Selepas bapa saya memperoleh ijazah sarjana muda di Universiti Malaya, Singapura pada 1958, beliau mula bekerja sebagai pegawai kerajaan.
Waktu itu, sebagai anak sulung, beliau mampu menghantar hampir separuh gajinya pulang ke kampung untuk perbelanjaan ibu bapanya yang masih menyara adik-adiknya.
Itu amalan biasa masyarakat Timur, anak-anak menghantar wang belanja untuk ibu bapa sebagai tanda hormat dan kasih sayang.
Tetapi kajian terbaru HSBC mendapati situasi sudah terbalik: 57 peratus ibu bapa Malaysia masih menyara anak-anak mereka yang berumur 18 tahun ke atas. Daripada 13 negara yang dikaji, Malaysia di tangga keempat tertinggi.
Ada yang ibu bapa bantu duit poket. Bayar deposit rumah. Deposit motosikal atau kereta. Tampung bayar semula PTPTN.
Jadi generasi ibu bapa kita dalam kedudukan unik – ramai mereka menyara ibu bapa mereka dahulu dan kini menyara anak-anak mereka pula.
Tetapi sampai bila? Jangka hayat rakyat semakin tua. Keperluan kesihatan ibu bapa meningkat. Wang KWSP kini banyak habis selepas tiga hingga lima tahun persaraan. Adakah kita nanti kena bekerja sehingga umur 70 nak menyara anak-anak kita?
*Gambar bapa saya pulang ke Kelantan dari Singapura sewaktu cuti universiti.