Category Archives: Tentera

Pertemuan Najib dengan Trump timbulkan banyak persoalan

Perdana Menteri Najib Razak telah bertemu Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.

Isu utama adalah apakah manfaat yang diperoleh dari lawatan tersebut untuk kepentingan Malaysia.

White House melaporkan bahawa sebelum pertemuan bilateralnya dengan Presiden Trump, Najib berkata “kami mahu menolong anda memperkukuhkan Amerika Syarikat.”

Ini katanya termasuklah menambahkan pembelian pesawat Boeing oleh Malaysia Airlines, pelaburan “tiga hingga empat bilion dolar oleh untuk membantu pembangunan semula infrastruktur anda (Trump) di Amerika Syarikat” dan untuk Khazanah Nasional juga meningkatkan pelaburannya di syarikat berteknologi tinggi di Silikon Valley.

Sekali lagi beberapa persoalan timbul. Mengapa Malaysia ingin memperkukuhkan Amerika? Apakah impak kita jika ada pun dalam perkara ini? Pada masa yang sama adalah aneh untuk kita melabur dalam infrastruktur Amerika tetapi meminta pelaburan untuk projek di negara kita sendiri daripada China.

Di samping itu, meskipun sememangnya kita tidak mempersoalkan kenyataan Najib bahawa Malaysia “komited memerangi Daesh, IS, Al-Qaeda, Abu Sayyaf – apa sekalipun” berdasarkan catatan White House, isu Palestin dan Rohingya tidak disebut di dalam pertemuan tersebut.

Mengapa – jika Najib benar-benar menjuarai isu-isu ini – beliau tidak membangkitkannya dengan Trump?

Washington Post juga melaporkan bahawa Perdana Menteri menginap di Trump International Hotel di Washington DC. Berapa banyakkah kos penginapan ini, yang ditanggung pembayar cukai Malaysia?

Juga harus diingatkan Presiden Trump masih memiliki kepentingan di dalam hotel tersebut secara ‘revocable trust’. Mekanisme ini telah dikritik oleh masyarakat sivil dan media Amerika, kerana dikatakan Presiden masih memperoleh keuntungan daripada perniagaannya.

Persoalannya kemudian timbul sama ada sesuai untuk delegasi Malaysia ditempatkan di hotel ini.

Najib dan pentadbirannya mesti menjawab persoalan-persoalan ini.

Najib cakap ‘kosong’ bela veteran tentera

Saya mengambil maklum kenyataan Perdana Menteri Najib Razak bahawa kerajaan tidak akan melupakan jasa dan pengorbanan pesara tentera.

Beliau juga mengatakan kerajaan telah membelanjakan kira-kira RM3.28 bilion untuk kebajikan pesara tentera dalam pelbagai aspek.

Namun saya ingin bertanya, mengapa pada tahun 2016 terdapat masalah kelewatan pembayaran caruman kepada pesara sehingga berbulan lamanya? Apakah masalah sebenar yang dihadapi?

Tetapi bagi saya, tidak kiralah di mana masalah sama ada di peringkat Urusan Gaji Angkatan Tentera (UGAT) atau Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) , pembayaran caruman kepada pesara perlu dilakukan mengikut jadual ditetapkan lebih-lebih lagi semua juga maklum Pengerusi LTAT ini dibayar gaji yang lumayan setiap bulan untuk menjaga kebajikan veteran tentera. Najib dan Menteri Pertahanan Hishamuddin Hussein Onn sebagai keluarga bangsawan mungkin tak memahami jerih perih veteran tentera.

Sudah menjadi tanggungjawab Menteri Pertahanan sepatutnya untuk menyelesaikan sebarang masalah pentadbiran di antara LTAT dan UGAT yang melambatkan pembayaran.

Selain itu, isu veteran tentera juga harus dikaji dengan penuh teliti oleh pihak berwajib kerana masih ramai lagi di antara mereka yang tampil mengadu mengenai masalah dihadapi.

Masalah yang berpanjangan akan meresahkan bukan sahaja pesara tentera tetapi juga anggota yang sedang berkhidmat dan orang awam.

