Category Archives: DUN Selangor

AMK kecam pihak cuba gugat kestabilan Selangor

Angkatan Muda Keadilan mengecam sekeras-kerasnya pihak tidak bertanggungjawab yang cuba menggugat kestabilan Kerajaan Negeri Selangor dengan penyebaran berita palsu.

Ini tidak lain tidak bukan dikerjakan oleh perkakas UMNO-BN yang menggunakan laman web picisan dan cybertrooper untuk menyebarkan spekulasi yang langsung tidak berasas ini. Malangnya Perdana Menteri sendiri menyambung fitnah ini, membuktikan siapa sebenarnya di belakang serangan ke atas Kerajaan Negeri Selangor.

Dalam pada itu, perlu diingatkan juga bahawa Kerajaan Negeri Selangor sedia ada telah diberi mandat besar pada tahun 2013 untuk mentadbir negeri.

Berpegang pada amanah ini, Kerajaan Negeri Selangor juga telah berjaya melaksanakan tugas berdasarkan manifesto yang dijanjikan.

Selangor merupakan negeri majmuk yang kian makmur dengan kejayaan tadbir urus Kerajaan Negeri.

Perbezaan pandangan yang wujud itu hanyalah intipati demokrasi yang matang, tetapi ia tidak menghalang Kerajaan Negeri untuk menumpukan kepada isu yang disepakati bersama demi melaksanakan amanah rakyat.

Video: Ucapan Penggulungan Titah DYMM Tuanku 2017

Saya menjawab isu-isu berkaitan pendidikan, pembangunan modal insan, sains, teknologi dan inovasi yang disentuh oleh ADUN-ADUN Selangor sepanjang perbahasan Titah Ucapan DYMM Tuanku. Sidang menjadi panas apabila saya menjawab kritikan Sulaiman Abdul Razak (BN-Permatang) semalam mengapa UNISEL banyak liabiliti. Saya jawab antara sebabnya model BOT tempang yang diamal BN dulu. Saya ingatkan semula bahawa beliau sendiri pernah mendapat projek BOT yang tempang di KUIS yang menjadi durian runtuh RM500 juta meskipun membebankan KUIS! Terus beliau melompat.

Ucapan Penggulungan Perbahasan Titah DYMM Tuanku 2017

YAYASAN SELANGOR – BANGUNAN KAMPUNG PANDAN

Permatang membangkitkan beberapa isu berkenaan Yayasan Selangor iaitu mengenai aset di Kampung Pandan dan Bukit Bintang.

Asrama Kg. Pandan Kuala Lumpur ditutup pada tahun 2013 atas beberapa sebab, antaranya pembangunan pesat kawasan persekitaran seperti stesen MRT, pembangunan komersil (kompleks IKEA) dan sebagainya yang menjadikan kawasan berkenaan tidak lagi kondusif untuk pusat pendidikan. Faktor keselamatan pelajar juga telah diambil kira sebelum keputusan penutupan asrama dibuat. Walau bagaimanapun, sejak tahun 2008, Yayasan Selangor telah meningkatkan perkhidmatan pendidikannya dengan menaja lebih ramai pelajar dan sejak tahun 2014 kita telah menaja lebih 5,000 pelajar dalam satu-satu tahun dalam pelbagai program pendidikan berbanding sebelum tahun 2008 yang hanya menaja lebih kurang 1,200 pelajar sahaja.

Berdasarkan faktor di atas, Yayasan Selangor telah memutuskan untuk memajukan kawasan tapak asrama berkenaan untuk mendapatkan lebih banyak pendapatan yang seterusnya akan digunakan untuk menaja lebih banyak program dan lebih ramai pelajar di seluruh Selangor.

Diakui proses pembangunan agak mengambil masa, walau bagaimanapun ianya dilakukan atas dasar untuk membuat pertimbangan yang paling menguntungkan Yayasan Selangor di masa hadapan.

Begitu juga dengan pembangunan semula Bangunan Yayasan Selangor di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur, beberapa peringkat dan fasa perancangan dan pertimbangan mengambil masa dan dilaksanakan secara berhati-hati. Kebetulan dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan, keadaan persekitaran di Jalan Bukit Bintang yang agak sibuk kerana pembinaan stesen MRT juga memberi impak dari segi perancangan pembangunan semula Bangunan ini.

Cadangan menaiktaraf bangunan sedang dibuat melalui program “Request for Proposal – RFP”. Cadangan tersebut menunggu keputusan Mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Selangor. Sememangnya di bawah pentadbiran sebelum ini, bangunan tersebut dikosongkan, tetapi keputusan terkini sejak YAB Bukit Antarabangsa menjadi Menteri Besar membolehkan tingkat bawah telah disewa untuk kegunaan ‘retail’, bahagian ruang fasad bangunan disewa untuk paparan iklan ‘LED’, bahagian bumbung ‘roof top’ disewa untuk kegunaan menara telekomunikasi dan tempat letak kereta, Bangunan tersebut akan dinaiktaraf dan seterusnya akan dibuka untuk sewaan secara jangka panjang.

Pembangunan tanah di Kg. Pandan dan juga Bangunan Yayasan Selangor Bukit Bintang memang telah dimasukkan dalam Pelan Strategik Yayasan Selangor dan dalam proses pelaksanaan.
Mengenai Menara Yayasan Selangor di Petaling Jaya, kadar penyewaan kini adalah sebanyak 68.3%. Tambahan sebanyak 7.87% sedang dalam tawaran penyewaan. Dijangka sehingga akhir bulan April, peratus penyewaan mencapai 76.1%.

TADBIR URUS UNISEL

Permatang juga membangkitkan beberapa isu tadbir urus UNISEL.

Kerugian terkumpul UNISEL adalah sebanyak RM 125,819,853 yang mana kerugian ini dicatatkan sejak tahun 2008 sehingga kini. Punca utama peningkatan ke atas kerugian adalah disebabkan oleh kos penggajian dan kos operasi yang meningkat sejak tahun 2008 hingga 2015. Untuk melahirkan graduan yang berkualiti, pihak pengurusan UNISEL percaya bahawa pendidik dan penyampai ilmu di UNISEL juga perlulah yang berkualiti. Oleh itu, UNISEL adalah antara IPTS yang mempunyai pemegang PhD yang paling ramai dan berupaya mencorak bangsa yang berilmu sehingga menyebabkan peningkatan kos penggajian.

Walau bagaimanapun, kerugian ini semakin berkurangan berbanding dengan tahun-tahun sebelum 2016 yang mengalami kerugian besar. Pada tahun 2015 kerugian yang dialami adalah sebanyak RM 16,564,999. Manakala pada tahun 2016 di bawah pengurusan Presiden & Naib Canselor yang baharu draf audit bagi tahun 2016 melaporkan penurunan kerugian sebanyak 76% berbanding dengan tahun sebelumnya dengan kerugian hanyalah sebanyak RM 4,013,203.

