Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Solidariti menentang kezaliman UMNO-BN

Esok, Anwar Ibrahim akan disoal oleh pihak polis dibawah Akta Hasutan. Beliau sedang disiasat atas ucapannya yang dibuat di Gombak pada tahun 2011 bersama MenteriBesar Selangor terkini, Azmin Ali.

Jangan lupa bahawa dalam masa 32 hari pula, Anwar akan hadir di Mahkamah Persekutuan untuk rayuan kes Fitnah 2 pada 28-29 Oktober 2014.

Berulang-ulang kali Anwar Ibrahim dianiayai dan terpaksa mempertahankan kebebasannya terhadap dakwaan yang tidak berasas.

Walaubagaimanapun, tuduhan hasutan terhadap Anwar ini merupakan salah satu daripada kes-kes yang dibawa ke mahkamah baru-baru ini. Aktivis, peguam, mahasiswa, pendakwah, dan ahli-ahli akademik turut sama menjadi mangsa.

Ledakan siasatan dan pendakwaan di bawah Akta Hasutan dan Akta Perhimpunan Aman jelas menunjukkan bahawa pihak berkuasa sedang menggunakan pelbagai kaedah untuk menahan pihak pembangkang dan masyarakat umum yang berfikiran bebas daripada menyuarakan pendapat mereka.

Bantahan bukanlah satu tanda penderhakaan. Kemakmuran dan kesejahteraan negara sukar digapai dengan menyekat suara-suara alternatif.

Jika corak menuduh yang tidak tentu hala ini berterusan, kebebasan Anwar Ibrahim berkemungkinan dirampas. Najib Razak tidak boleh terus berdiam diri sambil membiarkan orang lain menyalahgunakan undang-undang.

Oleh itu, sudah tiba masanya, setelah krisis MB Selangor tamat dan pada permulaan pentadbiran baru di Selangor, di dalam masa 1 bulan ini sebelum Anwar Ibrahim menghadapi penghakiman sekali lagi, untuk Angkatan Muda KEADILAN menyampaikan mesej jelas kepada pentadbiran Najib Razak bahawa kami tidak takut akan akta zalim ini. Kami akan turun ke seluruh negara bagi kempen solidariti menentang kezaliman UMNO-BN.

Angkatan Muda KEADILAN akan bekerjasama dengan masyarakat umum untuk meraih sokongan daripada rakyat untuk berani bersuara dan berdiri bersama-sama menentang penyalahgunaan Akta Hasutan yang bermotifkan politik. 1 bulan ini amat penting untuk perjuangan rakyat dan gerakan reformasi di Malaysia.