Category Archives: Pakatan

Kenyataan Malaysia menerima Robert Mugabe ke Malaysia atas dasar pelancongan kesihatan amat mengecewakan

Zimbabwe pada masa ini berada di persimpangan. Masa depan negara yang telah lama tertindas dan penuh kepincangan kleptokrasi ini bergantung bukan sahaja di atas pilihan pemimpin dan rakyatnya, tetapi juga sama ada masyarakat antarabangsa berani untuk berdiri di atas prinsip yang teguh.

Rampasan kuasa oleh tentera, sama ada ia dipersetujui atau tidak, bukanlah kaedah untuk menyelesaikan masalah negara, walau seberapa teruk sekali pun keadaan. Rejim yang didalangi oleh tentera tidak patut diiktiraf.

Walau apa pun, Presiden Robert Mugabe seharusnya sedar bahawa rakyat sudah tidak menyokongnya, dan yang lebih penting adalah menyedari bahawa kuasanya sudah berakhir.

Sekarang untuk menyelesaikan masalah ini, hanya kesudahan yang melibatkan kuasa demokrasi rakyat sepatutnya diiktiraf, melalui pilihanraya yang bersih dan adil untuk memilih kerajaan perdamaian kebangsaan (national reconciliation) yang baru.

Masyarakat antarabangsa, terutamanya organisasi serantau seperti Southern African Development Community (SADC), harus menyokong usaha penyelesaian ini.

Dalam hal yang lain, terdapat juga laporan yang menyatakan bahawa Mugabe mungkin mencari perlindungan sama ada di Singapura atau Malaysia.

Harap ini tidak benar, dan sekiranya ia benar, Kerajaan Malaysia tidak harus membenarkan perkara ini. Kenyataan Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi bahawa kita tidak akan menghalang beliau ke Malaysia atas dasar pelancongan perubatan negara kita amatlah mengecewakan.

Negara ini juga tidak sepatutnya terlibat sekiranya ia membantutkan proses demokrasi dan keadilan di Zimbabwe.

Nasib Mugabe mestilah ditentukan oleh rakyat Zimbabwe, melalui Kerajaan yang dilantik melalui proses demokrasi.

Menyokong petisyen agar Petronas keluarkan pelaburan dari Myanmar

Kami ingin meluahkan sokongan kami terhadap petisyen yang ditandatangani pada 8 November 2017 oleh 47 orang Ahli Parlimen daripada Pakatan Harapan, Warisan dan PAS mendesak agar Petronas mengeluarkan pelaburannya dari Myanmar.

Sebagaimana disebut petisyen bahawa minoriti etnik Rohingya di Myanmar telah menjadi mangsa “…pembersihan etnik yang melibatkan penyeksaan, pembunuhan, pembakaran penempatan, pencabulan dan intimidasi dalam 10 tahun kebelakangan ini.”

Maka petisyen tersebut menggesa agar Petronas mengeluarkan pelaburannya dari Myanmar bermula 1 Januari 2018 kecuali sehingga

“a. Kerajaan Myanmar mengiktiraf bahawa minoriti etnik Rohingya adalah warga Myanmar yang sah dan diberikan hak dan perlindungan yang diberikan kepada warga Myanmar yang lain; dan

b. Semua intimidasi, penaklukan, diskriminasi dan jenayah terhadap mereka (minoriti etnik Rohingya) dihentikan serta-merta secara menyeluruh.”

Petronas seharusnya sedar bahawa pelaburan mereka mempunyai impak ke atas kehidupan rakyat negara-negara di mana mereka berniaga.

Pada masa yang sama – sebagai sebuah syarikat berkaitan kerajaan dan antara jenama Malaysia yang paling dihormati dan dikenali di seluruh dunia – keputusannya dalam hal ini mempunyai impak secara langsung terhadap nama baik dan kedudukan moral negara kita.

Pihak tentera Myanmar tidak menghentikan tindakan ganasnya di wilayah Rakhine meskipun ada tekanan antarabangsa.