Penurunan kerugian secara mendadak ini adalah berikutan pengurusan pentadbiran yang baru yang mengambil langkah-langkah penjimatan yang agresif dari segi kos penyelenggaraan, penstukturan semula perkhidmatan kesihatan, rasionalisasi fakulti dan pengurusan yang berkesan.

Liabiliti dan ekuiti terkumpul UNISEL adalah sebanyak RM 344,839,477 dengan jumlah liabiliti adalah RM 282,364,001. Majoriti liabiliti yang dicatatkan adalah hutang yang diwarisi dari semasa pemerintahan Kerajaan Barisan Nasional dan pinjaman bank BAIDS (Bai Bithaman Ajil Islamic Debt Securities). Kerajaan Negeri mengambil pendekatan proaktif dengan menyalurkan geran bagi melangsaikan hutang-hutang ini secara berkala bagi membolehkan UNISEL berdaya saing dan membantu mencapai kecemerlangan akademik.

Sebenarnya Permatang perlu sedar bahawa isu yang dibangkitkan sedikit sebanyak merupakan isu legasi yang diwariskan oleh Kerajaan Barisan Nasional kerana model Build Operate Transfer (BOT) yang menjadi amalan ketika itu. Saya berikan satu lagi contoh yang Permatang sendiri tak berani bangkitkan, berkenaan satu lagi IPT Selangor yang juga mengalami masalah kerana model BOT yang tempang.

Pada tahun 2007, sebuah syarikat bernama Redha Resources Sdn Bhd (RRSB) telah dianugerahkan kontrak untuk membina asrama dan pusat pelajar bagi menampung keperluan 6,000 pelajar KUIS. Perjanjian yang ditandatangani oleh Kerajaan Selangor pimpinan Dato’ Seri Khir Toyo pada masa itu menetapkan bahawa RRSB akan diberikan konsesi untuk membina dan menyewakan kembali kemudahan itu selama 33 tahun kepada KUIS.

RRSB ialah sebuah syarikat yang dikuasai oleh YB Permatang dan isteri, yang memiliki 57% pegangan saham di dalam RRSB. RRSB dengan sokongan Kerajaan Selangor di bawah Umno memperoleh pinjaman sebanyak RM125.8 juta di antara RRSB dan bank-bank pembiaya pada 3 Ogos 2007 untuk membiayai pembinaan asrama pelajar KUIS ini.

Kontrak pembinaan ini kemudiannya diberikan kepada Bina Puri Holdings Bhd untuk RM96.1 juta dengan RRSB hanyalah menjadi orang tengah. RRSB yang dimiliki ADUN Permatang ini telah dianugerahkan konsesi asrama pelajar KUIS oleh kerajaan Umno selama 33 tahun pada kadar tahunan RM15.4 juta setahun. Maka, bagi sepanjang tempoh 33 tahun, RRSB akan mendapat durian runtuh sebanyak RM508 juta sementara pengurusan KUIS terikat dengan konsesi berat sebelah yang membebankan pihak Universiti dan pelajar.

Ini adalah contoh bebanan yang terpaksa ditanggung oeh Kerajaan Negeri sekarang ini sama juga di UNISEL dengan pembangunan kampus Bestari Jaya yang begitu rapuh infrastruktur dan sentiasa perlu ditambah baik dengan perbelanjaan wang yang banyak.

Sebenarnya Naib Canselor Prof Dato’ Dr Redzuan Othman telah dipilih melalui temuduga dan saringan yang cukup ketat oleh satu jawatankuasa Gelintar (Search Committee) yang dianggotai wakil industri, akademik dalam dan luar UNISEL serta wakil kerajaan negeri. Perlantikan ini kemudian dipersetujui oleh Lembaga Pengarah Pendidikan Industri YS. Beliau mempunyai rekod cemerlang sebagai seorang ahli akademik dan pentadbir akademik. Pengalaman dan rekod cemerlang ini mampu dimanfaatkan sehingga berjaya menjadikan tahun 2016 sebagai tahun yang telah merubah imej UNISEL kepada yang lebih cemerlang.

Mulai tahun 2016 di bawah pengurusan baru UNISEL, Presiden & Naib Canselor UNISEL telah melaksanakan proses Transformasi UNISEL yang menghasilkan natijah berikut:
– Menaikkan gaji staf yang gaji tidak dinaikkan sejak 5 tahun yang lalu. Ini dapat dilaksanakan oleh kerana proses penjimatan yang dijalankan telah menunjukkan hasil yang memberangsangkan;
– Kenaikan pangkat telah dilaksanakan yang melibatkan pelbagai gred jawatan pada penghujung tahun 2016. Usaha ini yang tertangguh sejak 5 tahun lalu telah memberikan impak yang sangat positif kepada semangat bekerja staf UNISEL;
– Rasionalisasi fakulti dan penjimatan kos operasi yang memperbaiki kecemerlangan akademik dan kedudukan kewangan UNISEL;
– Memperkenalkan program Dermasiswa di mana pendidikan peringkat asasi di UNISEL disediakan secara percuma kepada mahasiswa.

Kerajaan Negeri juga menyokong penuh usaha ini, dan memberi komitmen dengan pelbagai bantuan termasuklah dalam bentuk geran dan sumbangan capex yang diumumkan Menteri Besar di dalam Belanjawan 2017.

Sijil UEC adalah sijil yang dikeluarkan oleh sekolah persendirian Cina sahaja . Ianya tidak diberi oleh UNISEL. Kita Kerajaan Negeri konsisten dalam hal ini sebagaimana dijanjikan dalam Manifesto 2013. Bukan seperti UMNO-BN, Sarawak iktiraf, pusat tak iktiraf. Menteri Persekutuan tak iktiraf, Pengerusi MARA nak iktiraf.
Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah memberi kelulusan penggunaan kelayakan masuk UEC untuk kemasukan pelajar ke UNISEL pada tahun 2016. Memandangkan usaha ini masih baru, dan secara rekodnya, sememangnya bilangan pelajar Cina sangat rendah di UNISEL berbanding pelajar Bumiputera dan India, sebarang perubahan kemasukan ini akan mengambil masa. Tetapi UNISEL sedang giat memasarkan universiti kepada semua kelompok khususnya anak Selangor bagi meningkatkan bilangan mahasiswa.

