabinet yang memiliki prestasi rendah. Aspek komunikasi wajib diperbaiki. Tapi secara umumnya kita bekerja keras melaksanakan Buku Harapan.

Pakatan Harapan dapat meningkatkan kadar gaji minimum walaupun terdapat protes kuat daripada majikan. Tugas sukar menyelamatkan institusi seperti Tabung Haji dan LTAT bermula. Kami cuba meminda Perlembagaan bagi mengembalikan kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi Semenanjung Malaysia.

Sehingga hari ini, Kementerian Kesihatan terus menguruskan wabak Covid-19 walaupun berhadapan dengan banyak berita palsu dan komentar berbaur sentimen kaum daripada pihak yang tidak bertanggungjawab.

Pendekatan pihak lawan adalah mudah: apa sahaja akan dilakukan untuk mendapatkan kuasa – tanpa moral, prinsip dan menghormati perjanjian mudah. Semua ini dilakukan demi menjaga keselesaan dan jawatan.

Di dalam Al-Quran disebutkan:

Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (A-li’Imraan 3:26)

Oleh itu, sesiapa yang percaya bahawa mereka akan dipertanggungjawabkan ke atas amanah yang diberikan akan berada dalam keadaan aman tanpa mengira apa yang berlaku dalam politik dunia ini.

Apa sahaja yang berlaku, kita mesti bertenang dan terus berusaha mempertahankan Malaysia Baharu.