Amatlah penting agar warga korporat sedunia-jika mereka benar-benar peduli tentang hak asasi dan nama baik mereka-untuk mengambil pendirian terhadap perkara ini.

Tindakan terus melabur dan berurusan di Myanmar tanpa menggesa perubahan terhadap dasar-dasar mereka bermakna syarikat-syarikat yang terlibat di dalam aktiviti-aktiviti sebegitu juga bersekongkol dengan tindakan rejim yang disokong pihak tentera.

Maka saya menyeru Petronas untuk menerima petisyen 47 Ahli Parlimen tersebut, serta agar Presiden dan Ketua Eksekutifnya, Wan Zulkiflee Wan Ariffin untuk bertemu rombongan Ahli Parlimen sebagaimana diminta dalam surat pada 7 November 2017 oleh Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli.

Perutusan Deepavali 2017

Semoga perayaan Deepavali yang melambangkan kemenangan kebaikan atas kejahatan, keadilan atas kezaliman dapat terus memberi semangat kepada kita memperjuangkan pembaharuan di tanah air kita Malaysia.

Marilah kita sama-sama merapatkan ikatan perpaduan kita kerana Malaysia ini, kita yang punya. Biarlah semua rakyat mendapat tempat mereka di negara bertuah ini.

Saya ingin ambil kesempatan ini untuk mengucapkan Deepavali nal valthukal kepada semua penganut agama Hindu di Malaysia.

Pentadbiran Najib mesti bertanggungjawab terhadap kegagalan KR1M

Perkembangan terkini berkaitan kes Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) amatlah merisaukan, kerana ia memberi kesan buruk kepada ratusan, mungkin juga ribuan, pekerja.

Berdasarkan kenyataan terkini Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Hamzah Zainudin, masa depan pekerja KR1M adalah di tangan syarikat yang mengendali projek tersebut iaitu Mydin Mohamed Holdings Sdn Bhd.

Pada masa yang sama, laporan sebelum ini pernah memetik kenyataan Pengarah Urusan Mydin, Ameer Ali Mydin, yang menyatakan bahawa syarikat tersebut telah membuat kerugian yang besar akibat project kerajaan tersebut.

Nampaknya kedua-dua pihak tidak mahu bertanggungjawab untuk masalah ini, dengan pihak kerajaan menyalahkan Mydin kerana meningkatkan harga barang, manakala Mydin pula menyatakan bahawa projek itu hanyalah CSR syarikat.

Seperti kebanyakan projek 1Malaysia yang lain, pentadbiran Najib Razak telah gagal untuk merancang inisiatif ini secara menyeluruh, dan akibatnya lebih ramai orang yang terkena impak negatif kegagalan projek.

Masalah pokok kenaikan kos sara hidup – pengenalan cukai GST, kadar gaji dan upah yang rendah – yang mesti diatasi.

Sudah masanya kerajaan bertanggungjawab terhadap kesemua kegagalan ini.

Mendengar harapan anak muda kita

Kebelakangan ini banyak yang diperkatakan tentang undi anak muda di Malaysia. Banyak perhatian diberikan kepada anak muda sama ada mereka peduli tentang Malaysia secara politiknya, serta bagaimana memastikan mereka mendaftar dan keluar mengundi – atau menjauhkan mereka daripada kedua-duanya.

Untuk mendapatkan jawapan kepada persoalan-persoalan ini, Angkatan Muda Keadilan (AMK) telah cuba mendekati ramai anak muda Malaysia melalui apa yang kami namakan ‘Sesi Teh Tarik’.

Ini dimulakan pada pertengahan Ogos tahun ini, apabila Dr Wan Azizah Wan Ismail datang ke Setiawangsa, sebuah kerusi Parlimen yang dimenangi tipis Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya lalu.

Dari sana, kami telah pergi ke pekan-pekan kecil di Kelantan, Perak dan Johor serta penempatan Felda di Negeri Sembilan untuk beberapa sesi lain. Tidak lama lagi kami merancang ke seluruh Malaysia – dari Perlis ke Sabah – untuk bercakap tentang apa Keadilan dan Pakatan Harapan boleh tawarkan untuk anak muda.

