Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Solidariti bersama “UM8” dan “Occupy UM”

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia menyokong pergerakan “Occupy UM” dan turut menyatakan solidariti kepada “UM8”, iaitu kumpulan pelajar yang dikenakan hukuman kerana menganjurkan satu program pidato Anwar Ibrahim di Universiti Malaya.

Kami juga menyokong usaha oleh ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat untuk bersama-sama pelajar dan menghantar nota bantahan kepada pihak pentadbiran Universiti pada hari Selasa hadapan bagi menolak hukuman yang dikenakan kepada UM8.

Pergerakan “Occupy UM” adalah berasas dan sah berdasarkan hak warganegara untuk ikut terlibat dalam bantahan aman terhadap hukuman drakonian dan tidak adil terhadap UM8.

Dengan tindakan menggantung pengajian pemimpin-pemimpin pelajar yang sebenarnya agak cemerlang dalam pencapaian akademik mereka, pentadbiran UM jelas menunjukkan bahawa mereka tidak berminat untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang terbuka, berfikir dan sedia untuk bertukar fikiran, terutama dalam isu-isu penting dalam negara. Sebaliknya, mereka jelas tunduk kepada tekanan dan kawalan politik.

“Occupy UM” dan “UM8” melambangkan anak muda Malaysia yang bermaruah dan ada jati diri, kelompok yang tidak lagi dapat menerima kekangan untuk suara mereka diketengahkan dalam isu-isu negara.

AMK menggesa semua rakyat Malaysia – yang muda dan tua – untuk menyokong mereka dan kumpulan seumpamanya, dalam perjuangan memastikan adanya kebebasan akademik dan pastinya lebih besar lagi ialah kebebasan bersuara di negara kita yang sekian lama dikekang dalam pelbagai bentuk.

AMK menggesa pihak pentadbiran UM menarik balik hukuman-hukuman yang dikenakan kepada UM8 di samping menjamin kebebasan bersuara dan akademik.

Nik Nazmi ialah Ahli Parlimen Setiawangsa. Beliau juga Naib Presiden KEADILAN.

Alamat

Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Setiawangsa
3-1, Jalan Rampai Niaga 5, Rampai Business Park, Taman Sri Rampai, 53300 Kuala Lumpur, Malaysia.

Media Sosial

© Nik Nazmi Nik Ahmad. Hak Cipta Terpelihara.