Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Ahmad Maslan lebih baik berdiam diri

Kami merujuk kepada kenyataan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Ahmad Maslan baru-baru ini yang menyarankan agar penjawat awam menjawat dua perkerjaan untuk menampung kos sara hidup.

Cadangan menteri ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan sendiri mengakui bahawa isu kenaikan kos sara hidup adalah sesuatu perkara yang serius, dan mereka juga sudah ketandusan idea untuk menangani isu ini.

Bukan sahaja cadangan itu tidak konstruktif sebagai satu kaedah penyelasaian daripada pucuk pimpinan negara, malah ia merupakan penghinaan kepada rakyat yang semakin tertekan menghadapi realiti kehidupan masa kini yang sudah cukup membebankan.

Sekiranya kerajaan BN benar-benar percaya menjawat dua pekerjaan sebagai sebuah jalan penyelesaian, ini juga bukti bahawa kerajaan negara ini sudah gagal di dalam menguruskan ekonomi dengan baik sehinggakan rakyat terpaksa memikul bebanan yang lebih.

Beliau juga ada menyenaraikan jawatan-jawatan yang disandang beliau di dalam parti Umno dan pentadbiran negara sebagai contoh mengamalkan #2kerja, tetapi ia hanya membuktikan bahawa menteri-menteri negara ini langsung tidak dapat membezakan jawatan yang dipegang dengan pekerjaan yang dibuat oleh rakyat biasa.

Kami syorkan mana-mana menteri, seperti Ahmad Maslan, jika tidak dapat menyumbang idea atau mengeluarkan polisi yang benar-benar membantu rakyat, baiklah mendiamkan diri daripada menyakitkan hati.