Anggota tentera yang sedang berkhidmat akan melihat dan mendengar kemelut ini dan perkara ini hanya membuatkan mereka berfikir bahawa akan menerima nasib yang sama setelah besara. Apabila ini berlaku, sudah tentu moral dan semangat juang anggota tentera menjadi luntur.

Dalam pada masa sama, saya juga ingin meminta supaya kerajaan untuk memperkenalkan lebih banyak program latihan bagi membantu kebajikan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) supaya hari tua mereka tidak sia-sia dan melarat selepas pelbagai pengorbanan dan perjuangan mereka lakukan kepada negara ini.

Meskipun di luar ruang lingkup senarai tanggungjawab Kerajaan Negeri, Kerajaan Pakatan Harapan Selangor telah memberi sumbangan RM1 juta kepada veteran ATM untuk belanjawan 2017, selain membolehkan veteran meminjam skim mikrokredit Hijrah serta program kemahiran untuk veteran tentera.

Jelas sekali, Pakatan Harapan mengutamakan veteran sedangkan Kerajaan Persekutuan mengabaikannya.

Putrajaya harus bertindak terhadap pencerobohan China di perairan Sarawak

Saya merujuk laporan berita Malaysiakini berkenaan Pasukan Pengawal Pantai China (CCG) menceroboh perairan Sarawak yang dituntut Malaysia.

Menurut laporan tersebut,CCG melakukan rondaan hampir setiap masa di perairan tersebut sejak akhir tahun lalu.

Pada tahun 2015 Malaysia telah membuat bantahan diplomatik terhadap China akibat kapal mereka yang telah memasuki Zon Ekonomi Eksklusif Malaysia.

Sejak bantahan pada 2015 itu, dilaporkan sebanyak 11 kapal CCG telah meronda berdekatan perairan Malaysia — seolah-olah langsung tidak menghiraukan bantahan tersebut.

Hal ini jelas merupakan satu cabaran ke atas kedaulatan negara kita dan Putrajaya sepatutnya mengambil pendirian lebih tegas untuk membantah kehadiran kapal-kapal negara China ini.

Jika kita terus berdiam adakah ini bermakna kita terus akur dengan pencerobohan China ke tanahair kita?

Ini bukan sahaja terbatas dengan kehadiran mereka di perairan kita, tetapi akibat kelemahan pentadbiran kerajaan Perdana Menteri Najib Razak serta skandal besaran seperti 1MDB, ia seakan-akan memberi peluang untuk negara asing seperti China menerobos negara ini termasuk di dalam hal politik dan ekonomi.

Kebergantungan kepada China untuk memperbaiki keadaan ekonomi yang mengalami kerugian berbillion akibat skandal besar juga telah melemahkan pendirian diplomatik negara.

Jika Putrajaya terus gagal mengambil pendirian lebih tegas di dalam hal ini maka jelaslah bahawa pentadbiran Najib Razak kini tidak lagi mampu menegakkan kedaulatan negara dan hanya akan terus mengundang campur tangan negara asing.

Hishamuddin harus desak siasatan ke atas 1MDB, LTAT dan Scorpene

Saya mengikuti dengan dekat kenyataan Menteri Pertahanan Hishamuddin Hussein berkenaan kesediaan untuk disiasat sekiranya terdapat dakwaan rasuah terhadap beliau.

Ini merupakan kenyataan yang berani oleh Menteri dan patut dipuji kerana keterbukaan dan ketelusan sebegitu amatlah asing di dalam pentadbiran kerajaan sedia ada.

Sebagai Menteri Pertahanan, amatlah penting untuk beliau memanjangkan keterbukaan tersebut untuk mengulas serta menjelaskan beberapa isu legasi di dalam portfolio beliau termasuklah berkenaan skandal berbillion ringgit kapal selam Scorpene yang berlaku ketika Perdana Menteri Najib Razak menggalas jawatan Menteri Pertahanan.