Sehingga kini graduan UNISEL telah mencecah 29,924 dengan seramai 25,561 orang graduan dihasilkan dari tahun 2008 ke tahun 2016. Sambutan hangat diberikan oleh ibubapa dan pelajar dalam setiap pameran pendidikan yang dihadiri UNISEL membuktikan bahawa transformasi yang dijalankan oleh kepimpinan baharu UNISEL amat berkesan dan UNISEL kembali mendapat keyakinan masyarakat.

BANTUAN SEKOLAH

Sekinchan mencadangkan jumlah agihan Bantuan Sekolah Kerajaan Negeri Selangor kepada Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan sebanyak RM100,000.00 untuk setiap sekolah.

Jumlah peruntukan Bantuan Sekolah kepada Sekolah Mubaligh dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan telah di peruntukan sebanyak RM1 juta. Bantuan yang diberikan adalah bertujuan untuk penambahbaikan infrastruktur sekolah dan penyelenggaraan bangunan sekolah agar persekitaran pembelajaran selamat dan kondusif. Dari sudut jumlah keseluruhan, terdapat ima sekolah SMJK di sekitar Selangor dan 25 buah sekolah Mubaligh.

Dari aspek pelaksanaan, Jawatankuasa Tetap Pendidikan memutuskan agihan bantuan akan dilaksanakan berdasarkan permohonan. Seterusnya permohonan tersebut akan dibuat penilaian dan akhirnya akan ditentukan amaun bantuan yang sesuai bagi setiap permohonan berdasarkan keadaan sekolah. Ketetapan dasar ini adalah bagi memastikan agihan bantuan dapat dilakukan dengan adil.

SEKOLAH MENENGAH AGAMA / PROGRAM TUISYEN RAKYAT

Sri Serdang bertanya berkenaan bantuan Infrastruktur dan penambahan Sekolah Menengah Agama Persendirian.

Program Bantuan Sekolah merupakan program agihan bantuan infrastruktur kepada Sekolah Agama Rakyat, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil dan yang terbaru adalah Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan dan Sekolah Mubaligh. Objektif utama adalah untuk menyediakan persekitaran yang kondusif dan selamat kepada anak-anak.

Bagi kategori Sekolah Agama Rakyat,semua kategori Sekolah Agama adalah layak memohon seperti Sekolah Menengah Agama Persendirian, Sekolah Tahfiz, Sekolah Rendah Islam, Sekolah KAFA dan Pondok.

Pada 2017, Sekolah Agama Rakyat telah menerima peningkatan RM 3 juta daripada RM 6 juta menjadi RM 9 juta. Pemberian bantuan ini juga bergantung kepada permohonan yang diterima. Bagi tujuan penambahan Sekolah Menengah Agama Persendirian ia adalah di luar kawalan Kerajaan Negeri kerana Sekolah Menengah Persendirian ditubuhkan oleh pihak persendirian.

Sri Serdang juga mencadangkan pembayaran elaun KPMI dan guru diberikan sama seperti tarikh penerimaan gaji penjawat awam dan memberi pembayaran elaun selama 12 bulan.

Koordinator Pembangunan Modal Insan (KPMI) dilantik melalui Skim Perkhidmatan Singkat (SPS) atau lebih dikenali sebagai contract for service. Terdapat perbezaan antara lantikan secara SPS dengan Skim lantikan yang lain berdasarkan Garis Panduan yang diedarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam kepada semua jabatan bertarikh 30 April 2009.

Garis Panduan tersebut antara lain menyebut tentang status perkhidmatan SPS seperti berikut:
– Pelantikan tidak menjadikan individu tersebut sebagai seorang pegawai awam dan pelantikan SPS merupakan kontrak pembelian perkhidmatan daripada seseorang individu oleh kerajaan;
– Pelantikan ini tidak layak untuk dijadikan asas untuk menyokong permohonan supaya dilantik secara tetap, sementara atau kontrak (contract of service);

Merujuk kepada garis panduan pelantikan KPMI secara SPS itu, Jabatan tidak terikat untuk memastikan pembayaran elaun KPMI dan guru-guru mengikut gaji kakitangan awam Kerajaan Negeri Selangor.

Pembayaran elaun KPMI dan guru-guru akan dibuat selepas jabatan berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan melalui laporan yang dikemukakan secara bulanan.

Program Tuisyen Rakyat akan dimulakan di setiap kawasan Dewan Negeri bermula pada bulan Februari dan kelas akan berakhir pada bulan Oktober. Bagi pembayaran bulan November dan Disember ia dibuat kepada KPMI sahaja, memandangkan kerja-kerja promosi dan penyediaan kelas telah bermula untuk sesi tahun seterusnya.

Walaubagaimanapun, Kerajaan Negeri akan mengkaji sekiranya cadangan Seri Serdang itu boleh dilaksanakan.

WIFI SMART SELANGOR

Kampung Tunku bertanyakan berkenaan downtime Wifi Smart Selangor di kawasan DUN Kg Tunku yang telah mengalami downtime selama beberapa bulan.

Empat (4) daripada lima (5) hotspot Wifi Smart Selangor telah tergendala perkhidmatannya pada bulan November disebabkan pelaksanaan kerja-kerja menaiktaraf sistem WiFi Smart Selangor dan kembali beroperasi pada bulan Disember. Sementara itu, hotspot yang kelima di kawasan DUN Kg Tunku beroperasi dengan baik tanpa downtime.

Apakah langkah untuk memastikan data dari Wifi Selangorku ini boleh digunakan untuk kegunaan kerajaan negeri di bawah konsep Big Data?

Data penggunaan WSS boleh dimuat turun ke perisian tengah bagi tujuan pengumpulan data. Pengendalian big data dan analisa secara menyeluruh dan bersepadu akan dilaksanakan di bawah inisiatif Big Data Analytics dan Command and Control Centre Smart Selangor. Buat masa ini analisis asas penggunaan Wifi Smart Selangor dilaksanakan secara berterusan.

Pada masa ini keutamaan diberi kepada pemasangan semula dan penambahan hotspot Wifi Smart Selangor.

Ijok pula memaklumkan bahawa capaian wifi SmartSelangor di kawasannya perlahan (slow) termasuk di Pejabat DUN Ijok.

Pegawai sokongan teknikal Wifi Smart Selangor (WSS) telah pergi ke Pusat Khidmat Rakyat DUN Ijok pada bulan Disember 2016 untuk kerja-kerja penyelenggaraan sistem WSS. Adalah didapati bahawa AP di pusat tersebut telah diusik (‘tampered’) menyebabkan AP tersebut tidak dapat berfungsi. AP terbabit telahpun dikonfigurasikan semula dan kembali beroperasi sejak itu.

