Saya merujuk kenyataan Menteri Pendidikan, Mahdzir Khalid, yang mengugut guru dan pegawai yang menyokong pihak pembangkang bahawa mereka akan dipecat daripada jawatan.
Berikutan kecaman orang awam, pasukan komunikasi Kementerian Pendidikan pula cuba berdalih dengan menyatakan bahawa Menteri hanya berniat memberi nasihat seperti seorang ‘bapa’.
Ternyata di sini kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri itu adalah tidak patut kerana dia cuba mempengaruhi para guru dan menakut-nakutkan mereka agar tidak menyokong pihak pembangkang.
Sebagai Menteri Pendidikan, Mahdzir sepatutnya cukup berpendidikan untuk memahami bahawa ini merupakan negara demokrasi yang mana rakyat mempunyai hak untuk menyokong, dan menyatakan sokongan, kepada mana-mana parti yang dia mahu.
Respon Menteri selepas teruk dikecam masyarakat, yang cuba berselindung disebalik satu persona ke’bapa’an juga hanyalah cubaan untuk mencabar kebijaksanaan rakyat yang sudah muak mendengar ugutan seperti itu – terutamanya menjelang pilihanraya.
Guru merupakan tulang belakang masyarakat, dan mereka bukan sahaja menjadi contoh, malah mereka juga membentuk generasi masa depan, oleh itu amatlah tidak patut untuk menganggap mereka sebagai perkakas parti politik. Guru sepatutnya boleh berfikir untuk diri sendiri dan bertindak sepertimana yang mereka fikir adalah betul.
Saya terpanggil untuk memesan kepada para guru, pegawai dan penjawat awam; anda mempunyai hak untuk mengundi mana-mana parti yang dirasakan terbaik untuk memimpin negara. Undi anda adalah suara kamu.
Pakatan Harapan akan berusaha sebaiknya untuk memastikan pekerjaan dan kehidupan harian para penjawat awam dijaga dengan baik, tidak mengira fahaman politik.
Marilah kita memberi pengajaran kepada mereka yang cuba mengugut dan merendahkan kita, dan merekalah yang sepatutnya tidak memegang sebarang jawatan kerana keangkuhan mereka.
NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA PEMUDA HARAPAN
KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN