Kebelakangan ini banyak yang diperkatakan tentang undi anak muda di Malaysia. Banyak perhatian diberikan kepada anak muda sama ada mereka peduli tentang Malaysia secara politiknya, serta bagaimana memastikan mereka mendaftar dan keluar mengundi – atau menjauhkan mereka daripada kedua-duanya.
Untuk mendapatkan jawapan kepada persoalan-persoalan ini, Angkatan Muda Keadilan (AMK) telah cuba mendekati ramai anak muda Malaysia melalui apa yang kami namakan ‘Sesi Teh Tarik’.
Ini dimulakan pada pertengahan Ogos tahun ini, apabila Dr Wan Azizah Wan Ismail datang ke Setiawangsa, sebuah kerusi Parlimen yang dimenangi tipis Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya lalu.
Dari sana, kami telah pergi ke pekan-pekan kecil di Kelantan, Perak dan Johor serta penempatan Felda di Negeri Sembilan untuk beberapa sesi lain. Tidak lama lagi kami merancang ke seluruh Malaysia – dari Perlis ke Sabah – untuk bercakap tentang apa Keadilan dan Pakatan Harapan boleh tawarkan untuk anak muda.
Ia dibuat bukan dengan format biasa ceramah – sebaliknya lebih dekat dengan satu generasi yang biasa dengan perbincangan di media sosial. Kami menghidangkan teh tarik (kami cuba menyediakannya kurang manis) kepada mereka yang hadir dan menyiarkan sesi ini secara langsung di internet.
Banyak isu yang dibangkitkan memang telah diketahui. Kejatuhan harga komoditi dan amalan samar dalam pengurusan Felda; kebanjiran pekerja asing dan kurang peluang pekerjaan dengan gaji munasabah yang mendorong ramai anak muda Malaysia berhijrah ke bandar; desakan hidup sehingga terpaksa menompokkan hutang, dan diskriminasi dihadapi masyarakat Orang Asli – senarainya lebih panjang lagi.
Ramai juga mengadu tentang kesan potongan belanjawan secara besar-besaran, khususnya dalam bidang pendidikan dan kesihatan. Di luar bandar Negeri Sembilan, keluarga berpendapatan rendah dan sederhana berkata mereka diminta membayar RM10 untuk sekolah membeli kertas. Ada keluarga di kampung di Perak mengadu terpaksa menolak tawaran biasiswa ke luar negara untuk anak mereka kerana ibu bapa perlu mengeluarkan wang untuk empat bulan pertama pengajian asasi di IPTS di Malaysia. Doktor-doktor beritahu saya bagaimana mereka membelanjakan wang sendiri untuk kurangkan kos pesakit miskin.
Bagaimana ini boleh berlaku? Pada 1991, ketika saya masih di sekolah rendah, Wawasan 2020 menjadi sebutan dan cita-cita bersama. Dalam pertandingan melukis dan mengarang, rakan-rakan saya membayangkan kereta terbang dan bandar yang gilang-gemilang.
Kita kini hanya berada sekitar dua tahun menjelang Wawasan 2020, tetapi kelihatan semakin menjauhi objektif-objektif dinyatakan di dalamnya. Ironinya, Umno-BN kini cuba beralih kepada wawasan baharu – 2050 (Transformasi Nasional 2050) – menolak cita-cita yang ada lebih jauh dan lama lagi.
Seruan AMK dan Pemuda Pakatan Harapan dalam sesi-sesi teh tarik kami ialah: kita tidak perlu menunggu sehingga 2050. Kita punya peluang dalam PRU terdekat untuk mengubah negara ini bersama-sama – untuk meninggikan kedudukan generasi dan anak cucu kita.
Untuk Sabah dan Sarawak, kita mahu pergi lebih jauh daripada Perjanjian Malaysia 1963. Kita mahu lebih banyak hasil diuruskan sendiri negeri-negeri dan juga meningkatkan tanggungjawab mereka dalam bidang-bidang kuasa penting.
Kami juga mahu galakkan lebih banyak desentralisasi kepada sekolah-sekolah dan pejabat pentadbiran daerah atau negeri, sambil memastikan pelaburan yang lebih besar dalam infrastruktur di bahagian-bahagian negara ini yang ketinggalan pembangunan. Pendidikan percuma di universiti awam dengan elaun sara hidup kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah dan sederhana.
Menyediakan lebih banyak peluang untuk pendidikan vokasional dan teknikal bagi meningkatkan kualiti pekerja-pekerja kita.
Kami juga percaya kadar upah dan gaji di Malaysia perlu ditingkatkan. Perlu ada insentif untuk syarikat yang berkeuntungan besar menyediakan gaji setimpal untuk sara diri pekerja. Perlu ada mekanisme rundingan lebih baik antara kerajaan, sektor swasta dan kesatuan sekerja dalam isu kenaikan upah dan gaji serta produktiviti pekerja. Negara kita memerlukan satu pelan pengurangan pekerja asing dan insentif bagi menggalak pengambilan pekerja tempatan yang berkemahiran.
Kita memerlukan lebih banyak rumah mampu milik – sama ada untuk dibeli atau disewa – terutama kepada penduduk di negeri-negeri yang maju dan berkepadatan tinggi seperti di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor. Kerajaan perlu mengutamakan pembeli rumah pertama.
Kerosakan institusi-institusi awam negara juga bermaksud lebih banyak fokus perlu diberikan untuk memulihkan integritinya. Akta Kebebasan Maklumat – yang telah diperkenalkan sebagai enakmen di Selangor dan Pulau Pinang – perlu dibuat juga di peringkat Persekutuan. SPRM perlu dijadikan benar-benar bebas dengan kuasa pendakwaan sendiri. Jawatankuasa pengawasan di Parlimen dan dewan undangan negeri – seperti Selcat di Selangor – perlu dibentuk untuk mengawasi kerajaan sendiri.
Inilah tawaran kami kepada anak muda Malaysia.