Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Dua Kelemahan Besar Manifesto Barisan Nasional

Semalam saya turut serta di dalam Wacana Sinar Harian bersama wakil BN dan PAS, membincangkan ketiga-tiga manifesto kami.

Minat terhadap manifesto pelbagai parti dan gabungan ini perkara yang positif. Ini memperlihatkan politik negara semakin menjurus kepada politik perfokuskan dasar, bukan personaliti.

BN mengambil pendekatan memisah-misahkan segmen: tawaran khusus untuk setiap segmen di majlis berasingan. Ini menarik, mungkin untuk mengurangkan tekanan terhadap Najib Razak berikutan begitu banyak skandalnya dengan membolehkan pengundi fokus kepada isu setempat atau mengikut segmen, bukan naratif nasional yang lebih luas. Juga memandangkan mereka berharapkan jumlah keluar undi yang rendah, mereka hanya fokus terhadap pengundi tegar mereka.

Manifesto Pakatan Harapan, Buku Harapan, saya percaya adalah yang terbaik untuk membawa Malaysia ke hadapan. Ia hasil keinginan kami bukan sahaja untuk memacu pertumbuhan ekonomi, tetapi memastikan keadilan untuk semua kelompok termasuk anggota keselamatan, peneroka FELDA, Sabah dan Sarawak, wanita dan minoriti terutamanya masyarakat India. Yang paling penting ialah bukannya memberikan wang tunai semata-mata, tetapi mempunyai rancangan untuk membawa Malaysia ke tahap yang lebih baik.

Manifesto BN juga mempunyai dua kelemahan besar: tiada reformasi institusi dan penerusan GST.

Semua rancangan besar untuk transformasi ekonomi yang dibentangkan manifesto BN akan gagal tanpa keazaman politik dan tekad untuk Malaysia yang lebih bersih dan lebih adil. Tiada dalam manifesto BN yang boleh dibandingkan dari sudut ini dengan Pakatan Harapan. Najib telah membawa kita masalah 1MDB, Tabung Haji, FELDA, MARA, LTAT – semata-mata kerana terhakisnya institusi-institusi kita dan pemerintahan satu parti yang terlalu lama.

Kelemahan besar kedua ialah penerusan GST di dalam manifesto BN. GST telah menjejaskan rakyat Malaysia termasuk peniaga kecil, tetapi juga anak muda. Sekali lagi, semua bantuan dan rancangan yang dijanjikan tidak membawa makna apabila kita melihat masalah terhadap periuk nasi rakyat yang disebabkan GST. Yang menyedihkan, ada syarikat besar luar negara dikecualikan daripada GST.

Yang pastinya, PRU14 adalah referendum terhadap GST. PRU14 adalah mengenai sama ada GST telah memperbaiki kehidupan rakyat Malaysia. PRU14 adalah sama ada rakyat merasakan beban GST dikongsi secara adil dan saksama. PRU14 adalah sama ada rakyat menyokong penerusannya.

Rakyat Malaysia ada jawapannya.