Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Peluang Dan Cabaran Kuala Lumpur 2020

Isu-isu utama di KL berkaitan ekonomi dan pembangunan. Tahap pembangunan dan pendapatan per kapita di ibukota boleh dikatakan hampir atau pada tahap sama dengan negara-negara maju.

Namun cabaran-cabaran utama berpunca kerana golongan B40 KL dibandingkan dengan mereka di kawasan luar bandar, malah bandar-bandar lain sedangkan kos sara hidup di KL tidak diambilkira.

Dalam hal kesenjangan pendapatan, tiada penyelesaian yang mudah.

Peningkatan gaji minima adalah langkah yang positif. Malah, KL layak menjadi kawasan pertama pengenalan gaji kehidupan wajar atau ‘living wage’ yang pernah dicadangkan Bank Negara. Selain itu program intervensi kebajikan, pendidikan dan kesihatan wajar dipertingkatkan.

Banyak yang perlu dilakukan untuk memperbaiki persekitaran PPR, dan saya percaya penting untuk tumpuan diberikan pada kanak-kanak.

Sebab itu saya memperbaiki apa yang saya pelajari dengan Projek Mentari menerusi projek bola sepak Tunas Mentari dan program Reading Bus di AU3.

Buat jangkamasa panjang, kita perlu pilihan raya tempatan. Namun, kita harus akui sekian lama wujud kebimbangan tentang dominasi kaum, yang memuncak ketika pilihan raya tempatan pada 1960an.

Kerajaan perlu mengkaji bagaimana melaksanakan sistem yang inklusif dan diterima ramai. Walaupun jika kita mampu melaksanakannya seluruh negara, defisit demokrasi adalah alasan kukuh mengapa KL perlu ada kerajaan tempatan yang dipilih rakyat.

KL adalah ibukota dengan potensi yang besar. Namun kita harus melangkaui isu-isu remeh-temeh.

Kita perlu fokus pada pengangkutan awam, kerana ini penting untuk ibukota. Prasarana, Kementerian Wilayah dan DBKL telah bekerjasama baik dalam perkara ini.

Sebelum ini perkhidmatan bas percuma GoKL lebih tertumpu kepada pelancong dan pekerja asing kerana laluannya di pusat bandaraya.

Kini laluan yang lebih jauh serta yang baru melalui kawasan perumahan termasuk PPR dan menghubungi rangkaian LRT dan MRT. Kita harus mengkaji untuk memulakan MRT3, sama ada di laluan asal atau laluan yang ditambahbaik.

Isu paling utama adalah Rancangan Bandar KL mesti dilihat secara menyeluruh untuk pembangunan bandaraya yang lestari. Kita boleh benarkan pembangunan, tetapi bekerja keras menyediakan kawasan PPR baru agar kotaraya ini tetap inklusif.

Pada masa sama, identiti KL mesti dipelihara sama ada kawasan warisan mahupun kawasan hijau.