Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Kita Mesti Kembali Ke Manifesto Kita Dan Kekalkan Peralihan Mei 2020

Saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru kepada semua rakyat Malaysia.

Tahun 2019 merupakan tahun yang mencabar bagi negara kita di pelbagai sudut. Walaupun Pakatan Harapan dapat membawa beberapa pencapaian luar biasa – termasuk dasar ekonomi pro-rakyat, pembaharuan institusi yang berterusan dan mengurangkan usia pengundian ke 18 tahun – namun hakikatnya kita harus lebih ke hadapan terutamanya dalam reformasi ekonomi.

Banyak perlu dilakukan, bukan sahaja dari segi mewujudkan lebih banyak pekerjaan dan menurunkan kos sara hidup, tetapi juga menjamin masa hadapan ekonomi kita, untuk memastikan pekerja kita dapat bersaing dalam menghadapi perubahan teknologi yang berlaku dengan begitu pantas.

Usaha segera perlu dilakukan untuk mengurangkan kesenjangan yang semakin meningkat dalam kalangan masyarakat kita. Perkara ini semakin membimbangkan, ia bukan sahaja berlaku antara kaum yang berbeza, tapi juga dalam kalangan kaum yang sama.

Masalah ini pasti akan menimbulkan kebangkitan politik identiti agama dan kaum yang melampau yang kita sedang lihat berlaku sekarang, seperti di beberapa negara di seluruh dunia.

Hakikatnya, Malaysia tidak boleh menjadi aman dan progresif tanpa keadilan sosioekonomi.
Tahun 2020 yang ikonik mestilah menjadi tahun pembaharuan untuk rakyat.

Pakatan Harapan mesti meneruskan proses reformasi institusi dan memaksimumkan pemodenan ekonomi kita.
Kita mendapat berita peletakan jawatan YB Dr Maszlee Malik sebagai Menteri Pendidikan pada tahun baru ini.
Saya berterima kasih kepada Dr Maszlee atas khidmatnya kepada negara. Saya yakin beliau akan terus berkhidmat kepada kawasannya di Simpang Renggam dan rakyat Malaysia umumnya dengan baik.

Portfolio Kementerian Pendidikan bukanlah sesuatu yang mudah dan walapun kami ada berbeza pandangan, hakikatnya Dr Maszlee dapat mencapai perkara konkrit walaupun perlu menghadapi banyak cabaran.
Mahu tidak mahu, Pakatan Harapan mesti berusaha untuk menyampaikan agendanya dengan berkesan kepada rakyat Malaysia, serta memperkasakan individu yang berada di dalam kerajaan.

Selain itu, kita perlu menggandakan usaha kita untuk menunaikan manifesto kita.

Antara yang rakyat mahukan jawapan yang jelas adalah peralihan yang dijanjikan sebagaimana Muafakat Pakatan Harapan yang diumumkan pada 6 Januari 2018.

Majlis Presiden Pakatan Harapan harus secara jelas memberikan komitmen kepada tarikh peralihan dari Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Ketujuh kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Kelapan pada Mei 2020 sebagaimana yang pernah dinyatakan kepada rakyat.

Ini adalah sesuatu yang perlu dilakukan demi kebaikan negara kita. Sama ada penduduk kawasan saya yang saya temui di pasar, penjawat awam di Putrajaya mahupun ahli perniagaan – mereka mahukan jawapan yang jelas dalam perkara ini.

NIK NAZMI NIK AHMAD
Ketua Setiausaha Pengelola KEADILAN
Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN
Ahli Parlimen Setiawangsa