Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Usia IPT tidak wajar jadi alasan ketinggalan

Saya merujuk kepada berita baru-baru ini yang menyatakan bahawa universiti tanahair tidak berjaya diiktiraf di dalam senarai tujuh universiti muda yang paling cepat membangun oleh Times Higher Education (THE).

Ketidakupayaan universiti-universiti tempatan untuk ditempatkan bersama universiti-universiti terbaik dunia sekali lagi membuktikan kegagalan kerajaan negara ini untuk melaksanakan sebuah sistem pendidikan yang efektif secara sistematik dan strategik, serta boleh melonjakkan universiti-universiti ini ke tahap antarabangsa.

Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh, memberi alasan sebelum ini bahawa universiti-universiti di Malaysia ini adalah masih terlalu muda jika dibandingkan dengan universiti luar negara. Namun begitu ini bukanlah alasan yang baik kerana Nanyang Technological University (NTU) daripada Singapura, yang diiktiraf sebagai universiti terbaik di dalam senarai terbaru ini, adalah satu pertiga lebih muda daripada Universiti Malaya. Ini membuktikan bahawa umur sesebuah universiti bukanlah satu halangan ke arah kemajuan yang pantas dan berkekalan.

Jurucakap THE mencadangkan supaya universiti-universiti tempatan meningkatan lagi reputasi antarabangsa mereka, melalui kaedah-kaedah akademik, oleh itu saya menyarankan agak kerajaan BN duduk semeja dengan universiti-universiti tempatan dan berbincang dengan teliti untuk menyelesaikan segala masalah yang menjadi kekangan kepada kemajuan – samada perihal kewangan, hala tuju mahupun campur tangan kerajaan.

Dalam pada itu saya juga ingin menyatakan di sini bahawa kebebasan akademik di negara ini, yang merupakan salah satu asas penting kepada kemajuan akademik, sedang diancam teruk oleh tindakan-tindakan kerajaan BN, termasuklah di dalam kes Professor Azmi Sharom dan yang terkini Dr Khoo Ying Hooi, kedua-duanya daripada Universiti Malaya.

Jika kerajaan BN tidak mahu mengiktiraf kepentingan mendukung prinsip-prinsip asas seperti kebebasan akademik, serta mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk memperkembangkan pendidikan negara, saya percaya negara ini masih terlalu jauh dalam usaha untuk mencapai aspirasi akademik yang ditetapkan.

Pada masa ini, pendidik-pendidik kita tidak dibenarkan berbincang secara terbuka perkara-perkara yang mempunyai kepentingan akademik, termasuklah di dalam perihal tadbir urus negara, oleh itu bagaimana mereka hendak menyakinkan rakan sejawat mereka di peringkat antarabangsa bahawa mereka mempunyai kewibawaan di dalam bidang akademik?

Kerajaan BN haruslah sedar bahawa kegagalan ini bukan sahaja memberi kesan kepada reputasi akademik tempatan, tetapi ia juga memberi kesan yang besar kepada para cendekiawan serta pemimpin masa depan negara ini.

Sudah masanya kerajaan BN mengotakan kata-kata serta janji mereka, jika tidak sudah tentu Malaysia akan terus mengejar bayang, termasuklah bayang negara-negara jiran yang terdekat.