Kita tidak mungkin dapat betul-betul memastikan kedudukan politik Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin. Pada suatu ketika dia boleh dikatakan wira ulung bangsa, dan pada ketika yang lain dia merupakan suara keserdahanaan di dalam Umno.
Dia sudah berulang kali menyatakan kerisauan dan meminta jawapan jelas terhadap isu-isu hangat seperti GST, 1MDB dan Tabung Haji, dan tiba-tiba pada hari yang seterusnya dia terus menukar pendirian dan menzahirkan sokongan penuh kepada Perdana Menteri Najib Razak yang dibelenggu kemelut kepimpinan.
Kejadian-kejadian seperti ini jelas menunjukkan bahawa keutamaan yang diberikan oleh Khairy adalah tertumpu kepada survival politik sahaja, dan bukannya aspirasi dan kepentingan anak muda negara.
Saya dengan ikhlas berharap agar komen terkini dia tidak bermaksud Pemuda UMNO akan berhenti menyuarakan pendapat secara kritikal terhadap isu-isu yang dinyatakan di atas.
Masyarakat Malaysia, terutamanya golongan muda, memerlukan pemimpin seperti Khairy, sebagai Menteri Belia dan Sukan, untuk memastikan pimpinan atasan bertanggungjawab ke atas tindak tanduk mereka yang boleh dipersoalkan kerana memperlekehkan tugasan utama mereka kepada institusi awam.
Malangnya, kita telah dikecewakan lagi dan lagi.
Jika Khairy seorang yang berprinsip, dia patut menyahut cabaran Rafizi Ramli untuk meletakkan jawatan jika dia tidak boleh menerima jawapan yang memuaskan berkenaan isu-isu kepincangan pengendalian transaksi oleh 1MDB dengan Tabung Haji dan KWAP.
Dia juga sepatutnya memaklumkan secara umum penerangan yang diberikan Perdana Menteri dan juga sebab-sebab mengapa dia tidak berpuas hati.
Kegagalan untuk membuat demikian membuktikan bahawa anak muda Malaysia tidak mempunyai suara di Putrajaya.