Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Kerajaan Harus Sensitif Cabaran Dihadapi Peminjam PTPTN

Saya membaca beberapa laporan akhbar, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengatakan peminjam PTPTN yang tidak membayar pinjaman adalah tidak amanah atau tidak tahu malu.

Saya menghormati Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri dan memahami bebanan ekonomi negara tapi dalam hal ini saya ingin menyatakan pandangan saya yang sedikit berbeza.

Kita tidak boleh menghukum peminjam yang tidak membayar PTPTN secara pukul rata, meskipun ada yang tidak tahu malu dan tidak amanah tetapi lebih ramai peminjam yang bukan tergolong dalam kelompok itu. Ada di antara peminjam belum mendapatkan pekerjaan, bagi yang bekerja pula – gaji permulaan graduan amat rendah.

Kita harus mengakui terdapat golongan miskin bandar dan miskin tegar, selalunya kelompok ini agak sukar untuk membayar kerana mempunyai banyak bebanan seperti mula menyara keluarga setelah bergraduasi. Di dalam budaya kita jika mereka seorang yang belajar di universiti, harapan besar keluarga untuk mereka membantu keluarga yang lebih besar.

Kita baru memerintah beberapa bulan, misi kita untuk memperbaiki ekonomi negara. Sehingga kita menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan, gaji permulaan yang baik dan memahami masalah sebenar peminjam – tidak wajar kita melabel kelompok peminjam sebagai tidak amanah.

Sistem pendidikan kita juga bermasalah dengan penumpuan terhadap pembinaan IPTS ketika IPTA tidak berkembang dan berhadapan potongan peruntukan yang besar dalam tahun-tahun kebelakangan ini. Biasiswa juga semakin berkurangan. Maka lepasan sekolah yang semakin ramai tiada pilihan melainkan untuk ramai memilih ke IPTS untuk melanjutkan pengajian.

Sebab itu dalam Buku Harapan kita fokus mencipta kerja dengan gaji lebih tinggi, peningkatan gaji minima dalam tempoh lima tahun dan penangguhan pembayaran PTPTN sehingga gaji RM4,000. Model sama digunakan di luar negara seperti Australia dan Britain.

NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA PEMUDA HARAPAN
KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN
AHLI PARLIMEN SETIAWANGSA