Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Pemilihan UMNO: Tiada Sebarang Perubahan

Pemilihan UMNO yang baru sahaja selesai mengesahkan apa yang diramalkan – bahawa tiada sebarang perubahan bagi parti tersebut, dengan kebanyakan penyandang lama mengekalkan kedudukan dan jawatan mereka, dan pasukan pilihan Presiden UMNO Najib Razak kekal berkuasa.

Semenjak beberapa bulan lepas, Najib telah menumpukan usaha beliau dalam mengukuhkan kedudukannya di dalam parti dan memastikan bahawa kepimpinannya tidak tercabar. Sepanjang masa ini, rakyat telah didedahkan dengan retorik perkauman dan konservatif daripada pimpinan utama UMNO. Pada masa yang sama, Najib memilih untuk berdiam diri di dalam negara, sambil bercakap tentang kesederhanaan dan wasatiyyah di luar negara.

Kita tidak mempertikaikan keperluan seorang Presiden Parti dikelilingi kumpulan pilihannya dalam jawatan tertinggi parti untuk beliau menggerakkan perubahan dengan efektif. Kini, Najib tidak lagi mempunyai alasan tidak mempunyai sokongan parti.

Namun, sukar untuk kita tidak menjadi sangsi apabila individu-individu yang menyandang jawatan jawatan tertinggi parti terdiri daripada mereka yang mempunyai latar belakang yang tercemar atau meragukan. Contoh terbaik adalah pemilihan semula Zahid Hamidi dan Shahrizat Jalil (yang dilantik sebagai Penasihat kepada Perdana Menteri sebelum pemilihan UMNO). Pada masa yang sama, beberapa suara perubahan di dalam parti telah tewas. Justeru dakwaan beberapa pihak bahawa keputusan ini adalah kemenangan golongan progresif parti telah terbukti palsu. Ini adalah kemenangan kekuasaan dan kebebalan.

Sudah tiba masanya untuk Najib menggunakan mandat yang diberikan untuk mengubah negara ini, bukan sahaja sekadar retorik, namun dengan usaha yang konkrit. Ketika mana UMNO menjadi parti sayap kanan yang makin ekstrem, Najib perlu bangkit memimpin dan menunjukkan kewibawaan yang diperlukan.

Tetapi jika kita melihat kepada rekodnya sepanjang empat tahun sebelum ini, nyata sekali amat sukar untuk sebarang perubahan berlaku.

Nik Nazmi ialah Ahli Parlimen Setiawangsa. Beliau juga Naib Presiden KEADILAN.

Alamat

Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Setiawangsa
3-1, Jalan Rampai Niaga 5, Rampai Business Park, Taman Sri Rampai, 53300 Kuala Lumpur, Malaysia.

Media Sosial

© Nik Nazmi Nik Ahmad. Hak Cipta Terpelihara.