Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Jawapan Pertanyaan Jawab Lisan Isu ‘Living Wage’ Dan Gaji Minima

Soalan: Nik Nazmi Nik Ahmad [ Setiawangsa ] minta Menteri menyatakan apakah rancangan kenaikan gaji minima dan galakkan pengenalan ‘living wage’ yang dicadangkan oleh bank negara Malaysia seperti melalui insentif kerajaan atau potongan cukai.

Jawapan:

Tuan Yang Dipertua,

1. Untuk makluman Dewan Yang Mulia, konsep dasar gaji minimum sedia ada adalah bertujuan untuk menetapkan gaji lantai (floor wages) atau gaji pokok sahaja di sektor swasta dan bukannya sebagai gaji keseluruhan pekerja atau living wage.

2. Walaupun begitu, sebagai sebuah Kerajaan yang terbuka terhadap setiap pandangan dan cadangan, Kementerian ini melalui Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) akan meneliti perkara ini bagi memastikan ia benar-benar sesuai dan memberi manfaat kepada rakyat serta ekonomi negara secara keseluruhannya.

Tuan Yang Dipertua,

3. Secara umumnya pelaksanaan gaji minimum berkonsepkan gaji pokok ini memberikan kesan positif tidak langsung kepada pekerja dan implikasi positif tersebut adalah seperti berikut:

a) meningkatkan bayaran kerja lebih masa pekerja yang mana sekali gus meningkatkan pendapatan pekerja;

b) berhubung simpanan hari tua pekerja, peningkatan kadar gaji minimum sedia ada akan meningkatkan sumbangan caruman pekerja dan majikan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP);

c) berkaitan jaringan keselamatan sosial (sosial security net), peningkatan gaji minimum sedia ada akan meningkatkan caruman pekerja dan majikan di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang memastikan jaminan keselamatan pekerja dipelihara sekiranya ditimpa bencana.

4. Kesimpulan, Kerajaan melalui Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) sedia meneliti cadangan untuk mengadakan living wage bagi memastikan ia benar-benar sesuai dan memberi manfaat kepada rakyat serta ekonomi negara secara keseluruhannya.