Skandal tersebut serta skandal 1MDB telah mencemarkan reputasi negara di peringkat antarabangsa. Dua pegawai berkait perjanjian Scorpene juga telah didakwa oleh pihak berkuasa Perancis. Skandal 1MDB yang berlaku ketika Najib menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan sudah pun mengundang tindakan undang-undang di Switzerland, Singapura, Amerika Syarikat dan Australia.

1MDB sendiri telah mendatangkan kesan negatif kepada pihak veteran tentera yang terpaksa menanggung kelewatan bayaran pencen beberapa bulan akibat urusan LTAT dengan 1MDB. Malah ini juga berlaku ketika rakyat tertekan akibat keadaan ekonomi yang teruk.

AMK alu-alukan cadangan skim pencen Veteran ATM

Angkatan Muda Keadilan mengambil maklum kenyataan Menteri Pertahanan, Hishammudin Hussein berkenaan skim pencen baru veteran Angkatan Tentera Malaysia yang akan diumumkan dalam masa terdekat.

Sebarang usaha untuk meringankan beban golongan veteran ini pastinya dialu-alukan oleh AMK.

AMK juga akan memantau sebarang perkembangan di dalam hal ini untuk memastikan kerajaan menepati janji yang telah ditabur.

Tidak mencukupi dengan hanya, bak kata Menteri, Perdana Menteri memberikan senyuman kepada idea skim baru tersebut.

Veteran ATM telah bertahun lama diabaikan oleh pihak kerajaan jadi kami sentiasa berwaspada dengan sebarang pengumuman yang hanya dikeluarkan sebagai agenda politik tetapi sebenarnya seakan-akan tiada kesan.

Keprihatinan Veteran ATM Wajar Diberi Perhatian

Baru-baru ini seorang ahli veteran Angkatan Tentera Malaysia, Brig Jen (B) Mohd Arshad Raji telah menzahirkan kekecewaan beliau berkenaan sebuah perhimpunan yang dirancang oleh pihak Persatuan Veteran Angkatan Tentera (PVATM) untuk diadakan pada bulan Julai ini.

AMK turut berkongsi sentimen tersebut kerana ATM sepatutnya bebas daripada sebarang pengaruh mana-mana parti politik dan tidak seharusnya diperalatkan untuk memenuhi agenda kolot sesetengah pihak.

Menurut sumber yang ada berkenaan program tersebut, beberapa pemimpin BN akan turut menghadiri perhimpunan di dalam bulan Julai itu untuk menyampaikan sesuatu yang belum dikenalpasti.

Apakah sebarang “sumbangan” oleh pihak Menteri perlu diumumkan melalui sebuah perhimpunan besar-besaran?

Ini tidak lain tidak bukan kerana kerajaan mahu menggunakan peluang itu untuk meraih sokongan menjelang pilihanraya umum yang bakal diadakan, maka ia juga jelas menunjukkan mereka mempunyai niat untuk mempolitikkan golongan veteran ATM sedangkan kebajikan veteran terabai selama ini.

Brig Jen (B) Mohd Arshad juga berpendapat bahawa beberapa kebelakangan ini kerajaan semakin asyik mendapatkan pelaburan besar negara luar yang mungkin menjejaskan kedaulatan negara ini.

Kebimbangan beliau ini perlu diambil berat kerana sebagai seorang veteran tentera yang telah lama berkhidmat mempertahankan kedaulatan negara, sudut pandang beliau amatlah relevan.

Ada benar juga pendapat beliau kerana selama ini negara kita mengambil pendirian berkecuali, namun begitu prinsip itu mungkin lebih mudah dilentur sekiranya kita terlalu bergantung harap kepada negara asing untuk menyelesaikan krisis ekonomi negara.

Jika kerajaan benar-benar mengambil berat tentang rakyat, terutamanya di dalam kes ini, pihak veteran, maka dengarlah keluhan setiap seorang daripada mereka dan hentilah menggunakan golongan ini untuk kepentingan politik.

Wawancara ‘Terus Terang’

Saya diwawancara Syed Ibrahim Syed Noh di rancangan Terus-Terang. Saya ulas kenapa saya pilih wadah KEADILAN, isu pendidikan tinggi percuma dan kebajikan veteran ATM.