Ia dibuat bukan dengan format biasa ceramah – sebaliknya lebih dekat dengan satu generasi yang biasa dengan perbincangan di media sosial. Kami menghidangkan teh tarik (kami cuba menyediakannya kurang manis) kepada mereka yang hadir dan menyiarkan sesi ini secara langsung di internet.

Banyak isu yang dibangkitkan memang telah diketahui. Kejatuhan harga komoditi dan amalan samar dalam pengurusan Felda; kebanjiran pekerja asing dan kurang peluang pekerjaan dengan gaji munasabah yang mendorong ramai anak muda Malaysia berhijrah ke bandar; desakan hidup sehingga terpaksa menompokkan hutang, dan diskriminasi dihadapi masyarakat Orang Asli – senarainya lebih panjang lagi.

Ramai juga mengadu tentang kesan potongan belanjawan secara besar-besaran, khususnya dalam bidang pendidikan dan kesihatan. Di luar bandar Negeri Sembilan, keluarga berpendapatan rendah dan sederhana berkata mereka diminta membayar RM10 untuk sekolah membeli kertas. Ada keluarga di kampung di Perak mengadu terpaksa menolak tawaran biasiswa ke luar negara untuk anak mereka kerana ibu bapa perlu mengeluarkan wang untuk empat bulan pertama pengajian asasi di IPTS di Malaysia. Doktor-doktor beritahu saya bagaimana mereka membelanjakan wang sendiri untuk kurangkan kos pesakit miskin.

Bagaimana ini boleh berlaku? Pada 1991, ketika saya masih di sekolah rendah, Wawasan 2020 menjadi sebutan dan cita-cita bersama. Dalam pertandingan melukis dan mengarang, rakan-rakan saya membayangkan kereta terbang dan bandar yang gilang-gemilang.

Kita kini hanya berada sekitar dua tahun menjelang Wawasan 2020, tetapi kelihatan semakin menjauhi objektif-objektif dinyatakan di dalamnya. Ironinya, Umno-BN kini cuba beralih kepada wawasan baharu – 2050 (Transformasi Nasional 2050) – menolak cita-cita yang ada lebih jauh dan lama lagi.

Seruan AMK dan Pemuda Pakatan Harapan dalam sesi-sesi teh tarik kami ialah: kita tidak perlu menunggu sehingga 2050. Kita punya peluang dalam PRU terdekat untuk mengubah negara ini bersama-sama – untuk meninggikan kedudukan generasi dan anak cucu kita.

Untuk Sabah dan Sarawak, kita mahu pergi lebih jauh daripada Perjanjian Malaysia 1963. Kita mahu lebih banyak hasil diuruskan sendiri negeri-negeri dan juga meningkatkan tanggungjawab mereka dalam bidang-bidang kuasa penting.

Kami juga mahu galakkan lebih banyak desentralisasi kepada sekolah-sekolah dan pejabat pentadbiran daerah atau negeri, sambil memastikan pelaburan yang lebih besar dalam infrastruktur di bahagian-bahagian negara ini yang ketinggalan pembangunan. Pendidikan percuma di universiti awam dengan elaun sara hidup kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah dan sederhana.

Menyediakan lebih banyak peluang untuk pendidikan vokasional dan teknikal bagi meningkatkan kualiti pekerja-pekerja kita.

Kami juga percaya kadar upah dan gaji di Malaysia perlu ditingkatkan. Perlu ada insentif untuk syarikat yang berkeuntungan besar menyediakan gaji setimpal untuk sara diri pekerja. Perlu ada mekanisme rundingan lebih baik antara kerajaan, sektor swasta dan kesatuan sekerja dalam isu kenaikan upah dan gaji serta produktiviti pekerja. Negara kita memerlukan satu pelan pengurangan pekerja asing dan insentif bagi menggalak pengambilan pekerja tempatan yang berkemahiran.

Kita memerlukan lebih banyak rumah mampu milik – sama ada untuk dibeli atau disewa – terutama kepada penduduk di negeri-negeri yang maju dan berkepadatan tinggi seperti di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor. Kerajaan perlu mengutamakan pembeli rumah pertama.

Kerosakan institusi-institusi awam negara juga bermaksud lebih banyak fokus perlu diberikan untuk memulihkan integritinya. Akta Kebebasan Maklumat – yang telah diperkenalkan sebagai enakmen di Selangor dan Pulau Pinang – perlu dibuat juga di peringkat Persekutuan. SPRM perlu dijadikan benar-benar bebas dengan kuasa pendakwaan sendiri. Jawatankuasa pengawasan di Parlimen dan dewan undangan negeri – seperti Selcat di Selangor – perlu dibentuk untuk mengawasi kerajaan sendiri.

Inilah tawaran kami kepada anak muda Malaysia.

Khairy berniat jahat fitnah Anwar Ibrahim

Saya merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi yang mengarahkan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, untuk membayar ganti rugi kepada Anwar Ibrahim atas fitnahnya sembilan tahun yang lalu.

Keputusan ini membuktikan bahawa Khairy selama ini hanya berniat jahat hendak memburukkan Ketua Umum Pakatan Harapan itu.

Alasan yang diberikan bahawa Malaysiakini telah salah lapor dan beliau tiada masa untuk betulkan juga begitu dangkal.

Jelaslah bahawa Khairy hanyalah seorang ahli politik opportunis yang sanggup buat apa demi menjatuhkan pihak lawan.

Khairy menggambarkan dirinya seorang progresif tetapi sentiasa memalit diri di dalam politik kotor yang jelek.

Sudah masanya kita nilai semula tokoh politik “belia” ini untuk dirinya yang sebenar.

Perutusan Hari Malaysia

Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Malaysia kepada semua rakyat negara ini.

Hari ini, kita menyambut kelahiran negara kita.

54 tahun yang lalu, Sabah, Sarawak, Singapura dan Tanah Melayu bersama-sama membentuk sebuah negara baru. Meskipun Singapura tidak kekal, Persekutuan yang terbina ketika itu, pada 16 September 1963, terus bertahan.

Kepelbagaian kita bukan sahaja apa yang membezakan Malaysia dari negara-negara lain, tetapi adalah identiti rakyat kita.

Usaha membina negara adalah kerja yang berterusan, dan dari segi ini, negara kita masih mempunyai jalan yang jauh untuk memenuhi jaminan yang tertera dalam Permasyhuran Malaysia, bahawa kita seharusnya menjadi sebuah “… sebuah negara demokrasi yang merdeka lagi berdaulat serta berasaskan kebebasan dan keadilan dan sentiasa mempertahankan serta memelihara keamanan dan kemesraan umatnya dan mengekalkan keamanan di antara segala bangsa di dunia ini.”

Masih wujud jurang yang besar dari aspek infrastruktur dan pembangunan ekonomi, terutamanya di Sabah dan Sarawak.

Di samping itu wujud juga perbezaan dari segi rasa hormat, persefahaman dan pengetahuan antara Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur yang perlu diatasi.

Pada masa yang sama, prinsip-prinsip federalisme juga tidak benar-benar mengakar, jika dilihat dari sikap keras Kerajaan Persekutuan terhadap beberapa negeri.

Apatah lagi, merapatkan hubungan dan mempertahankan kepelbagaian kaum dan agama Malaysia adalah perjuangan berterusan yang melangkaui generasi.

Negara kita akan berjaya menerusi kepimpinan yang tulen dan berani yang mengutamakan kepentingan tanahair, dan bukan mencari kesempatan politik atau tunduk kepada pihak berkepentingan.

Sementara usaha kerajaan negeri Sabah dan Sarawak untuk menuntut autonomi yang lebih adalah dialu-alukan, usaha mereka tidak akan memberikan hasil yang konkrit tanpa perubahan di peringkat persekutuan.

Pokoknya, pihak yang sama telah berkuasa di negeri-negeri ini selama berdekad-dekad – dan kita boleh mempersoalkan sama ada rakyat semakin berpuas hati atau makmur.

Amat penting untuk kita menggunakan masa ini untuk memikirkan halatuju kita sebagai sebuah negara dan bagaimana Persekutuan kita boleh diperkasakan.

Kita tidak boleh mengambil mudah kenegaraan kita. Kita juga tidak boleh memperkecilkan kepentingan mengangkat nada politik kita ketika kita berusaha mendepani cabaran dunia hari ini.

Pemuda Pakatan Harapan telah menerbitkan siri cadangan dasar bagaimana kita boleh memperkasakan federalisme di Malaysia.

Ini termasuklah menjadikan Sabah dan Sarawak rakan kongsi bersama Semenanjung Malaysia, bukan negeri-negeri biasa sahaja; pengembalian autonomi yang melangkaui Perjanjian Malaysia 1963 dan mencipta lebih banyak pekerjaan dan peluang untuk rakyat Sabah dan Sarawak di negeri masing-masing.

Marilah kita membina sebuah Malaysia yang benar-benar bebas dan adil di mana semua anak-anak kita mendapat tempat di dalamnya.

Pertemuan Najib dengan Trump timbulkan banyak persoalan

Perdana Menteri Najib Razak telah bertemu Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.

Isu utama adalah apakah manfaat yang diperoleh dari lawatan tersebut untuk kepentingan Malaysia.

White House melaporkan bahawa sebelum pertemuan bilateralnya dengan Presiden Trump, Najib berkata “kami mahu menolong anda memperkukuhkan Amerika Syarikat.”

Ini katanya termasuklah menambahkan pembelian pesawat Boeing oleh Malaysia Airlines, pelaburan “tiga hingga empat bilion dolar oleh untuk membantu pembangunan semula infrastruktur anda (Trump) di Amerika Syarikat” dan untuk Khazanah Nasional juga meningkatkan pelaburannya di syarikat berteknologi tinggi di Silikon Valley.

Sekali lagi beberapa persoalan timbul. Mengapa Malaysia ingin memperkukuhkan Amerika? Apakah impak kita jika ada pun dalam perkara ini? Pada masa yang sama adalah aneh untuk kita melabur dalam infrastruktur Amerika tetapi meminta pelaburan untuk projek di negara kita sendiri daripada China.

Di samping itu, meskipun sememangnya kita tidak mempersoalkan kenyataan Najib bahawa Malaysia “komited memerangi Daesh, IS, Al-Qaeda, Abu Sayyaf – apa sekalipun” berdasarkan catatan White House, isu Palestin dan Rohingya tidak disebut di dalam pertemuan tersebut.

Mengapa – jika Najib benar-benar menjuarai isu-isu ini – beliau tidak membangkitkannya dengan Trump?

Washington Post juga melaporkan bahawa Perdana Menteri menginap di Trump International Hotel di Washington DC. Berapa banyakkah kos penginapan ini, yang ditanggung pembayar cukai Malaysia?

Juga harus diingatkan Presiden Trump masih memiliki kepentingan di dalam hotel tersebut secara ‘revocable trust’. Mekanisme ini telah dikritik oleh masyarakat sivil dan media Amerika, kerana dikatakan Presiden masih memperoleh keuntungan daripada perniagaannya.

Persoalannya kemudian timbul sama ada sesuai untuk delegasi Malaysia ditempatkan di hotel ini.

Najib dan pentadbirannya mesti menjawab persoalan-persoalan ini.

Keganasan ke atas kaum Rohingya mesti dihentikan sekarang

Semua rakyat Malaysia sudah tentu begitu terkesan dengan keganasan dan kesengsaraan yang berlaku ke atas wilayah Rakhine di Myanmar, terutamanya segala tindakan ganas yang dikenakan ke atas kaum Rohingya.

