Saya baru-baru ini mengulas tindakan tidak profesional Shafee Abdullah kerana turut serta di dalam jelajah Pemuda UMNO berkaitan kes Fitnah II.
Hakikat bahawa beliau merupakan pendakwa di dalam kes itu dan bertungkus-lumus menyerang dan memfitnah watak Anwar Ibrahim selepas kes itu selesai adalah suatu insiden yang luar biasa di dalam sejarah sistem keadilan kita. Semasa program itu beliau telah menghina pasukan pembelaan, mengecam Anwar dan secara angkuhnya menyatakan bahawa Anwar akan “pengsan di mahkamah” sekiranya Anwar memilih untuk disoal balas oleh pihak pendakwa – tuduhan-tuduhan yang tidak boleh dijawab oleh Anwar. Malah, Shafee sanggup berkongsi kononnya butir-butir lucah dalam kes tersebut – yang mana sesetengahnya tidak ada pun di dalam transkrip mahkamah.
Tindakan menjijikkan beliau bukan sahaja menarik kritikan daripada ahli-ahli politik malah juga pengamal dan pengkaji undang-undang. Ramai peguam-peguam telah mengecam tindakannya – sehingga dua anggota terkemuka dan kanan iaitu Peguam Perlembagaan Tommy Thomas dan bekas Hakim Mahkamah Rayuan Tan Sri V.C George telah membawa usul di dalam Mesyuarat Agung Tahunan Badan Peguam yang terbaru terhadap Shafee untuk “mengecam sekeras-kerasnya” tindakan memalukan beliau.
Amat aneh ketika mana Shafee secara bebas mengutuk pihak lain – namun ketika giliran tindakannya diadili – beliau memilih untuk pada saat-saat akhir mendapatkan injunksi interim daripada mahkamah menghalang anggota Badan Peguam membincangkannya. Malang sekali Shafee, yang sebelum ini mendabik dada tentang kehebatannya sebagai seorang pendakwa di dalam kes Fitnah II dan secara berterusan melemparkan kecaman dan fitnah terhadap seorang yang dipenjara – namun gagal berhadapan dengan tekanan dipersoalkan kerana tindakannya. Mungkin Shafee sendiri yang akan “pengsan” sekiranya dipersoal.