Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Kita Mesti Belajar Dari Kekalahan Semenyih Dan Cameron Highlands

Pakatan Harapan telah mengalami kekalahan pilihan raya kecil sekali lagi, kali ini di Semenyih.

Saya mengucapkan tahniah kepada Barisan Nasional atas kemenangan mereka. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan Pakatan Harapan di Semenyih atas kerja keras mereka dan berharap bahawa kekalahan ini tidak akan melunturkan semangat mereka.

Ini adalah kekalahan kedua Pakatan Harapan, dan ini kali pertama Pakatan Harapan kehilangan kerusi sejak Pilihan Raya Umum 2018.

Saya telah menekankan berkali-kali bahawa kerajaan kita akan diukur berdasarkan pengurusan ekonomi, serta kesungguhan kita terhadap proses pembaharuan institusi.

Pada masa yang sama, masalah matlamat kerajaan yang kurang jelas, visi dan siapa kepimpinan masa depan turut menyukarkan kerja kita. Kita harus ingat, kita sudah ada muafakat Pakatan Harapan yang dipersetujui bersama.

Ia juga telah melemahkan keyakinan pengundi terhadap kita. Apabila pemimpin tidak jelas, dan siapa yang memimpin pun tidak jelas – ia akan menyebabkan perubahan yang mengakibatkan rakyat menderita.

Kekalahan terbaru ini memberi peringatan bahawa kita tidak alpa, atau mengelakkan diri daripada menjawab persoalan yang sukar dan tanggungjawab mendatang.

Para pemimpin Pakatan Harapan perlu menangani soalan-soalan penting berhubung kos sara hidup secara substantif.

Kerajaan juga perlu lebih responsif terhadap keperluan rakyat dan memerangi rasuah tanpa henti.

Janji-janji yang digariskan dalam manifesto 2018 kita mesti diakui dan ditunaikan secepat yang mungkin.

Pembaharuan boleh dan mestilah berpusatkan keperluan rakyat. Cuma itu cara yang akan menjadikan kita berjaya.

Cameron Highlands dan Semenyih adalah amaran jelas untuk Pakatan Harapan: kita mesti menunjukkan prestasi yang tinggi, menunaikan amanah setelah diberi undi.

Ia semudah itu.

NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA SETIAUSAHA PENGELOLA KEADILAN
AHLI MAJLIS PIMPINAN PUSAT KEADILAN
AHLI PARLIMEN SETIAWANGSA