Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Kerajaan UMNO-BN yang abaikan kebajikan veteran ATM selama ini

Saya tertarik dengan ulasan Menteri Pertahanan, Hishamuddin Hussein, berkenaan veteran Angkatan Tentera Malaysia yang tidak mendapat pencen.

Menurut Menteri, kerajaan akan mengkaji kaedah bagi membantu veteran-veteran yang tidak menerima pencen ini untuk menangani kos kehidupan yang semakin meningkat.

Pada masa yang sama Menteri tetap menunding jari ke pihak veteran yang mengambil pilihan untuk tidak menerima pencen.

Ulasan ini terlalu biasa untuk satu kerajaan yang tidak pernah benar-benar mengambil berat tentang kebajikan rakyat.

Menurut Menteri sendiri, seramai 176,000 veteran ATM tidak menerima pencen dan jumlah ini semakin meningkat. Persoalannya, mengapa perkara ini boleh dibiarkan berlaku?

Veteran ini merupakan wira negara, dan hakikatnya selama puluhan tahun sejak kita merdeka kerajaan tidak pernah memikirkan satu mekasnime menyeluruh untuk membantu veteran ATM.

Lihat sahaja apa yang berlaku sejak kes 1MDB diriuhkan sehingga pencen veteran ATM juga disentuh untuk menutup hutang besar syarikat milik kerajaan tersebut.

Kelewatan pembayaran pencen itu merupakan gambaran sebenar layanan kerajaan terhadap veteran ATM.

Sekiranya kerajaan sememangnya berniat menaiktaraf kehidupan veteran tentera, ia dialu-alukan. Tetapi kerajaan juga harus mengakui bahawa selama ini mereka telah mengabaikan wira-wira negara ini, dan tidak terus menunding jari.

Kenaikan kos kehidupan ini juga sedikit sebanyak disebabkan pentadbiran kerajaan BN yang rakus jadi Menteri tidak perlulah mengulas seakan-akan mereka prihatin padahal hakikatnya keadaan ini berlaku kerana mereka juga.