Untuk makluman, kelajuan setiap hotspot adalah di antara 8Mbps (“Megabits per second”) sehingga 30 Mbps bergantung kepada infrastruktur sambungan internet setempat iaitu samaada melalui kabel kuprum, gentian optik atau selular di mana jarak pancaran dan kelajuan internet adalah berbeza. Kelajuan WiFi Smart Selangor untuk setiap pengguna telah dihadkan kepada 1 Mbps (“Megabit per Second”) bagi setiap sesi penggunaan selama 30 minit. Sekiranya ramai pengguna menggunakan hotspot terbabit, akses dan kelajuan internet di hotspot tersebut akan terjejas. Pemantauan sentiasa dilakukan bagi mengenalpasti kawasan-kawasan hotspot yang perlu ditingkatkan kapasiti.

Selain itu, Dewan juga perlu ambil maklum bahawa proses penambahbaikan sedang dilaksanakan untuk memastikan pemasangan hotspot lebih seimbang di seluruh Negeri Selangor melalui pengagihan semula dan penambahan hotspot WiFi Smart Selangor, terutamanya di kawasan-kawasan luar bandar, dengan kelajuan yang lebih memuaskan.

PERPUSTAKAAN DAERAH KLANG

Selat Kelang membangkitkan keadaan Perpustakaan Daerah Klang yang uzur.

Perpustakaan Daerah Klang yang ada pada hari ini dibuka pada tahun 1974. Pihak Kerajaan akan mengkaji keperluan untuk menaiktarafnya sesuai dengan perkembangan zaman dan keperluan masyarakat hari ini.

Saya ingin mengucapkan penghargaan di atas kesemua ADUN-ADUN yang turut serta membahaskan portfolio pendidikan, pembangunan modal insan, sains, teknologi dan inovasi dalam perbahasan ucapan titah DYMM Tuanku kali ini.

/ Rujuk penyampaian ucapan sebenar untuk melihat ketepatan teks ini

Forum: Wujudkah Demokrasi Sebenar Di Malaysia?

Forum di pelancaran Institut Kajian Pilihan Raya dan Pemajuan Demokrasi (ISEAD) UNISEL bersama-sama Dato’ Saifuddin Abdullah dan Prof Dr Shaharuddin Badaruddin.

Ucapan penggulungan perbahasan Belanjawan Selangor 2017

YB Tuan Speaker dan Dewan yang mulia

Bersempena belanjawan yang dibentang oleh YAB Dato Menteri Besar Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dengan tema Negeri Selangor Membangun Bangsa, Memakmur Negeri, sukacita saya menggulung perbahasan kali ini dengan menekankan beberapa aspek belanjawan yang jelas menunjukkan komitmen kerajaan Negeri Selangor di dalam sektor pendidikan yang menjadi teras kepada pembangunan masyarakat berdaya maju, sesuai dengan aspirasi Kerajaan Negeri.

Kerajaan Negeri menerusi Belanjawan 2016 telah menyediakan peruntukan yang pelbagai sama ada untuk pendidikan di peringkat sekolah, pendidikan tinggi mahupun peringkat graduan menerusi strategi ketiga belanjawan Negeri Selangor: Pengupayaan Pendidikan & Latihan.

Antara yang telah diumumkan oleh YAB Menteri Besar, di peringkat sekolah, adalah peruntukan tambahan untuk pengupayaan Sekolah Agama Rakyat (SAR), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJK (C)) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJK (T)). Program Bantuan Sekolah ini yang sudah bermula sejak sekian lama memberi fokus kepada bantuan kewangan agar sekolah-sekolah boleh membangunkan atau memperbaiki infrastruktur. Jika sebelum ini peruntukan yang diberikan adalah sebanyak RM16 juta, bermula tahun 2017, Kerajaan Negeri menyediakan sebanyak RM21 juta.

Di samping itu, dan bagi memenuhi janji yang telah dibuat di dalam manifesto Pilihanraya 2013, YAB Menteri Besar juga telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM1 juta untuk sekolah-sekolah mubaligh atau Mission School, dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan untuk tujuan yang sama.

Ahli Dewan Negeri Gombak Setia juga ada mencadangkan agar program bantuan sekolah diperluaskan kepada pogram bukan sekadar infrastruktur sahaja. Perkara ini akan dikaji dan dipertimbangkan bersama dengan MMKN. Namun begitu buat masa ini, bantuan ini hanya meliputi bantuan untuk baik pulih infrastruktur sahaja kerana matlamat yang ditetapkan adalah untuk memastikan pelajar-pelajar dapat bersekolah di dalam keadaan persekitaran yang kondusif dan selesa.

Ahli Dewan Negeri Sekinchan membangkitkan tentang kelewatan pembayaran bantuan sekolah persendirian Cina pada tahun ini. Untuk makluman bantuan pada tahun ini akan disampaikan pada minggu hadapan. Bagi tahun hadapan, kita akan memastikan pembayaran akan dibuat pada bayaran fasa pertama bagi membolehkan sekolah tersebut mendapatnya pada peringkat yang lebih awal.

Di dalam hal lain, Ahli Dewan Negeri Sg Air Tawar ada membangkitkan berkenaan infrastruktur perpustakaan awam yang uzur. Untuk makluman dewan yang mulia, bagi Daerah Sabak Bernam terdapat 26 perpustakaan yang terdiri daripada Perpustakaan Daerah (1), Perpustakaan Pekan (2), Perpustakaan Desa (22) dan Perpustakaan Bergerak (1) unit.

Peruntukan pembangunan Kerajaan Negeri bagi kerja-kerja pemuliharaan dan pembaikan infrastruktur bagi enam perpustakaan di daerah Sabak Bernam pada tahun 2015 dan 2016 pula adalah sebanyak RM 2,376,483.00.

Dalam pada itu, di dalam Rancangan Malaysia Ke 11 (2016-2020) Kerajaan Negeri menganggarkan peruntukan berjumlah RM 5.25 juta bagi kerja-kerja menaiktaraf keseluruhan perpustakaan-perpustakaan desa di negeri Selangor, RM 8.25 juta bagi menaiktaraf Perpustakaan Daerah seluruh Selangor dan RM1.6 juta bagi menaiktaraf Perpustakaan Pekan. Kerajaan Negeri Selangor bersama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) akan terus mengenalpasti perpustakaan-perpustakaan yang uzur dan berusaha sebaiknya untuk mengembalikan atau memulihkan setiap daripadanya kepada keadaan yang sebaik mungkin.

YB Tuan Speaker

Selain persekitaran pembelajaran yang kondusif, Kerajaan Negeri Selangor juga menitikberatkan capaian pendidikan kesemua negeri, dan oleh seperti yang diumumkan oleh YAB Menteri Besar, peruntukan sebanyak RM5 juta akan diberikan untuk pembangunan sebuah laman web bagi tujuan Tusyen Atas Talian. Matlamat Kerajaan Negeri adalah untuk memastikan rakyat Selangor terutamanya golongan pelajar dapat setiap bantuan yang diperlukan untuk menaiktaraf kualiti pendidikan, sejajar dengan gagasan Smart Selangor yang peduli.

