Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Menawarkan Diri Untuk KLFA

Saya menawarkan diri untuk bertanding selaku Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA). Saya mengambil keputusan ini memandangkan minat yang mendalam terhadap bola sepak dan keinginan memenuhi potensi KLFA menjadi FA yang lebih profesional dan berintegriti.

KLFA tidak perlu diperkenalkan lagi terutamanya menerusi kecemerlangan pasukan bola sepak utamanya dan pembangunan bakat muda.

Kuala Lumpur mencatat nama sebagai pasukan yang berjaya khususnya pada akhir 1980an, apabila menjuarai liga sebanyak dua kali, iaitu pada 1986 dan 1988.

Kejayaan paling dikenang pastinya apabila pasukan ini menjuarai Piala Malaysia sebanyak tiga musim berturut-turut (1986-1988).

Pencapaian ini tidak terhenti setakat itu. Kuala Lumpur menjadi Johan Piala FA pada 1993, 1994 dan 1999.

Kejayaan ini berikat rapat dengan pembangunan pelapis, di mana banyak bakat serta tunas yang dilahirkan dari kalangan anak-anak jati Kuala Lumpur sendiri.

Nama-nama besar seperti Azman Adnan, Safee Sali, Azrul Amri Burhan, Allahyarham Zaid Jamil, Shahrin Majid, T. Gopinath Naidu, Ivan Yusoff, Mohd Farid Dewan dan Jamsari Sabian (sekadar menyebut beberapa nama), bukan saja menjadi idola kepada pengikut bola sepak tempatan, tetapi juga memberi inspirasi kepada anak-anak muda khususnya yang tergolong dalam kalangan kurang berkemampuan.

Malah, bakat-bakat negara seperti Datuk K Rajagopal dan Datuk Santokh Singh juga mengasah bakat di Setapak namun ketika itu KLFA belum ditubuhkan lagi.

Maka, pembangunan pelapis seharusnya merangkumi projek pembangunan akar umbi yang holistik – sains sukan, pendedahan kepada jurulatih muda serta para pegawai teknikal. Selain itu bakat yang ada di liga-liga KLFA dan kelab-kelab komuniti di Kuala Lumpur mesti digilap.

Kita juga tidak boleh mengenepikan profesionalisme dengan penswastaan pasukan menerusi pelesenan kelab yang dituntut oleh Malaysia Football League (MFL). Pasukan profesional Kuala Lumpur wajib mampu berdikari dengan dana sendiri dan digerakkan secara berasingan daripada Pentadbiran Persatuan KLFA.

Ini penting kerana kedua-duanya mempunyai dua fungsi yang berbeza: satu sebagai pesaing dalam liga komersial, sementara satu lagi merupakan badan yang mengawal selia bola sepak di dalam kawasan Kuala Lumpur.

Hubungan antara pasukan Kuala Lumpur dan penyokong, termasuk Ultras, mesti diperkukuhkan. Penyokong adalah nadi sesebuah pasukan. Pasukan mesti dekat dengan penyokong dan penduduk ibu kota.

Pemantapan jenama KL Hawks mesti diteruskan, supaya warga Kuala Lumpur mempunyai rasa keterikatan kepada pasukan. Ini dapat menarik kehadiran penyokong sedia ada dan akan datang yang lebih ramai ke stadium, sama ada perlawanan di gelanggang sendiri, mahupun tempat lawan.

Penghasilan dan pemasaran ‘merchandise’ atau memorabilia pasukan juga perlu dibuat secara serius dan bersungguh. Selain memberi ruang untuk para peminat memiliki barangan pasukan kesayangan mereka, ia juga membantu untuk menambah dana pasukan. Begitu juga Kuala Lumpur boleh memaksimakan kedudukan sebagai ibu kota untuk menarik tajaan yang lebih tinggi dari pihak korporat secara telus dan berkesan.

Kita tidak perlu pergi jauh. Ada beberapa pasukan di Malaysia yang mula mengorak langkah yang betul dari sudut ini. Di rantau ini kita ada contoh Buriram United di Thailand yang lebih kurang seusia dengan KLFA tetapi ditadbir seperti kelab bola sepak negara maju dari sudut pencapaian atas padang, pengkomersialan, hubungan dengan penyokong dan pembangunan akar umbi.

Saya yakin saya dapat memainkan peranan untuk KLFA menjadi penyumbang kepada kejayaan Peta Hala Tuju FAM 2019-2030 yang baru dilancarkan.

NIK NAZMI NIK AHMAD
AHLI PARLIMEN SETIAWANGSA