Saya tidak bersetuju dengan tindakan menyiasat Fadiah Nadwa Fikri, seorang peguam, di bawah Akta Hasutan dan Akta Komunikasi dan Multimedia berkaitan satu artikel blog yang ditulisnya yang menyentuh hal institusi raja di Malaysia.
Saya mempertahankan muafakat kemerdekaan yang terdiri dari sistem raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen yang diamalkan di negara kita ini.
Adalah penting untuk kita terus menegakkan kedua-dua sistem ini demi masa depan negara yang pelbagai kaum dan agama.
Dalam pada itu, Akta Hasutan dan undang-undang lain yang bersifat menindas adalah halangan kepada pembangunan demokrasi negara selain wacana yang aman dan matang, serta kebebasan hak bersuara dalam Malaysia Baru.
Pada masa ini satu tempoh moratorium ke atas siasatan dan pendakwaan di bawah undang-undang ini patut ditetapkan sehinggalah ianya dimansuhkan seperti yang dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan.
Sesiapa yang tidak bersetuju dengan pandangan Fadiah, atau orang lain, sepatutnya menjawab dengan hujah mereka sendiri, dan bukannya dengan menggunakan undang-undang ini setiap kali mereka mendengar sesuatu yang mereka tidak senangi.
NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA PEMUDA HARAPAN
KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN
AHLI PARLIMEN SETIAWANGSA