Bantuan Kerajaan UMNO-BN terhadap anggota veteran ATM ibarat ‘melepaskan batuk di tangga’

Saya mengambil maklum mengenai cadangan Kerajaan Persekutuan pimpinan Umno BN semalam untuk membantu pesara tentera melalui pemberian bantuan khas bagi meringankan beban mereka. Hal ini dinyatakan oleh Johari Bahrom selaku Timbalan Menteri Pertahanan sendiri.

Saya memahami bahawa bantuan pesaraan tentera memang perlu diberikan, atas kapasiti golongan ini telah membantu mempertahankan kedaulatan negara kita serta menjaga keselamatan rakyat.Sebab itu, pelaburan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) amat penting dan perlu bebas daripada ketirisan agar kebajikan pesara-pesara tentera terus diurus dengan baik. Persoalan pokok yang saya ingin utarakan ialah sejauh mana Kerajaan Umno BN memberikan tumpuan yang lebih kepada pendidikan anak-anak pesara tentera dalam usaha meningkatkan lagi pencapaian anak-anak terbabit. Program-program pendidikan seperti kursus pengurusan kewangan dan pembangunan perniagaan adalah wajar diutamakan oleh Kementerian Pertahanan ketika golongan tentera masih berkhidmat dalam tempoh baki setahun atau dua tahun sebelum umur pesaraan. Persoalannya, adakah pihak kerajaan berbuat demikian? Jika tidak, adakah mereka hanya berpendapat bahawa pencen sahaja sudah cukup untuk mereka mengharungi kehidupan dalam keadaan ekonomi yang semakin mencabar? Sudah tentu saya tidak bersetuju bahawa wang sahaja sudah cukup, seolah-olah bantuan kerajaan ini hanya sekadar ‘melepaskan batuk di tangga’.

Malahan, di bawah pentadbiran Najib Razak, golongan pesara tentera turut terjejas dengan kehidupan seharian dengan kos sara hidup yang meninggi, apatah lagi isu bayaran pencen selepas tamat perkhidmatan yang lambat masih berlaku. Isu pembayaran lewat pampasan pencen merupakan satu penganiayaan kepada pesara tentera dan septutnya sebarang masalah diselesaikan dengan secepat mungkin. Saya khuatir, golongan yang banyak berjasa kepada negara akhirnya hidup dalam kesempitan wang serta terbeban dengan hutang gara-gara bantuan Kerajaan Umno BN tidak dipraktikkan secara efektif. Isu utamanya adalah kegagalan kerajaan
menyediakan pelan pesaraan yang terbaik, merangkumi perlaksanaan program pendidikan dan skim penyediaan pekerjaan selepas tamat perkhidmatan. Tanpa memfokuskan alternatif jangka masa panjang ini, Kerajaan Umno BN telah menyebabkan golongan pesara tentera terus merana dengan hanya bergantung kepada wang pencen.

Saya juga ingin menggesa kerajaan juga untuk menjamin masa depan anak-anak pesara tentera melalui penyediaan program pendidikan yang khas dan berkualiti kepada generasi kemudian mereka, agar peluang masa depan mereka lebih terbuka untuk mencari jalan memastikan anak-anak tentera terus berjaya, sebagai tanda penghargaan kerajaan kepada pengorbanan ibu bapa mereka dalam perkhidmatan tentera. Bantuan ini lebih efektif dan memberi impak yang lebih besar daripada mana-mana bantuan khas yang sekadar melibatkan wang ringgit tanpa menjamin masa depan pesara tentera serta anak-anak mereka.Pada masa ini, terdapat 39 sekolah di kem tentera di seluruh negara dan mendapat peruntukan daripada kedua-dua kementerian pertahanan dan juga pendidikan.

Oleh itu, saya berharap bantuan khas yang bakal diumumkan oleh kerajaan Umno BN adalah dalam bentuk program pendidikan dan peluang pekerjaan kepada pesara tentera. Saya khuatir bahawa bantuan khas tersebut hanyalah wang ringgit yang menunjukkan kerajaan Umno BN tidak bersungguh-sungguh untuk membantu pesara tentera menjalani kehidupan dalam jangka masa panjang.

