Saya mengalu-alukan keputusan Kementerian Pendidikan berkenaan penutupan sekolah-sekolah di sekitar Selangor akibat keadaan jerebu yang semakin teruk. Saranan ini juga telah dibuat oleh YAB Dato’ Menteri Besar Selangor Azmin Ali awal semalam, dan saya amatlah bersetuju dan berpuas hati dengan keputusan tersebut. Universiti Selangor (UNISEL) Kampus Shah Alam juga mengambil keputusan yang sama sementara Kampus Bestari Jaya terus dibuka memandangkan keadaan masih terkawal di sana.
Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang terlalu tinggi sehingga takat yang sangat tidak sihat di beberapa kawasan di Selangor mampu menjejaskan kesihatan pelajar, terutamanya pelajar sekolah rendah. Oleh itu ibu bapa disarankan untuk sentiasa mengambil maklum perkembangan terkini berkenaan keadaan jerebu ini dan memastikan semua langkah diambil untuk melindungi anak-anak seperti memakaikan topeng (yang disyorkan adalah N95).
Dalam pada itu, saya tetap merasakan bahawa Kerajaan Persekutuan masih boleh mengambil langkah yang lebih baik dalam menghadapi kemelut pencemaran udara yang sudah menjadi kejadian tahunan ini. Sistem bacaan IPU yang digunakan oleh pihak kerajaan, terutamanya, haruslah disamakan dengan piawai yang digunakan oleh negara-negara maju agar rakyat boleh didedahkan dengan bacaan yang lebih tepat. Ramai yang sudah terkesan dengan pencemaran udara ini, apatah lagi ia berulang hampir setiap tahun, maka sebarang usaha untuk menambahbaik sistem untuk menangani isu ini haruslah dipercepatkan.
Saya percaya semua pihak bersetuju bahawa kesihatan anak-anak mestilah diutamakan.
Dengan keadaan yang masih belum reda ini, saya juga ingin menyarankan agar ibu bapa mengambil langkah berjaga-jaga dan mengurangkan aktiviti luaran. Semoga kita semua dilindungi Allah s.w.t.