Ada Yang Berhormat pula membangkitkan keperluan akses atas talian diperhebatkan agar manfaat dapat diperoleh dengan lebih meluas. Kerajaan Negeri Selangor juga menyedari perkara ini dan dengan agenda Smart Selangor yang akan lebih diperkasakan pada tahun 2017, terutamanya strategi membangun Infrastruktur Digital yang diumumkan oleh YAB Menteri Besar tempoh hari, perkara ini sememangnya akan mendapat perhatian yang lebih khusus oleh Kerajaan Negeri Selangor. Pada masa ini Kerajaan Negeri Selangor juga telah menyediakan khidmat wifi percuma dengan 2500 hotspot yang telah dipasang di seluruh negeri. Pihak Menteri Besar Incorprated (MBI) juga sedang menjalankan kaji selidik keberkesanan khidmat ini dan sebarang maklumbalas serta dapatan akan digunakan untuk menambahbaik perkhidmatan yang disediakan.

Tuisyen Atas Talian ini juga merupakan satu program pelengkap kepada inisiatif sedia ada iaitu Program Tusyen Rakyat Selangor (PTRS) yang sudah berlangsung sejak tahun 2009 lagi bagi meningkatkan, memenuhi dan merealisasikan agenda bagi memastikan kebajikan rakyat, kualiti hidup rakyat, memantapkan ekonomi rakyat .

Ahli Dewan Negeri Teratai ada mencadangkan agar Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) diperluaskan ke peringkat pelajar sekolah rendah. Jawatankuasa Tetap Pendidikan Negeri Selangor sedang meneliti semula PTRS untuk penambahbaikan pada tahun hadapan dan sedang merangka satu kertas dasar untuk memperkembangkan lagi konsep PTRS dan memberi lebih fleksibiliti agar ia bertepatan dengan keperluan sesuatu kawasan dan tidak terhad kepada pelajar Tingkatan 5. Namun begitu pembaharuan ini akan diumumkan sebaik sahaja mendapat kelulusan daripada MMKN.

YB Tuan Speaker,

Di peringkat pengajian tinggi pula; senario sedia ada amatlah genting dengan tindakan Kerajaan Pusat yang terus memotong peruntukan kewangan di peringkat Universiti untuk dua tahun berturut-turut. Potongan ini bukan sahaja akan memberi kesan kepada pengurusan Universiti tetapi akhirnya ada kebarangkalian yang besar bahawa ia juga akan memberi kesan kepada pelajar-pelajar, dengan kenaikan yuran pendidikan. Pelajar juga semakin tertekan dengan kenaikan kos sara hidup yang melampau.

Sehubungan dengan itu, YAB Menteri Besar telah mengumumkan Program Peduli Siswa bagi menampung sedikit sebanyak kekurangan akibat tindakan-tindakan menindas oleh pihak Kerajaan Pusat. Program Peduli Siswa merupakan satu program pinjaman pelajaran boleh ubah yang tertumpu kepada beberapa buah Universiti Awam di Negeri Selangor, dengan peruntukan sebanyak RM10 juta setahun.

Kerajaan Negeri mengambil maklum cadangan YB Teratai untuk memasukkan Universiti Malaya ke dalam senarai Universiti Awam yang berkelayakan menerima manfaat Program Peduli Siswa. Perkara ini akan dibincangkan dengan lebih lanjut oleh MMKN.

Walaubagaimanapun pengkhususan Program Peduli Siswa ini kepada empat Universiti awam yang diumumkan tidak bermakna pelajar Selangor di Universiti lain akan diabaikan. Kerajaan Negeri Selangor akan tetap meneruskan Program Pinjaman Pelajaran yang memperuntukkan sebanyak RM16.3 juta setahun kepada pelajar Selangor yang berkelayakan di mana-mana IPTA atau IPTS di seluruh Malaysia. Dengan adanya program Peduli Siswa, pelajar yang menuntut di IPT di luar Selangor secara tidak langsung juga memperolehi manafaat di mana lebih banyak kuota dapat dibuka kepada mereka di bawah Pinjaman Pelajaran Kerajaan Negeri Selangor.

Bagi pelajar-pelajar Unisel dan KUIS juga, tahun 2016 ini telah menyaksikan pelaksanaan program Biasiswa Selangorku yang memperuntukkan sebanyak RM10.0 juta setahun dengan peruntukan awal sebanyak RM5.0 juta. Seramai 110 pelajar, daripada golongan keluarga berpendapatan rendah, telahpun menerima manfaat Biasiswa ini, dan insya’Allah kami akan membuka sekali lagi permohonan sebelum akhir tahun ini dengan mensasarkan lebih ramai pelajar.

Di samping itu, satu lagi program di bawah manifesto kerajaan Pakatan iaitu Brain Bank Selangor, sebuah program biasiswa sambungan pelajaran peringkat Phd ke Universiti terbaik luar negara juga sudah mendapat kelulusan akhir dan akan mula membuka permohonan pada minggu hadapan.

Pada masa IPTA di seluruh negeri ini dipotong peruntukannya oleh Kerajaan Pusat, Kerajaan Negeri Selangor terus memperkasakan universiti-universiti dibawah seliaannya. YAB Menteri Besar turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM8 juta untuk menaiktaraf infrastruktur dan kemudahan pembelajaran di KUIS, dan RM44 juta kepada Unisel. Ini dengan harapan kedua-dua universiti boleh terus meningkatkan kualiti dan mencapai matlamat untuk menjadi universiti bertaraf antarabangsa.

Ahli Dewan Negeri Kinrara juga ada mencadangkan agar insentif Hadiah Pengajian IPT (HPIPT) ditingkatkan daripada RM1000 kepada RM1500 bagi membantu pembelian laptop. Kerajaan Negeri mengambil maklum cadangan ini, tetapi pada masa ini tiada perancangan khas untuk mempertingkatkan insentif ini. Kerajaan Negeri pada masa ini sedang menumpukan usaha untuk meningkatkan syarat had kelayakan pendapatan insentif ini agar lebih ramai yang berkelayakan memperoleh manfaat daripada program tersebut.

YB Tuan Speaker,

Kerajaan Negeri Selangor juga sudah mengenalpasti kepentingan pendidikan vokasional dan latihan teknikal (TVET), oleh itu seperti yang diumumkan oleh YAB Menteri Besar, sejumlah RM5 juta telah diperuntukkan untuk memperkasakan Kolej Antarabangsa INPENS bagi tujuan ini. Wang yang diperuntukkan ini akan digunakan bukan sahaja untuk penambahbaikan infrastruktur dan kemudahan, tetapi ia juga bagi membolehkan pembangunan kursus-kursus baru yang relevan dengan keperluan masa kini seperti penyemburan cat automotif dan welding.

