Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Iklan yang menyinggung perasaan dan mendiskriminasi oleh pemilik francais Old Town White Coffee

Sebuah pemilik francais Old Town White Coffee baru-baru ini telah mengeluarkan satu iklan pekerjaan untuk cawangan baru di Johor Bahru yang menyinggung perasaan di mana syarikat tersebut menyatakan bahawa mereka lebih mengutamakan pemohon kaum Melayu dan Cina. Kelakuan ini adalah satu diskriminasi dan tidak boleh diterima kerana Malaysia merupakan sebuah negara yang berbilang kaum dan peluang pekerjaan sepatutnya ditawarkan secara adil dan tidak diberikan berdasarkan kaum.

Walaupun kenyataan maaf daripada Old Town White Coffee Malaysia dan Paramount Grand Success Sdn Bhd, selaku pemilik francais tersebut, adalah dihargai, namun wujudnya niat untuk memberi keutamaan pekerjaan berdasarkan kaum adalah sangat membimbangkan. Kalau tidak kerana pengguna-pengguna internet yang tajam pemerhatiannya dan mengambil berat akan perkara ini, kelakuan mendiskriminasi ini akan berterusan tanpa kesedaran orang ramai.

Mungkin mereka terlupa bahawa rakyat mempunyai hak asasi untuk bekerja tanpa diskriminasi berdasarkan kaum, agama, tempat kelahiran atau jantina yang telah diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan. Walau bagaimanapun, diskriminasi masih lagi berlaku terhadap kaum bukan Melayu di dalam sektor awam dan terhadap kaum bukan Cina di dalam sektor swasta. Oleh yang demikian, kita perlulah melihat dan mengkaji semula diskriminasi kaum yang berlaku di dalam negara secara keseluruhan.

Untuk mencapai perkara ini, semua komuniti perlu bekerjasama dan bersedia untuk membincangkan isu ini secara terbuka dan jujur jikalau kita ingin merumuskan sebuah polisi yang adil dan saksama untuk seluruh rakyat Malaysia. Kita harus melihat perspektif yang lebih luas dengan objektif untuk menggalakkan dan memastikan kehidupan yang harmoni dan peluang yang sama rata diberikan untuk semua.