Sebagaimana telah diumumkan Dr Wan Azizah Wan Ismail, saya telah dicalonkan oleh KEADILAN dan Pakatan Harapan untuk bertanding kawasan Parlimen Setiawangsa di Kuala Lumpur.
Saya menerima pencalonan ini dengan ucapan terima kasih dan rasa rendah diri. Saya menghargai kepimpinan KEADILAN dan Pakatan Harapan, termasuk di peringkat nasional dan tempatan, untuk amanah besar ini.
Saya bertekad untuk membalas kepercayaan yang diberikan kepada saya, untuk membuktikan saya mampu memikul tugas yang besar ini.
Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada kawasan lama saya, Seri Setia di Selangor, yang memberikan saya keyakinan menjadi suara mereka di DUN untuk dua penggal.
Bukannya mudah meninggalkan kawasan yang begitu dekat di hati saya – malah yang bermula sebelum saya menyertai politik. Namun saya meninggalkan Seri Setia mengetahui bahawa ia lebih baik hasil kejayaan pentadbiran Pakatan sejak 2008.
Kepada pengundi-pengundi Setiawangsa, kawasan kita merupakan kawasan yang cantik dan majmuk. Tetapi saya percaya Setiawangsa boleh menjadi tempat yang lebih baik untuk didiami dan membesarkan anak-anak.
Saya mahu mendengar pandangan anda tentang bagaimana kita boleh menjadikan kawasan kita – selain Kuala Lumpur, bandaraya kita dan ibu negara Malaysia-sebuah tempat yang boleh kita banggakan.
Selain itu, tanah air kita berhadapan pilihan penting tentang masa depan kita – antara kegagalan di bawah Najib Razak dan Barisan Nasional, dan masa depan yang mampu membawa negara dan rakyat ke hadapan dipimpin Pakatan Harapan.
Barisan Nasional tidak pernah tewas di Setiawangsa. Terapi saya percaya untuk menukar Kerajaan Persekutuan, kita perlu memenangi kerusi marginal seperti Setiawangsa dan saya menawarkan diri saya untuk tugas ini.
Setiawangsa yang lebih baik dan Malaysia yang lebih adil dan makmur yang kita boleh banggakan boleh menjadi realiti, sekiranya kita mahukannya. Saya tidak sabar bertemu semua anda sewaktu tempoh kempen – dan Insya Allah – memberi khidmat kepada anda dalam Parlimen akan datang dibawah pentadbiran Pakatan Harapan.
NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA PEMUDA HARAPAN
KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN
CALON P118 SETIAWANGSA
2 Comments
Juhaida
Saya penduduk Setiawangsa. Betul BN tidak pernah tewas di Setiawangsa. Datuk Fauzi cukup dekat di hati rakyat Setiawangsa, di mana beliau aktif terlibat dengan program sekolah dan selalu muncul di khalayak rakyat Setiawangsa. Sepanjang saya berada di Setiawangsa (semenjak awal 2009), Datuk Fauzi selalu kami ketemui berbanding Datuk Zulhasnan.
Mohon pencerahan bagaimana En Nik Nazmi dapat menjadikan Setiawangsa satu DUN yang lebih baik dan makmur?
Nik Nazmi Nik Ahmad
Terima kasih Juhaida atas keperihatinan anda. Sila rujuk artikel saya dibawah untuk tawaran penting Pakatan Harapan di Setiawangsa.
https://niknazmi.com/keadilan/dua-tawaran-penting-pakatan-harapan-untuk-setiawangsa-pekerjaan-dan-perumahan/
– Nik Nazmi Nik Ahmad –
Comments are closed.