Kerajaan UMNO-BN yang abaikan kebajikan veteran ATM selama ini

Saya tertarik dengan ulasan Menteri Pertahanan, Hishamuddin Hussein, berkenaan veteran Angkatan Tentera Malaysia yang tidak mendapat pencen.

Menurut Menteri, kerajaan akan mengkaji kaedah bagi membantu veteran-veteran yang tidak menerima pencen ini untuk menangani kos kehidupan yang semakin meningkat.

Pada masa yang sama Menteri tetap menunding jari ke pihak veteran yang mengambil pilihan untuk tidak menerima pencen.

Ulasan ini terlalu biasa untuk satu kerajaan yang tidak pernah benar-benar mengambil berat tentang kebajikan rakyat.

Menurut Menteri sendiri, seramai 176,000 veteran ATM tidak menerima pencen dan jumlah ini semakin meningkat. Persoalannya, mengapa perkara ini boleh dibiarkan berlaku?

Veteran ini merupakan wira negara, dan hakikatnya selama puluhan tahun sejak kita merdeka kerajaan tidak pernah memikirkan satu mekasnime menyeluruh untuk membantu veteran ATM.

Lihat sahaja apa yang berlaku sejak kes 1MDB diriuhkan sehingga pencen veteran ATM juga disentuh untuk menutup hutang besar syarikat milik kerajaan tersebut.

Kelewatan pembayaran pencen itu merupakan gambaran sebenar layanan kerajaan terhadap veteran ATM.

Sekiranya kerajaan sememangnya berniat menaiktaraf kehidupan veteran tentera, ia dialu-alukan. Tetapi kerajaan juga harus mengakui bahawa selama ini mereka telah mengabaikan wira-wira negara ini, dan tidak terus menunding jari.

Kenaikan kos kehidupan ini juga sedikit sebanyak disebabkan pentadbiran kerajaan BN yang rakus jadi Menteri tidak perlulah mengulas seakan-akan mereka prihatin padahal hakikatnya keadaan ini berlaku kerana mereka juga.

AMK mengecam hukuman ke atas Rafizi

Angkatan Muda Keadilan ingin menzahirkan kekecewaan terhadap hukuman penjara 18 bulan yang dikenakan terhadap Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli hari ini, di atas tuduhan melanggar undang-undang Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Tindakan menjatuhkan hukuman ke atas Rafizi, terutamanya apabila ia berkait dengan kes Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan 1MDB, memberi gambaran yang buruk terhadap negara ini, lebih-lebih lagi kerana kes 1MDB itu sendiri sudah menjadi buah mulut masyarakat global yang memandang ia sebagai satu kes rasuah yang besar.

Rafizi Ramli telah menggunakan maklumat yang diterima untuk melindungi mangsa-mangsa 1MDB dan memberi pendedahan kepada salahlaku yang berlaku secara terang-terangan dan terbukti memberi kesan yang buruk kepada kehidupan golongan pesara tentera.

Perkara ini boleh dinilai sendiri daripada kenyataan-kenyataan serta tindakan pihak LTAT, yang membuktikan dakwaan Rafizi ada kebenarannya. Malah bahagian laporan Ketua Audit Negara yang didedahkan itu juga memberi gambaran yang sama.

Ini baru satu kes yang berkait rasuah 1MDB daripada pelbagai lagi kes lain yang semakin banyak didedahkan di seluruh dunia. Kerajaan tidak boleh terus berselindung di atas alasan “rahsia”, dan terus memberi perlindungan kepada kleptokrat yang merompak negara.

Sudah masanya undang-undang seperti OSA ini dikaji semula kerana apa yang kita lihat sekarang adalah ia disalahgunakan untuk menjaga kepentingan sesetengah pihak. Sepatutnya undang-undang digunakan untuk melindungi kepentingan rakyat, dan bukannya pentadbiran yang rakus.