Peruntukan RM5 juta ini juga merupakan satu langkah jangka pendek bagi memenuhi keperluan sedia ada. Kerajaan Negeri Selangor telah menubuhkan satu Jawatankuasa TVET pada tahun ini yang membincangkan hala tuju pendidikan TVET di negeri Selangor. Selain itu sebuah Jawatankuasa Teknikal TVET yang akan diketuai oleh Unisel juga telah dipertanggungjawabkan untuk menyelidik serta mencadangkan sebuah ‘Blueprint TVET’ di negeri Selangor bagi memberdaya TVET dengan menyeluruh termasuk mendapatkan kerjasama rapat dengan pihak industri.

Untuk makluman dewan yang mulia, agenda pemerkasaan TVET ini bukanlah sesuatu yang baru bagi Kerajaan Negeri Selangor. Pada tahun 2015 kerajaan negeri telah memperkenalkan program Youth Enhancement Strategy (YES) Selangor dengan tujuan untuk memberdaya generasi muda dan anak-anak khususnya di Selangor. Program YES Selangor ini merupakan program berimpak tinggi dengan kerjasama yang sangat menggalakkan dari sektor industri dengan memberi tumpuan kepada bidang teknologi.

RM2.5 juta peruntukan tahunan ditetapkan bagi program ini dan telah berjaya melatih seramai 60 orang siswazah dalam bidang Big Data Analytics dengan kerjasama Statistics.com USA, seramai 37 orang siswazah dalam bidang Cloud Computing dan 16 orang dalam bidang Automation dengan kerjasama National Instruments pada tahun 2015.

Kerajaan negeri juga sentiasa peka terhadap golongan belia yang tidak bernasib baik serta tidak berkemampuan untuk meneruskan pengajian akademik ke tahap yang lebih tinggi. Bagi kategori belia lepasan SPM dalam YES Selangor ini, seramai 41 orang telah dilatih dalam bidang kejuruteraan dan telah pun menerima persijilan dari BoxHill Institute Australia.

Pelatih-pelatih tersebut kini telah berjaya dan mengisi jawatan teknikal di syarikat-syarikat multinasional di sekitar Selangor. Melalui program YES Selangor ini juga, kerajaan negeri telah melahirkan tenaga mahir dalam industri solar dengan kerjasama SEDA Malaysia. Seramai 19 orang Certified Solar Installers, dengan izin, telah dilahirkan melalui kerjasama ini dan kesemua mereka telah pun bekerja di sektor swasta yang terlibat.

Kerajaan negeri masih meneruskan usaha murni ini pada tahun 2016 dengan mempelbagaikan lagi program yang dilaksanakan bersama sektor industri. Bagi mempersiapkan tenaga kerja professional dan tenaga kerja mahir sejajar dengan gagasan Smart Selangor pula, kerajaan negeri telah melancarkan program IoT foundation bagi pelajar bidang IT di Unisel. Seramai 21 orang pelajar Unisel telah mendaftar untuk mengikuti program berteraskan kemahiran dalam bidang IoT bersama sektor industri. Kerajaan negeri juga sedang merangka program INPENS – TAP (Technical Apprentice Program) dengan tujuan memperkukuhkan hubungan kerjasama antara kerajaan negeri, Kolej INPENS dan sektor industri di Selangor. Dengan pelaksanaan program seperti ini, kerajaan negeri akan lebih mesra industri serta dapat memanfaatkan sepenuhnya peluang pembangunan sumber manusia demi kepentingan rakyat.

Bagi tahun 2016 ini juga, satu kategori baru telah direalisasikan di dalam inisiatif YES Selangor. Kategori #SMART Technical Workforce bertujuan untuk memangkin pembangunan sektor industri di Selangor menawarkan latihan khusus dalam bidang Big Data Analytics, Teknologi Telekomunikasi, Automasi dan Sistem Pembuatan. Latihan yang dilaksanakan adalah berteraskan keperluan terkini sektor industri di Selangor dengan rangka kerja berkonsepkan place and train, yang mana peluang kerja telah sedia menunggu untuk di isi.

Sidang Dewan yang mulia,

YES Selangor merupakan satu program demand-driven, berlandaskan keperluan industri semasa dan mengambil kira keperluan tenaga kerja mahir di masa akan datang. Bagi memenuhi keperluan tenaga kerja ini juga, Kerajaan Negeri Selangor telah menganjurkan satu program Karnival Kerjaya (Selangor Job Fair 2016) dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja Selangor (JTK) dan Job Malaysia. Program yang dilaksanakan pada 28 Mei 2016 telah berjaya melibatkan bilangan pengunjung seramai 10,000 orang untuk mengisi 5,818 tawaran kekosongan jawatan. Program Karnival Kerjaya (Job Fair) ini juga telah diadakan di daerah-daerah seperti Kuala Langat dan Kuala Selangor dengan sambutan yang menggalakkan dengan pengunjung yang melebihi 1000 orang setiap daerah.

Selain itu YAB Menteri Besar juga ada mengumumkan tambahan peruntukan untuk Program Graduate Employability Enhancement for Smart Selangor (PROGRESS) kepada RM5 juta yang pastinya berupaya membantu graduan di Selangor meningkatkan kebolehpasaran mereka.

Usaha membangun modal insan dan pendidikan di Negeri Selangor juga haruslah dijalankan seiringan dengan usaha memangkin komuniti bersahsiah. Program INSAN, dahulunya SPIES, yang telah dijalankan dengan fokus kepada peningkatan kendiri yang berjurus kepada kumpulan sasar berdasarkan konsep “cycle of life”, juga berperanan penting untuk membentuk insan berkualiti di dalam masyarakat.

Malah Kerajaan Negeri juga sudah mempertingkatkan lagi program-program latihan murabbi, atau pendidik, di sekolah-sekolah terutamanya di sekolah kafa dan beberapa sekolah swasta untuk latihan padagogi yang menyeluruh agar dapat disampaikan kepada pelajar-pelajar.

Usaha menjalankan program Pendidikan Komuniti, serta Program menangani gejala sosial melalui Generasi Idaman Selangor (GeMS) juga diutamakan ke arah mencapai matlamat Smart Community. Program bersepadu dilaksanakan seperti Forum Pengurusan Hutang, Bicara Remaja, Program Penerangan pencegahan dadah dan jenayah serta banyak lagi program kemasyarakatan digerakkan dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) serta agensi-agensi dan NGO berkaitan.

