Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Peranan GLC Dalam Malaysia Baharu

Saya percaya pengurusan tertinggi GLC yang telah menyalahguna kuasa dan sumber mana-mana organisasi bagi tujuan politik di bawah pentadbiran yang lalu mesti lepaskan jawatan.

Samalah juga bagi sesiapa sahaja yang telah bersekongkol untuk melakukan perbuatan jenayah atau rasuah.

Walaubagaimanapun, proses ini haruslah dilaksanakan secara berhemah dan telus. Sebarang pembuangan pimpinan GLC ini mesti dilakukan mengikut proses tanpa perlu buat serangan di media.

Kita tidak mahu satu mesej yang salah disampaikan kepada orang ramai, kakitangan mahupun pelabur bahawa setiap perubahan kerajaan akan menyebabkan pertukaran besar di setiap lapisan pentadbiran.

Kakitangan GLC yang merasakan boleh menyumbang kepada Malaysia Baharu sepatutnya diberi peluang.

Kerajaan Pakatan Harapan telah diberikan mandat oleh rakyat untuk membersihkan sistem kerajaan dan ini termasuklah GLC. Kita tidak boleh merugikan peluang ini.

Tetapi kita juga harus sedar bahawa ini hanya boleh dilakukan sekiranya kita berhemah, telus dan bertanggungjawab dalam setiap keputusan.

Sejarah mengajar kita bahawa perubahan, termasuklah yang begitu terdesak, mesti dilakukan dengan teratur jika kita mahu ia berkesan secara mampan dan berjangka masa panjang.

Kita mesti bekerja dengan bijak untuk memperoleh keputusan yang baik.

Untuk jangka masa panjang kita juga harus mengubah budaya GLC dan peranan mereka.

Jelas dengan perubahan yang begitu banyak daripada pelbagai GLC kebelakangan ini, ia membuktikan bahawa mereka perlu dilepaskan daripada cengkaman politik.

GLC mestilah diceraikan daripada pengaruh politik. Ini akan lebih mudah dilakukan sekiranya pimpinan mereka dibentuk dari dalam di masa hadapan, dengan mengambil kira merit, dan pembangunan bakat yang pelbagai daripada dalam, dan bukannya melalui lantikan kerajaan.

Kakitangan GLC juga mesti diberi gaji setimpal supaya boleh menarik bakat yang terbaik dan mendapat jaminan integriti yang lebih, tetapi mereka juga harus ditetapkan dengan piawaian penilaian kerja yang ketat.

Akhirnya, kita tidak patut lagi melihat lantikan kerja awam daripada sudut politik.

Nik Nazmi Nik Ahmad
Ahli Parlimen Setiawangsa