Keganasan dan krisis kemanusiaan yang berlaku ke atas Rohingya bukan sahaja berkemungkinan menganggu kestabilan Myanmar dan negara jiran, tetapi juga kepada rantau Asia Tenggara dan Asia Selatan.

Oleh itu seluruh rakyat Malaysia haruslah bersatu untuk menggesa kerajaan, dan masyarakat antarabangsa — termasuklah institusi seperti PBB, OIC dan ASEAN — untuk mengambil segala tindakan diplomatik yang boleh mengakhiri keganasan di Rakhine.

Pada masa yang sama, penyelesaian yang berkekalan ke atas status kaum Rohingya juga mestilah dicapai — termasuklah mempertahankan hak kerakyatan mereka di negara Myanmar dengan segera.

Saya berharap agar Tuan Yang di-Pertua Dewan Rakyat akan membenarkan Ahli Parlimen Malaysia untuk membahaskan isu ini apabila Dewan bersidang semula nanti.

Sememangnya ini masa paling sesuai untuk memanggil sidang Parlimen tergempar untuk membincangkan dasar luar negara yang perlu diambil oleh Malaysia untuk mengakhiri malapetaka ini.

Saya juga berharap agar pihak berkuasa lebih berhemah ketika berurusan dengan penunjuk perasaan Rohingya yang ditahan tempoh hari berdekatan Kedutaan Myanmar di Kuala Lumpur, di dalam lunas undang-undang.

Kita tidak harus lupa bahawa beberapa tokoh daripada Kerajaan Persekutuan dan parti politik tertentu, suatu ketika dulu, telah mengambil bahagian di dalam satu perhimpunan yang sama untuk menegakkan hak Rohingya.

Walaubagaimanapun, akhirnya di dalam hal ini hanya Kerajaan Myanmar yang mampu membawa keamanan kepada wilayah Rakhine dan memberi keadilan kepada kaum Rohingya — termasuklah Kaunselor Negara, Aung San Suu Kyi dan Angkatan Tentera Myanmar (Tatmadaw) di bawah Jeneral Kanan Min Aung Hlaing.

Mereka sepatutnya sedar bahawa mereka sejarah tidak akan berpihak kepada mereka di dalam isu Rohingya ini.

Keterlibatan Aung San Suu Kyi di dalam keganasan ini memalukan Anugerah Nobel Keamanan yang diperolehnya pada tahun 1991 yang mana beliau diiktiraf kerana “…perjuangan tanpa keganasan untuk demokrasi dan hak asasi” serta penegasan ke atas “keperluan untuk perdamaian di dalam negara yang terlalu berpecah”.

Malah tindakan Tatmadaw sudah tentu akan merosakkan integriti Myanmar yang Jeneral Kanan Min Aung Hlaing telah berikrar untuk pertahankan.

Mereka mempunyai kuasa untuk menghentikan tumpahan darah di Rakhine dan tekanan ke atas kaum Rohingya.
Segala pembunuhan ini mestilah dihentikan sekarang.

Mengecam kekacauan di Nothing to Hide 2.0

Saya mengecam insiden memalukan dan ganas di forum Nothing to Hide 2?0 di Shah Alam pada 13 Ogos 2017.

Semua rakyat, tanpa mengira latarbelakang politik ada hak turut serta dalam perhimpunan aman tanpa merisaukan keselamatan mereka.

Apa yang berlaku di forum tersebut tidak normal. Tiada orang waras akan menjustifikasikan pergaduhan dan pembakaran suar (flare) di forum awam tidak kira apa sebab.

Selain itu, tindakan ini menggambarkan ketidakhormatan tergadap Dr Mahathir Mohamad dan isterinya Dr Siti Hasmah Mohd Ali. Mereka yang bertanggungjawab secara langsung dan tidak langsung patut malu tentang tindakan mereka.

Pihak polis mesti menjalankan siasatan mendalam terhadap kejadian tersebut dan mengambil tindakan terhadap pihak bertanggungjawab tanpa kecuali.