YB Tuan Speaker,

Sejajar dengan gagasan Smart Selangor pula, YB DUN Bukit Gasing ada mencadangkan perkhidmatan yang disediakan di kaunter-kaunter agensi Kerajaan juga disediakan alternatif secara online atau mobile apps; selain mencadangkan pada tahun 2017, sasaran untuk setiap jabatan/PDT/agensi mengenal pasti perkhidmatan/permohonan yang boleh dibuat secara online.

Bahagian Teknologi Maklumat (BTM), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Jabatan dan Agensi di bawah Kerajaan Negeri Selangor akan mengambil inisiatif berkaitan cadangan daripada Y.B DUN Bukit Gasing bagi memperluaskan penyampaian perkhidmatan Kerajaan Negeri Selangor secara online dan penggunaan mobile apps dalam perkhidmatan Jabatan dan Agensi Kerajaan selaras dengan pendekatan ‘Digital Governance’ ke arah #Smart Selangor Yang Peduli dalam perancangan dan pembangunan Rancangan Malaysia Ke 11 (2016-2020).

Untuk makluman, pihak BTM sedang bekerjasama dengan UNISEL bagi merangka pembangunan Pelan Pembangunan Strategik Teknologi Maklumat Negeri Selangor (PSTM) 2016-2020 dan dijangka siap pada Disember 2016 untuk mengenal pasti perkhidmatan kerajaan secara online dan mobile apps yang sedia ada serta mengenal pasti perkhidmatan kerajaan secara online dan mobile apps kepada rakyat dan akan disediakan secara berfasa dan bersepadu dalam tempoh lima (5) tahun dalam RM Ke 11.

PSTM ini akan menjadi rujukan kepada perancangan dan pembangunan perkhidmatan kerajaan secara online dan mobile apps yang bersepadu dan pintar ke arah Digital Governance’ bagi menyokong #Smart Selangor khususnya ke arah pembudayaan #Smart People bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan kerajaan yang bersepadu dan berkualiti kepada rakyat.

Terima kasih.

Kerajaan Negeri Selangor dan UNISEL sedia membantu pelajar mangsa biasiswa JPA

Shah Alam: Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi Kerajaan Negeri Selangor telah mengambil maklum mengenai isu pelajar biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di Kolej INTEC.

Ekoran beberapa aduan daripada pelajar-pelajar biasiswa JPA ini, kami dapati bahawa pihak JPA telah menamatkan kontrak dengan 26 pelajar (A-Level 16 2014/2016), tanpa notis awal. Alasan yang digunakan hanyalah kerana mereka tidak melepasi sesuatu piawaian yang telah ditetapkan berdasarkan keputusan peperiksaan terkini – dan ini pula hanyalah disampaikan oleh Ketua Program A Level Kolej INTEC.

Polisi ini tidak pernah dinyatakan oleh mana-mana pihak kepada pelajar-pelajar ini dan ia memberi kesan kepada mereka yang terus hilang hala tuju. Kemasukan mereka ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) juga mempunyai rintangan akibat kebanyakan Universiti yang tidak menerima pensijilan A Level, apatah lagi pelajar-pelajar ini tidak dibenarkan menghabiskan pelajaran.

Keputusan JPA untuk menghentikan serta-merta pembiyaan pelajar-pelajar cemerlang ini tanpa rundingan amatlah mengecewakan dan ia sedikit sebanyak memberi gambaran bahawa kerajaan tidak menghiraukan kebajikan pelajar. Beberapa minggu ini terdapat juga isu berkenaan 115 pelajar biasiswa JPA (INTEC) (batch A-Level 11 2013/2015) yang juga tidak dapat melanjutkan pelajaran ke luar negara dan tidak ditempatkan di Universiti tempatan walaupun sudah berjaya menamatkan pelajaran Tahun Asas. Malah 40 orang pelajar daripada mereka juga telah ditamatkan kontrak tanpa diberi sebarang notis formal.

Mengikut carian kami dan pihak Universiti Selangor (UNISEL), keputusan-keputusan pelajar ini sudah dikira lulus dan bukanlah pada tahap gagal oleh itu ia masih boleh digunapakai di peringkat Universiti.

Dengan itu, berteraskan falsafah “Mempedulikan Rakyat” dan keperihatinan Kerajaan Negeri Selangor yang dipimpin oleh YAB Dato’ Menteri Besar Mohamed Azmin Ali, pihak UNISEL dan Kerajaan Negeri telah memutuskan bahawa Universiti bersedia menawarkan tempat melanjutkan pengajian di peringkat Tahun Asas dengan pembiayaan ‘Derma Siswa’ iaitu penajaan yuran pengajian kepada semua mereka yang layak dan berminat.

Derma Siswa tersebut juga turut merangkumi pembiayaan yuran penginapan pelajar semasa sedang melanjutkan pengajian diperingkat Tahun Asas di UNISEL. Semua pelajar cemerlang ini akan ditawarkan tempat untuk melanjutkan pelajaran bagi sesi kemasukkan Oktober 2015.

Kami mengharapkan inisiatif ini dapat membantu pelajar-pelajar cemerlang ini untuk melanjutkan pelajaran dan akhirnya menjadi pemangkin kepada pembangunan negara.

Di samping itu kami  juga mohon penjelasan daripada pihak JPA dan kerajaan Barisan Nasional mengenai isu ini, dan mahukan satu alasan yang kukuh mengapa polisi pembiayaan JPA ini berubah-berubah dengan begitu kerap, dan seakan-seakan tidak menggalakkan pelajar-pelajar untuk ke luar negara sedangkan itulah yang telah dijanjikan. Jikapun pelajar-pelajar itu tidak layak untuk ke luar negara atas sebab keputusan yang tidak cemerlang, mengapa mereka terus diabaikan sedangkan mereka sepatutnya tetap diberikan peluang untuk melanjutkan pelajaran di peringkat pengajian tinggi.

Oleh itu, kami juga akan meneliti cara lain untuk membantu para pelajar ini termasuklah mendapatkan nasihat guaman.

Menyokong permohonan Sarawak untuk mendapat lebih kuasa dalam bidang pendidikan

Saya rasa tertarik dengan laporan media baru-baru ini yang menyatakan bahawa kerajaan pentadbiran Ketua Menteri Sarawak, Adenan Satem, berhasrat untuk mengambil alih sepenuhnya perihal pendidikan negeri untuk mendapatkan lebih kuasa autonomi daripada Kerajaan Persekutuan.

Beliau mengatakan bahawa Sarawak telah terkesan oleh polisi tidak tetap Putrajaya berkenaan pendidikan.

Saya amatlah bersetuju dengan perkara ini.

Lagipun, autonomi pendidikan merupakan sebahagian daripada Perjanjian Malaysia yang telah dijanjikan kepada Sabah dan Sarawak. Perisytiharan Kuching 2012 yang turut ditandatangani KEADILAN, berhasrat antara lain memartabakan semangat Perjanjian Malaysia.

KEADILAN dan rakan-rakan kami juga telah berusaha mendapatkan autonomi pendidikan di negeri-negeri yang di bawah pentadbiran kami. Saya sendiri telah beberapa kali membangkitkan isu berkenaan pengagihan kuasa pendidikan ini.

Secara dasarnya, kita boleh mencontohi amalan terbaik negara-negara lain di mana pendidikan tinggi, kurikulum kebangsaan dan piawaian tetap dikawal oleh Kerajaan Persekutuan; manakala pendidikan rendah dan menengah adalah diseliakan oleh Kerajaan Negeri, dan pentadbiran sekolah pula mempunyai penglibatan lebih pihak tempatan.

Kami percaya penyeliaan Kerajaan Negeri bukan sahaja boleh mempertingkatkan kualiti dan tahap pendidikan pelajar-pelajar Malaysia, tetapi juga mampu menggalakkan perpaduan dan integrasi nasional.

Kerajaan Negeri adalah lebih arif, malah berada di tempat yang lebih baik untuk menangani isu-isu tempatan.

Ia juga akan mengalakkan persaingan yang sihat di antara negeri, dan akan merangsang pihak tenaga pengajar dan pentadbir demi mencari jalan untuk mendapatkan pendidikan yang terbaik.

Yang hairannya Malaysia ini, walaupun kita merupakan negara persekutuan, setiap perihal pentadbiran di negara ini adalah berpusat padahal negara-negara lain sekarang ini lebih menjurus kepada
pengagihan kuasa. Ini termasuklah negara kesatuan seperti Indonesia yang sudah mula membentuk polisi pengagihan kuasa semenjak zaman Reformasinya, dan juga Afrika Selatan yang mengekalkan kuasa pendidikan rendah dan menengah kepada kerajaan wilayah.

Saya benar-benar berharap agar Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan cadangan ini dengan teliti, bukan sahaja untuk Sarawak tetapi untuk semua negeri-negeri yang lain juga.

Nik Nazmi berbahas dengan ‘ADUN-ADUN Muda’

Nik Nazmi Nik Ahmad telah mengambil bahagian di dalam sesi pertama persidangan ADUN Muda Selangor 2015 pada hari ini.

Persidangan yang dikendalikan oleh Tuan Timbalan Speaker, YB Mohd Shafie bin Ngah, berlangsung dengan baik dan memperlihatkan kedua-dua belah pihak, kerajaan dan pembangkang, mengambil bahagian.

Sesi pertama program ADUN Muda tahun ini, yang berlangsung pada 27-28 Mei, telah dianjurkan oleh Pejabat Speaker dengan kerjasama Jawatankuasa Tetap Pendidikan dan Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda & Sukan.

Program ADUN Muda Selangor merupakan satu program khas bagi mahasiswa dan mahasiswi kelahiran Selangor bertujuan memberi pendedahan politik di peringkat awal kepada anak-anak muda agar lebih berminat untuk melibatkan diri dalam proses penggubalan undang-undang.

Program ini telah bermula pada tahun 2013, dan dimulakan oleh Nik Nazmi sendiri selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjur ketika beliau memegang jawatan Timbalan Speaker.

Tindakan Menggantung Ketua Pembangkang DUN Selangor (Kemaskini)

Pada perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2014 pada pagi ini, saya mengambil keputusan memerintahkan Ketua Pembangkang YB Datuk Mohd Shamsuddin Lias keluar dari Dewan selepas kelakuan beliau tidak mengendahkan kuasa saya sebagai Speaker selaras dengan Peraturan Tetap 44 (2).

Insiden ini bermula apabila YB Halimaton Saadiah Bohan (BN-Kota Damansara) mahu membangkitkan isu kenaikan sewa flat PPR oleh Kerajaan Negeri Selangor yang bermula ‘seawal Jun 2013’.

Apabila pihak Kerajaan membangkitkan Peraturan Tetap 36(6) bahawa kenyataan Kota Damansara bersifat sangkaan jahat dan kemudian meminta kenyataan tersebut ditarik balik memandangkan telah pun dijelaskan Kerajaan Pakatan Rakyat sebelum ini. Kenyataan kenaikan ‘seawal Jun 2013’ jelas mengelirukan Dewan memandangkan Kerajaan telah menjelaskan kenaikan itu diluluskan Kerajaan BN pada tahun 2007.

Apabila Kota Damansara enggan menarik balik, Ketua Pembangkang kemudian bangun cuba mempertahankan Kota Damansara. Tetapi beliau tidak merujuk mana-mana peraturan tetap. Saya memberi peluang kepada beliau berkali-kali menggunakan peraturan tetap.

Tetapi apabila beliau enggan dan terus engkar dengan perintah saya menyuruh beliau duduk maka saya terpaksa menggunakan Peraturan Tetap 44(2). Saya hanya menggantung beliau satu hari.

Saya kesal insiden ini berlaku ketika kita cuba mengadakan budaya perbahasan yang positif selama ini. Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat juga baru memutuskan memberi pengiktirafan kepada Ketua Pembangkang yang tidak ada sebelum ini. Ketua Pembangkang sewajarnya memainkan peranan dengan konstruktif dan berbahas mengikut Peraturan Tetap yang menjadi rujukan Dewan.

Pada sebelah petang saya telah meminta Kota Damansara menarik balik kenyataannya setelah saya melihat rakaman di mana beliau jelas menyebut kenaikan ‘seawal Jun 2013’ atau dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan. Beliau telah bersetuju menarik balik kenyataannya.

Jom sertai Program ADUN Muda Selangor

20131029_103615

Pada minggu lepas saya dan YB Hannah Yeoh, Speaker Dewan Negeri Selangor melancarkan Program ADUN Muda Selangor.

Menerusi program ini, mahasiswa dan mahasiswi IPTA dan IPTS diberi peluang untuk menjadi ‘ADUN Muda’ di DUN Selangor. Perbahasan mereka akan dipengerusikan oleh YB Hannah dan saya sendiri.

Program ADUN Muda Selangor akan berlangsung pada 16-18 Disember 2013.

Pendaftaran program ini boleh dibuat secara online di http://www.adunmudaselangor.com. Syarat-syarat penyertaan serta maklumat lanjut boleh diperoleh di sana. Tarikh tutup penyertaan adalah pada 8 November 2013. Hanya 30 peserta akan dipilih menyertai program ini.

Insya Allah, ini merupakan siri pertama Program ADUN Muda dan akan diteruskan pada masa hadapan.